ASUS Hadir Dengan Komputer Riba Berprestasi Tinggi Terbaru ZenBook Pro Duo

ZenBook Pro Duo, komputer riba masa depan.


ASUS sebentar tadi telah mengumumkan komputer riba berprestasi tinggi terbaru mereka ZenBook Pro Duo (UX581) dalam acara khas media yang telah berlangsung di Computex 2019 Taiwan.

ZenBook Pro Duo merupakan komputer riba bersaiz 15.6" yang turut dilengkapi dengan paparan kedua ASUS ScreenPad Plus bersaiz 14".

Jika skrin utamanya menggunakan paparan OLED 4K (3840 x 2160) dengan ciri skrin sentuh, ScreenPad Plus-nya pula menggunakan panel skrin sentuh 4K UHD (3840 x 1100).

Menurut ASUS, ScreenPad Plus menawarkan lebih ruang kreatif untuk para penggiat industri yang secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi produktiviti menerusi proses kerja yang lebih baik.

Kapsyen: Pengguna akan dapat merasai kelebihan ScreenPad Plus yang diintegrasikan bersama paparan utama ketika melaksanakan pelbagai tugas pada satu-satu masa.


ZenBook Pro Duo dapat melaksanakan pelbagai tugasan berat mahupun memainkan permainan video dengan grafik berkualiti tinggi tanpa sebarang masalah kerana ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i9 serta grafik yang dikuasakan oleh cip grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 yang berprestasi tinggi.

Storan yang digunakan pula adalah jenis PCIe 3.0 x4 SSD ultra pantas yang menyokong kapasiti sehingga 1TB. Manakala kapasiti RAM nya boleh dimuatkan sehingga 32GB.

Selain model ZenBook Pro Duo, ASUS turut pertontonkan model komputer riba ZenBook Duo (UX481) yang dilengkapi dengan spesifikasi sedikit rendah.

ZenBook Duo dengan paparan bersaiz 14" FHD (1920x 1080) turut dilengkapi skrin sentuh ScreenPad Plus bersaiz 12.6” FHD yang hanya seberat 1.8kg sahaja.

Kapsyen: Saudara Mohd Afiq dari team Wiser.my  sempat mencuba sendiri kehebatan ZenBook Duo dan ZenBook Pro Duo di Computex Taipei 2019. Gambar di atas adalah model komputer riba ZenBook Duo yang dipertontonkan oleh ASUS kepada pihak media semalam..


Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7, cip grafik NVIDIA GeForce MX250( 2GB GDDR5) serta menyokong kapasiti RAM maksimum 16GB sahaja.

Buat masa ini, ASUS belum mengumumkan harga jualan ZenBook Duo dan ZenBook Pro Duo. Tetapi ia dijangka akan tiba dipasaran pada suku ketiga tahun ini.

Berkaitan