Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Apple Dilapor Berminat Ambil Alih Perplexity AI – Ini Mungkin Sebabnya

Posted on Jun 23, 2025Jun 23, 2025

Eksekutif Apple dilaporkan telah mengadakan perbincangan dalaman mengenai kemungkinan untuk mengemukakan tawaran bagi mengambil alih Perplexity AI.

Menurut laporan Mark Gurman, perbincangan itu masih di peringkat awal dan belum tentu akan membawa kepada sebarang tawaran rasmi.

Namun, idea tersebut difahamkan sudah dibincangkan antara Ketua Bahagian Penggabungan dan Pengambilalihan Apple Adrian Perica, Ketua Perkhidmatan Eddy Cue serta barisan kepimpinan tertinggi AI dalam syarikat itu.

Jika perjanjian ini menjadi kenyataan, ia dilihat mampu membantu Apple membangunkan enjin carian berasaskan kecerdasan buatan (AI), sebagai sebahagian daripada usaha menghadapi kemungkinan kehilangan kerjasama jangka panjang dengan Google.

Buat pengetahuan, Perplexity baru sahaja melengkapkan pusingan pelaburan yang meletakkan nilai syarikat itu pada $14 bilion.

Sekiranya Apple membuat perjanjian pada tahap nilai sedemikian, ia bakal menjadi pengambilalihan terbesar dalam sejarah syarikat itu. Setakat ini, pengambilalihan Beats bernilai $3 bilion pada 2014 kekal sebagai transaksi terbesar Apple.

Selain pilihan untuk mengambil alih, Apple juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan syarikat tersebut. Melalui kerjasama itu, Perplexity berkemungkinan ditawarkan sebagai pilihan enjin carian berasaskan AI dalam Safari serta diintegrasikan ke dalam Siri.

Difahamkan, Apple telah beberapa kali bertemu dengan Perplexity dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Pasukan AI Apple juga sedang aktif menilai teknologi yang dibangunkan oleh syarikat tersebut.

Apa yang buatkan Apple berminat?

Dalam laporan berasingan, Gurman menyenaraikan beberapa faktor yang dilihat mungkin menjadi tarikan utama Apple berminat dengan Perplexity, antaranya:

  • Produk terbukti berfungsi dan sedia untuk pengguna – Alat carian Perplexitiy lengkap dengan antara muka teks, kawalan suaran dan reka bentuk yang kemas dilihat serasi dengan iOS milik Apple.
  • Memenuhi keperluan yang jelas – Apple kini memberi tumpuan untuk mempertingkatkan model asas AI yang menjadi asas kepada platformnya. Namun, apa yang benar-benar masih kurang ialah lapisan carian yang kukuh serta antaramuka perbualan yang mesra untuk tugasan harian (tepat dalam bidang kepakaran Perplexity).
  • Pasukan bersaiz sederhana – Perplexity mempunyai sekitar 250 kakitangan, menjadikannya tidak terlalu besar untuk Apple menyerap masuk ke dalam organisasi. Kepakaran AI yang dimiliki setanding dengan syarikat-syarikat besar lain dalam industri, dan ia berpotensi memberi manfaat besar kepada pasukan kejuruteraan Siri dan AI Apple secara keseluruhan.
  • Penilaian yang munasabah – Dengan nilai sekitar $14 bilion, pengambilalihan Perplexity tidak akan terlalu membebankan kewangan Apple. Jumlah itu hanya sebahagian kecil berbanding yang perlu dibayar jika Apple mahu ambil alih syarikat AI besar lain. Berisiko rendah dengan pulangan tinggi.
  • Masa yang tepat – Perjanjian jangka panjang dengan Google kini terancam akibat tindakan undang-undang antitrust di Amerika Syarikat. Apple perlu bersedia untuk menghadapi dunia tanpa Google sebagai enjin carian utama mereka, dan pengambilalihan Perplexity boleh menjadi langkah permulaan untuk syarikat itu akhirnya melancarkan enjin carian berjenama Apple sendiri.

Selain Apple, Meta juga pernah cuba untuk mengambil alih Perplexity pada awal tahun ini. Namun, rundingan tersebut gagal mencapai kata sepakat dan tidak membuahkan hasil.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress