Berbaloi Ke Matikan ProMotion Untuk Jimat Bateri iPhone? Ini Mungkin Jawapannya

Apple pertama kali memperkenal ProMotion untuk iPhone melalui pelancaran iPhone 13 Pro dan Pro Max. Dengan ProMotion, ia membolehkan paparan menyokong kadar segar semula 120Hz, berbanding model bukan-Pro dengan 60Hz.

Akan tetapi, ciri ini dikatakan memberi impak yang ketara pada jangka hayat bateri. Sementara iPhone bukan Pro biasanya mempunyai bateri yang tahan lebih lama. Apple turut mempromosikan iPhone 15 Plus sebagai model dengan ketahanan bateri paling lama dalam barisan iPhone 15.

Seterusnya, ia menimbulkan persoalan - jika ciri ProMotion dimatikan, adakah ia akan menjadikan bateri tahan lebih lama dan berbaloi?

{suggest}

Melalui ujian yang dijalankan oleh MacWorld, Jason Cross mengesahkan ia membantu untuk menjimatkan bateri, tetapi tidak cukup berbaloi.

Jason memulakan ujian bateri Geekbench 4 untuk iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max, dengan tetapan ProMotion diaktifkan dan dimatikan, paparan 200 nits, serta kecerahan automatik dan True Tone dilumpuhkan.

Dalam dua ujian bagi setiap iPhone tersebut, ia menunjukkan perubahan kecil dengan kira-kira 5% peningkatan untuk ketahanan bateri.



Menurutnya, pengguna akan melihat perbezaan ketara apabila bermain permainan video yang menyokong 120fps. Walaupun bukan secara saintifik, ia memberikan panduan secara kasar, bahawa dengan ProMotion dimatikan, maka ia dapat menjimatkan penggunaan bateri.

Ini kerana kadar bingkai yang tinggi menjejaskan hayat bateri melalui penggunaan GPU yang lebih intensif serta kadar bingkai yang lebih pantas.

Kesimpulan


Secara keseluruhan, pengguna yang ingin menjimatkan bateri iPhone 13 Pro, iPhone 14 Pro dan iPhone 15 Pro mungkin tidak perlu mematikan ciri ProMotion, tetapi bukan juga halangan untuk melakukannya. Perbezaan hayat bateri dalam kebanyakan aplikasi adalah minimum dan bagi sesetengah pengguna mungkin tidak cukup berbaloi untuk 'melepaskan' kelancaran ProMotion.

Bagaimanapun, untuk permainan, mengehadkan kadar bingkai mempunyai kesan yang ketara dan ia sepatutnya menjadi perkara yang perlu dipertimbang jika bimbang mengenai hayat bateri.

Apple dalam satu dokumen melalui laman webnya turut memaklumkan penggunaan kadar segar semula yang rendah boleh menjimatkan bateri, manakala kadar segar semula yang lebih tinggi boleh mengakibatkan penggunaan kuasa yang ketara.

Untuk mengetahui cara mematikan ciri ProMotion pada iPhone, teruskan bacaan DI SINI.

Sumber: MacWorld