Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Claude Haiku 5.5

Anthropic Lancar Claude Haiku 5.5, Harga API Turun Sehingga 90%

Diterbitkan Oktober 8, 2026 oleh Amsyar Latif

Anthropic secara rasmi memperkenalkan Claude Haiku 5.5, model AI kecil terbaharu yang menawarkan peningkatan prestasi dan kelajuan, dengan harga API sehingga 90% lebih rendah berbanding Claude Haiku 4.5.

Menurut Anthropic, Claude Haiku 5.5 merupakan model AI kecil paling pantas dan berkuasa yang pernah dikeluarkan syarikat itu.

Model tersebut dibangunkan khusus untuk tugasan yang memerlukan pemprosesan pantas dan penggunaan berskala besar, termasuk meringkaskan dokumen, menjawab pertanyaan pangkalan data, mengelaskan maklumat serta membantu operasi khidmat pelanggan.

Dari segi harga, Claude Haiku 5.5 ditawarkan pada AS$0.10 bagi setiap sejuta token input dan AS$0.50 bagi output, berbanding AS$1 dan AS$5 pada Haiku 4.5.

Haiku 5.5 cost

Bagaimanapun, harga tersebut terpakai untuk permintaan sehingga 100,000 token. Bagi permintaan yang melebihi jumlah itu, harga meningkat kepada AS$0.50 untuk input dan AS$2.50 bagi output.

Secara keseluruhan, Anthropic menganggarkan kos purata penggunaan Claude Haiku 5.5 sekitar 75% lebih rendah berbanding generasi sebelumnya.

https://x.com/claudeai/status/2107894039626277339?s=20

Prestasi Penggunaan Komputer Meningkat Ketara

Walaupun dikategorikan sebagai model kecil, Claude Haiku 5.5 menunjukkan peningkatan prestasi yang besar dalam beberapa ujian penanda aras.

Dalam OSWorld 2.1, yang menguji keupayaan AI menggunakan komputer untuk menyelesaikan tugasan berbilang langkah, Haiku 5.5 mencatat skor 72.4%, meningkat daripada 15.7% pada Haiku 4.5.

Bagi ujian penaakulan Humanity’s Last Exam tanpa bantuan alat, skornya meningkat daripada 10.2% kepada 45.9%.

haiku 5.5

Anthropic turut membandingkan prestasi Haiku 5.5 dengan GPT-6 Luna milik OpenAI.

Dalam ujian OSWorld 2.1, Haiku 5.5 mencatat 72.4% berbanding 48.9% pada GPT-6 Luna. Sementara itu, bagi ujian pengaturcaraan Terminal-Bench 4.0, Haiku 5.5 memperoleh 39.2%, berbanding 16.4% pada Luna.

Bagaimanapun, keputusan tersebut berdasarkan penilaian yang diterbitkan Anthropic dan tidak bermaksud Haiku 5.5 mengatasi GPT-6 Luna dalam semua tugasan.

Boleh Laraskan Tahap Penaakulan

Claude Haiku 5.5 turut menjadi model pertama dalam keluarga Haiku yang menyokong tetapan tahap usaha penaakulan.

Melaluinya, pembangun boleh menentukan sama ada mahu mengutamakan prestasi model atau mengurangkan kos penggunaan mengikut keperluan sesuatu tugasan.

Anthropic turut menyasarkan Haiku 5.5 sebagai ejen AI kecil yang boleh membantu model lebih besar seperti Claude Sonnet 5.5 dan Opus 5.5 menjalankan tugasan tertentu.

Claude Haiku 5.5 kini tersedia melalui Claude Platform, Amazon Web Services, Google Cloud dan Microsoft Azure. Pembangun boleh mengaksesnya menggunakan ID model claude-haiku-5-5.

Dalam pengumuman sama, Anthropic turut mengurangkan harga bacaan cache Claude Sonnet 5.5 sebanyak 50%, daripada AS$0.20 kepada AS$0.10 bagi setiap sejuta token.

Syarikat itu juga memperkenalkan kredit API bulanan untuk pelanggan Claude Max dan Team bagi menggalakkan pembangunan aplikasi serta ejen AI menggunakan model Claude.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY