Usaha dalam mencari ubat bagi melawan kanser tidak pernah terhenti di seluruh dunia.
Malah, Malaysia juga tidak ketinggalan mencari ubat antikanser.
Terkini, seorang pelajar Sarjana Sains Fizik Bahan dari Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) bernama Nur Shammin Azzahani Shammas, telah memulakan penyelidikan penawar kanser dari sisa kopi terpakai.
Penyelidikan yang dijalankan beliau menunjukkan bahawa sisa kopi mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan dalam bidang perubatan, khususnya dalam pembangunan teknologi rawatan kanser.

Beliau berkata, serbuk kopi terpakai yang biasanya dianggap sebagai sisa itu kemudiannya diproses untuk menghasilkan karbon kuantum dot.
Karbon kuantum dot ialah zarah karbon bersaiz nano, biasanya bersaiz kurang daripada 10 nanometer.
Ia mempunyai ciri unik dan berpotensi digunakan dalam pelbagai aplikasi bioperubatan.
Melalui kajian ini, sisa kopi yang lazimnya dibuang berjaya ditukarkan kepada bahan bernilai tinggi menggunakan pendekatan teknologi nano yang lebih lestari.

Penyelidik turut menggunakan bahan salutan Polyethylene Glycol (PEG) untuk meningkatkan ciri dan kestabilan karbon kuantum dot yang dihasilkan.
Selain itu, teknologi gelombang mikro juga digunakan bagi menghasilkan bahan nano tersebut yang hanya memerlukan kira-kira lima minit sahaja.
Tempoh ini jauh lebih singkat berbanding kaedah hidroterma konvensional yang boleh mengambil masa sehingga 24 jam.
“Melalui kaedah gelombang mikro, saya hanya memerlukan kira-kira lima minit untuk menghasilkan karbon kuantum dot. Saya melihat kelebihan ini sebagai satu potensi yang boleh diteroka sekiranya proses penghasilannya dikembangkan untuk kegunaan industri pada masa hadapan,” katanya.
Penyelidikan ini memberi tumpuan kepada potensi karbon kuantum dot dalam sistem penghantaran ubat bersasar (targeted drug delivery), khususnya sebagai bahan pembawa ubat antikanser ke kawasan sasaran seperti tisu tumor.
Teknologi ini boleh membantu membawa ubat terus ke kawasan tumor dengan lebih berkesan, sekali gus meningkatkan keberkesanan rawatan dan mengurangkan kesan sampingan kepada pesakit.

Walaupun penyelidikan ini masih berada pada peringkat awal, hasil kajian membuktikan bahawa bahan buangan seperti sisa kopi mempunyai nilai yang tinggi dalam pembangunan teknologi perubatan moden.
Beliau berharap penyelidikannya akan dapat dikembangkan pada masa hadapan melalui kerjasama dengan pihak industri dan institusi perubatan, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan bahan berasaskan sisa organik dalam bidang nanoteknologi.
*Artikel asal diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia.
