Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Bukan Sekadar Bank Digital Biasa, Ini Bezanya Ryt Bank

Posted on Ogos 25, 2025Ogos 25, 2025

YTL Digital Bank Berhad, yang beroperasi di bawah jenama Ryt Bank baru sahaja dilancarkan sebagai bank digital pertama yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).

Ryt Bank beroperasi dengan lesen rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM), melengkapkan keseluruhan lima bank digital yang diluluskan sebelum ini, termasuk KAF Digital Bank, GXBank, AEON Bank dan Boost Bank.

Apa bezanya Ryt Bank dengan bank lain?

Dengan kerjasama YTL Group dan Sea Limited (syarikat induk Shopee), Ryt Bank adalah bank digital konvensional yang dibangunkan dengan menggunakan teknologi AI tempatan, dikenali sebagai Ryt AI, yang berasaskan model bahasa raya (LLM) ILMU – LLM pertama 100% buatan Malaysia.

Ryt AI memahami perbualan semula jadi dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Manglish, serta akan menyokong Mandarin menjelang September 2025.

Ciri AI dalam Ryt Bank

Menurut Ryt Bank, setiap urusan dengan Ryt AI dilindungi dengan proses penyulitan.

Dengan hanya menaip di chatbot Ryt AI seperti “Bayar @Sue RM50” atau “Tunjuk transaksi terkini”, ia akan terus dilaksanakan dengan mudah.

Walaupun transaksi kini dipermudahkan dengan kod QR, dalam sesetengah situasi kita mungkin perlu memasukkan nombor akaun.

Dengan Ryt AI, ia boleh membaca butiran dari foto, tangkapan skrin, atau fail, dan terus mengisi maklumat pembayaran. Fungsi ini menyokong bil utiliti, resit, dan lebih 20,000 penerima pembayaran melalui JomPAY.

Namun, perlu diketahui bahawa Ryt AI masih lagi dalam fasa beta, bermakna lebih banyak ciri akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Kalkulator terbina

Bayangkan tengah ‘lepak’ makan di kafe, dan dah tiba masa nak bahagikan bil dengan kawan. Biasanya kena buka kalkulator luar atau kira guna telefon lain.

Dengan Ryt Bank, semua lebih mudah – kalkulator terbina terus dalam aplikasi, jadi boleh terus kira dan bayar kawan tanpa perlu keluar dari aplikasi.

Kad Ryt

Sama seperti bank digital lain, Ryt Bank menawarkan kad virtual (maya) dan fizikal. Kad maya mempunyai nombor kad tersendiri, tarikh luput dan CVV – sama seperti kad fizikal, tetapi hanya boleh diakses melalui aplikasi dan boleh digunakan untuk pembelian atau langganan dalam talian.

Pengguna juga boleh memohon kad fizikal Ryt tanpa dikenakan sebarang yuran pengeluaran kad, sekurang-kurangnya sehingga 30 November 2025. Bermakna, sebarang permohonan dan penghantaran kad fizikal adalah percuma.

Bagi pengeluaran tunai domestik melalui MEPS SAN, yuran setiap transaksi dikecualikan untuk tempoh yang sama. Secara harian, had pengeluaran tunai sehingga RM10,000 maksimum (default RM3,000).

Ryt Paylater

Ryt Bank turut menawarkan Ryt PayLater, membolehkan pengguna membuat pembelian sekarang dan bayar kemudian (BNPL) dengan mudah melalui aplikasi. Kelulusan kredit adalah segera tanpa dokumen, dan tiada caj lewat dikenakan.

Had kredit RM1,499, dengan pelan bayaran bulanan sehingga 12 bulan dan kadar faedah efektif sehingga 31.72%.

Bank pertama di dunia guna AI?

Bank digital lain seperti bunq di Eropah juga ada AI, contohnya platform Finn yang bantu urus bajet dan nasihat kewangan.

Namun, Ryt Bank menawarkan pengalaman lebih lengkap – pengguna boleh membuat transaksi, pantau kewangan, dan dapat maklumat kewangan melalui perbualan semula jadi dalam beberapa bahasa.

Secara keseluruhan, Ryt Bank adalah bank digital AI pertama di dunia yang menggunakan teknologi AI tempatan dan menyokong beberapa bahasa, menjadikan pengalaman perbankan lebih mudah dan pintar.

Untuk pendaftaran, muat turun aplikasi Ryt Bank di Google Play Store atau Apple App Store.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress