Ditubuhkan lima tahun lalu oleh sekumpulan bekas pekerja OpenAI yang berpisah, Anthropic kini bersiap sedia untuk penyenaraian di pasaran saham yang bakal menjadi ujian terbesar setakat ini terhadap daya tahan kewangan jangka panjang AI.
Berikut adalah lima perkara yang perlu diketahui mengenai syarikat di sebalik bot sembang Claude ini:
Bekas warga OpenAI
Para pemimpin Anthropic mempelajari cara membina AI di OpenAI, pencipta ChatGPT, di mana mereka dikenali menerusi kerja-kerja berkaitan keselamatan AI.
Dario Amodei menyertai organisasi yang ketika itu berasaskan bukan keuntungan pada tahun 2016, di mana beliau mengendalikan pasukan keselamatan serta pasukan yang mengkaji “hukum skala” (scaling laws).

Hukum skala menjelaskan bagaimana keupayaan model AI meningkat apabila ia dilatih menggunakan lebih banyak data.
Adik perempuannya, Daniela, menyertai OpenAI pada tahun 2018 dan menjadi naib presiden keselamatan dan dasar.
Ekoran perselisihan faham dengan kepimpinan OpenAI mengenai cara AI sepatutnya dibina, adik-beradik Amodei bersama beberapa rakan sejawat meninggalkan syarikat itu pada Disember 2020 dan melancarkan Anthropic empat minggu kemudian.
Persaingan sengit antara kedua-dua syarikat yang berpangkalan di San Francisco ini terus berlanjutan sejak itu.
Adik-beradik dan rakan serumah
Ketua Pegawai Eksekutif Dario Amodei dan Daniela, presiden syarikat berkenaan, membesar di Mission District, San Francisco.
Bapa mereka merupakan seorang tukang kraftangan barangan kulit manakala ibu mereka menguruskan projek pembaharuan perpustakaan awam.
Menurut laporan New York Times, dua lagi pengasas bersama Anthropic merupakan rakan serumah adik-beradik Amodei di San Francisco sebelum era OpenAI, ahli fizik Jared Kaplan yang kini merupakan ketua pegawai sains, serta penyelidik Chris Olah yang pernah menerima bimbingan matematik daripada Dario Amodei.
Tiga lagi pengasas bersama juga berasal dari OpenAI. Sam McCandlish ialah ketua jurubina Anthropic yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai teknologi.
Tom Brown mengawasi infrastruktur pengkomputeran. Beliau merupakan antara 20 pekerja terawal di OpenAI.
Jack Clark pula mengetuai kerja-kerja manfaat awam syarikat dan mengasaskan Anthropic Institute, sebuah badan pemikir dalaman.
Beliau merupakan bekas wartawan teknologi yang menyertai OpenAI pada tahun 2016.
Golongan rasionalis dan altruis berkesan
Pemikiran Dario Amodei dibentuk oleh dua gerakan yang berkaitan.
Gerakan pertama ialah rasionalisme, yang dikaitkan dengan pemikir AI Eliezer Yudkowsky, yang berpegang bahawa AI boleh menjadi cukup berkuasa hingga mampu memusnahkan masyarakat.
Gerakan kedua ialah altruisme berkesan (effective altruism), yang bertujuan menjadikan sumbangan kebajikan secekap yang mungkin.
Golongan “altruis berkesan” ini turut menyalurkan dana awal kepada Anthropic.

Pengasas bersama Facebook, Dustin Moskovitz dan pengasas bersama Skype Jaan Tallinn menyokong pusingan pembiayaan pertama syarikat.
Sam Bankman-Fried melabur $500 juta menerusi syarikatnya FTX dalam bentuk saham tanpa hak mengundi.
Selepas FTX tumbang dan Bankman-Fried dipenjarakan, pegangan saham tersebut telah dijual pada harga $884 juta untuk membayar semula wang pelanggan bursa berkenaan.
Amodei menyatakan pada tahun 2023 bahawa beliau tidak menganggap dirinya sebagai seorang altruis berkesan, walaupun menyokong beberapa ideanya.
Penyelaras dan pengkritik termasuk Mark Zuckerberg dari Meta serta Jensen Huang dari Nvidia pernah menggelar beliau sebagai seorang “doomer” (pesimis ancaman AI).
Gergasi Teknologi dan dana besar
Fail permohonan IPO Anthropic menunjukkan bahawa dua daripada penyokong utamanya ialah Amazon dan syarikat induk Google, Alphabet.
Pelabur lain yang turut serta merangkumi Founders Fund, iaitu syarikat modal teroka yang diasaskan oleh Peter Thiel, bersama Microsoft dan Nvidia.
Pada bulan Mei, Anthropic meraih dana sebanyak $65 bilion pada penilaian pasaran $965 bilion, sekali gus mengatasai OpenAI buat kali pertama.
Bekas ketua pegawai eksekutif Google Eric Schmidt merupakan antara pelabur luar terawal.
Beliau melaburkan puluhan juta dolar ke dalam pusingan pembiayaan pertama Anthropic pada tahun 2021.
Pertelingkahan dengan Pentagon
Pada bulan Januari, Pentadbiran Trump meminta Pentagon mendapatkan akses tanpa had bagi penggunaan Claude, iaitu bot sembang syarikat berkenaan.
Namun, Anthropic enggan membenarkan dua bentuk penggunaan iaitu pengawasan awam secara beramai-ramai di dalam negara dan pembangunan senjata pemusnah autonomi.
Pada bulan Februari, Trump yang berang telah mengarahkan agensi-agensi persekutuan untuk menghentikan penggunaan teknologi Anthropic.
Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth kemudiannya mengarahkan supaya syarikat itu dilabelkan sebagai rantaian bekalan berisiko , satu klasifikasi yang biasanya dikenakan ke atas musuh luar negara.
Pada bulan September, Jabatan Pertahanan memuat naik hantaran di media sosial:
“Fahaman Amerika, bukannya altruisme berkesan.”
– AFP
