Seperti semua sedia maklum, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan arahan kepada Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengalihkan trafik DNS yang menggunakan pelayan Domain Name System (DNS) pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri (DNS ISP tempatan).
Sebagai contoh, sebahagian pengguna memilih untuk menggunakan pelayan DNS pihak ketiga seperti Google DNS atau Cloudflare, yang dikatakan menawarkan pelbagai faedah seperti kelajuan lebih pantas.
Bagaimanapun, ia berkemungkinan tidak mempunyai tahap perlindungan yang sama untuk kandungan memudaratkan terutamanya dalam konteks tempatan, berbanding pelayan DNS ISP tempatan.
Bagi menjawab berkaitan isu ini, berikut adalah 8 perkara yang perlu anda tahu tentang pengalihan DNS kepada DNS Tempatan ISP:
1. Apakah itu pengalihan DNS dan mengapa ia dilaksanakan?
DNS ialah sistem yang direka bentuk untuk menukar alamat laman web kepada alamat IP berangka untuk mencari laman web di Internet.
Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) biasanya mengendalikan pelayan DNS mereka sendiri dan pelayan ini boleh dikonfigurasikan untuk menyekat akses ke laman web atau domain tertentu berdasarkan kandungannya.
Jadi dalam kes ini, pengalihan DNS adalah proses mengalihkan permintaan internet pengguna ke pelayan DNS tempatan ISP.
2. Bagaimana ini akan memberi kesan kepada pengalaman internet saya?
MCMC telah mengarahkan semua Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) untuk melaksanakan pengalihan DNS bagi meningkatkan keselamatan dalam talian dengan menghalang akses ke laman web berbahaya seperti yang berkaitan dengan perjudian dalam talian, pornografi, pelanggaran hak cipta, penipuan, dan pelanggaran undang-undang Malaysia yang lain.
Pengalihan DNS memastikan kandungan memudaratkan disekat manakala laman web sah dapat dicapai tanpa gangguan ketara.
3. Adakah ini akan mempengaruhi kelajuan sambungan atau pengalaman pelayaran saya?
Pengalihan DNS tidak akan menjejaskan kelajuan sambungan atau pengalaman pelayaran anda di laman web sah.
Menurut MCMC, proses ini hanya terpakai untuk laman web yang menyalahi undang-undang atau berbahaya, memastikan aktiviti Internet biasa anda tidak terganggu.
4. Bagaimana pengalihan ini melindungi pengguna internet?
Menurut MCMC, Dengan mengalihkan permintaan DNS ke DNS tempatan ISP, laman web berbahaya yang berkaitan dengan perjudian, pornografi, penipuan, dan aktiviti haram lain boleh disekat, mengurangkan pendedahan kepada ancaman dalam talian ini.
5. Jenis laman web apa yang akan disekat?
Laman web yang mempromosikan atau terlibat dalam aktiviti haram seperti perjudian dalam talian, pornografi, pelanggaran hak cipta, penipuan, dan pelanggaran undang-undang Malaysia yang lain akan disekat.
Ini selaras dengan usaha MCMC untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna.
6. Adakah ini menjejaskan akses ke perkhidmatan global seperti Google, YouTube, atau platform media sosial?
Tidak, pengalihan DNS ini tidak akan menjejaskan akses ke perkhidmatan global atau platform media sosial, selagi perkhidmatan tersebut mematuhi undang-undang Malaysia.
Hanya laman web yang terlibat dalam aktiviti haram atau berbahaya yang akan terjejas.
7. Laporkan, buat rayuan
Pengguna digalakkan untuk melaporkan mana-mana laman web sah yang mungkin disekat secara tidak sengaja.
Kepada mana-mana laman web yang dipercayai menjadi sasaran atau terkesan secara tidak adil pula, mereka boleh membuat rayuan melalui saluran yang ditetapkan.
Tribunal Rayuan, yang ditubuhkan oleh MCMC dan dipengerusikan oleh hakimMahkamah Tinggi, beroperasi secara bebas untuk memastikan semakan yang adil dan saksama bagi setiap kes.
8. Zalim? Ini respon MCMC
Menjawab tuduhan pengalihan ini sebagai zalim, MCMC menegaskan bahawa pelaksanaan ini adalah untuk melindungi kumpulan yang terdedah daripada kandungan dalam talian yang memudaratkan.
Laman web hanya akan disekat apabila didapati mempunyai kandungan hasad atau menyalahi undang-undang, seperti perjudian dalam talian, pornografi, pelanggaran hak cipta, penipuan, pancing data dan sebagainya.

9. Apa yang harus saya lakukan jika saya tidak dapat mengakses laman web sah?
Jika anda menghadapi masalah mengakses laman web sah, sila hubungi Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) anda untuk mendapatkan bantuan.
Sebagai alternatif, anda boleh menghubungi MCMC secara langsung untuk mendapatkan sokongan lanjut.
Orang awam boleh menghubungi MCMC melalui e-mel di [email protected]; talian hotline di 1800-188-030 atau WhatsApp di 016 2206 262.
{suggest}