Ringkasan Ulasan: CMF Speaker M
Wiser memberi CMF Speaker M skor 7.5/10. Harganya di Malaysia ialah RM459 semasa ulasan ini diterbitkan pada 11 November 2026.
| Produk | CMF Speaker M |
|---|---|
| Skor Wiser | 7.5/10 |
| Harga (semasa ulasan) | RM459 |
| Diulas oleh | Iskandar Afiq Shaharuddin |
| Tarikh ulasan |
Kelebihan
- Bunyi jelas dan kuat
- Sokong mod berwayar (USB-C)
- Panel hadapan boleh dibuka dan diubah suai
- Reka bentuk lain daripada yang lain
- IP68
- Sokong aplikasi Nothing X
- 'Dual connection'
- Bluetooth 6.0
- Sokong NFC
- Bateri tahan lama
Kekurangan
- Mono
- Kawalan butang 'roller' kurang responsif kadangkala
- Tiada codec LDAC
- Tiada port 3.5mm jack
- Ambil masa 3 jam untuk dicas penuh
- Cahaya LED kurang cerah
Nothing kembali lagi dalam arena audio, dan kini, mereka memasuki wilayah speaker wayarles. Bukan sebagai produk Nothing, tetapi CMF. Walaupun jenama CMF dianggap sebagai sub-jenama yang menjual produk pada harga lebih bajet, speaker ini tidaklah semurah yang disangka.
Bermula dari RM459, CMF Speaker M adalah abang kepada CMF Speaker S. Jadi, adakah berbaloi untuk berbelanja lebih?
Reka Bentuk dan Binaan
Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah reka bentuknya yang mirip sebuah kotak susu. Dalam lautan reka bentuk speaker yang generik, ia ternyata nampak lain daripada yang lain.

Reka bentuk ini bukan semata-mata sebagai halwa mata kerana ada juga kegunaannya. Dengan reka bentuk segi empat tepat, ia boleh didirikan secara menegak dan mendatar. Potongan lubang bujur di atas pula bertindak sebagai pemegang, jadi ia memudahkan saya untuk mengangkatnya ke mana-mana sahaja seolah-olah memegang sebuah beg tangan.
Dari segi binaan, badannya diperbuat daripada plastik, manakala panel hadapannya pula diperbuat daripada TPU. Panel hadapan dan butang roda boleh dicabut, jadi anda boleh menukarnya jika anda mahu. Cuma, diingatkan bahawa panel hadapan dan butang roda ganti belum tersedia lagi di pasaran buat masa ini.
*Pastikan selak belakang tidak terkunci sebelum mencabut panel hadapan.
Walaupun ia bersifat modular, ia tetap mempunyai penarafan IP68, jadi ia sepatutnya mampu menahan air dan debu. Namun, anda perlu memastikan panel dan butang roda dipasang dengan ketat sebelum ia terkena air.

Pada berat 602g, ia bukanlah ringan, tetapi ia masih lagi boleh dibawa ke mana-mana dengan menggunakan pemegangnya. Seolah-olah membawa beg mini.

Jika ia mudah dibawa, adakah ia mudah untuk dikawal?
Kawalan
“Ya, tetapi kurang responsif.”
CMF Speaker M hanya menggunakan butang fizikal yang bagi saya, lebih praktikal dan sepatutnya tahan lebih lama berbanding butang kapasitif.
Di hadapan, terdapat butang ‘Power’ dan butang roda.

Butang ‘power’ hanya berfungsi untuk menghidupkan dan mematikan speaker sahaja. Pada butang tersebut, terdapat lampu status LED yang menjadi penunjuk apabila bateri berbaki kurang daripada 15% (lampu berwarna merah), dan bateri lebih daripada 15% (lampu berwarna putih).
Satu kekurangannya adalah lampu status LED tidak cukup cerah, maka agak sukar untuk melihatnya jika digunakan di bawah cahaya matahari.

Butang roda pula berfungsi untuk melaraskan volume dan memainkan atau memberhentikan lagu.
Satu perkara yang saya kurang gemar adalah tindak balas butang roda yang tidak konsisten. Terdapat sedikit delay pada kawalan volume, dan kadangkala, ada delay pada kawalan klik yang sangat ketara. Jadi, saya perlu menekannya dengan lebih kuat sedikit untuk memainkan atau menghentikan muzik.
Mungkin aspek ini yang Nothing perlu korbankan untuk menjadikan butang roda ini modular…
Tambahan pula, kawalan butang roda tidak boleh diubah suai secara mendalam dalam aplikasi Nothing X, jadi anda tertakluk kepada kawalan yang telah ditetapkan. Hanya kawalan “press and hold” sahaja yang boleh diubah. Itu pun terhad kepada ‘Ultra Bass’ dan ‘Wide Soundstage’ sahaja.

Di belakang pula, terdapat dua butang yang tersembunyi, iaitu butang Bluetooth, dan butang Auracast.

Butang Bluetooth meletakkan speaker ke dalam mod ‘Pairing’. Ia memudahkan saya untuk menyambungnya ke peranti lain tanpa perlu mematikan dan menghidupkan semula speaker semata-mata untuk meletakkannya ke dalam mod ‘Pairing’. Manakala, butang Auracast bertindak sebagai suis untuk menghidupkan dan mematikan mod ‘Party’.
Bagaimana pula dengan kualiti bunyi, adakah ia sedap untuk didengari?
Kualiti Bunyi
Selalunya, speaker wayarles mainstream yang direka untuk parti dan acara hiburan lebih mengutamakan bass berbanding talaan yang reference atau neutral. CMF Speaker M juga tidak terkecuali.
Dengan dua pemacu, woofer 70mm dan tweeter 16mm, dan jumlah output 35W, saya menjangkakan bass yang banyak dan kemampuan mencapai volume yang tinggi.

Mudah kata, ia tidak mengecewakan kerana ia sangat bassy dan lantang. Pada volume 40% sahaja, bunyinya sudah mampu memenuhi seluruh bilik. Volume 50% pula terlalu kuat untuk telinga saya menanggung, jadi saya perlu menurunkan semula volume. Ia sememangnya sebuah raksasa mini.
Walaupun mod ‘Ultra Bass’ telah dimatikan, bass masih lagi kuat. Namun, saya sedar bahawa produk seperti ini bukan untuk pendengar yang serius. Ia lebih kepada menikmati lagu yang dipasang serta menikmati saat yang sedang dilalui.
Bagi saya, bunyi yang bassy pada speaker ini mengasyikkan, dan amat sesuai untuk mendengar lagu-lagu hip-hop dan pop.
Katakanlah terdapat aspek tertentu pada ciri bunyinya yang tidak menepati cita rasa anda, anda boleh menala bunyi menggunakan fungsi Equalizer dalam aplikasi Nothing X. Cuma, satu kekurangannya adalah ketiadaan parametric EQ. Jadi, EQ untuk speaker ini hanyalah EQ yang asas sahaja.
Jika anda merasakan bass tidak cukup, anda boleh sahaja hidupkan mod ‘Ultra Bass’ untuk bass yang lebih kuat.
Satu perkara yang anda patut tahu adalah speaker ini sebenarnya mono sahaja. Oleh itu, tiada efek stereo apabila mendengar lagu-lagu seperti Bohemian Rhapsody oleh Queen.
Namun, terdapat mod ‘Wide Soundstage’ yang dikatakan mampu meluaskan lagi bunyi yang dihasilkan. Saya menggalakkan anda untuk mengaktifkan mod ini kerana ia benar-benar membantu menghasilkan imaging dan pemisahan instrumen yang lebih jelas, cuma ia masih lagi mono.

Oleh itu, benarlah bahawa CMF Speaker M juga tergolong dalam kumpulan speaker wayarles mainstream lain dengan talaan bassy. Ia bukanlah sesuatu yang teruk, memandangkan saya juga rasa seronok menggunakannya untuk tujuan hiburan.
Jika ia mampu menghasilkan bass yang kuat, bunyi yang lantang, dan output sebanyak 35W, pastinya hayat bateri akan berkurang dengan cepat bukan?
Hayat Bateri
Bagi menguasakan raksasa mini ini, Nothing telah melengkapkannya dengan bateri 4,900mAh yang dikatakan boleh bertahan sehingga 18 jam jika menggunakan codec AAC pada volume 50%.
Untuk mengujinya, saya telah menggunakannya dengan memasang bunyi ambien hujan semalaman. Saya menetapkan codec AAC dan volume 30-35%. Setelah hampir 7 jam bunyi hujan dimainkan, bateri hanya berkurangan sebanyak 20%.
Berdasarkan ujian ini, penggunaan baterinya agak rendah pada tahap kelantangan 30–35%. Walaupun saya tidak menguji sehingga bateri habis sepenuhnya, hasil tersebut menunjukkan bahawa CMF Speaker M berpotensi menawarkan hayat bateri yang panjang untuk penggunaan ringan.
Apabila tiada aktiviti audio selama 30 minit, speaker ini akan memasuki Sleep Mode secara automatik untuk menjimatkan tenaga. Ia boleh diaktifkan semula dengan menekan butang pada speaker.
Menurut Nothing, pengecasan penuh mengambil masa sekitar tiga jam. Walaupun tempoh ini agak panjang, CMF Speaker M menyokong pengecasan pantas yang didakwa mampu memberikan sehingga satu jam main balik dengan pengecasan selama 10 minit, bergantung pada keadaan penggunaan.
Di sini, kita tahu bahawa ia sebuah speaker raksasa mini yang tahan lama. Jadi, apa lagi yang ada?
Sokongan dan Sambungan
Perkara yang paling jelas adalah sokongan aplikasi Nothing X yang memberikan anda akses kepada ciri-ciri seperti Equalizer dan ‘Ultra Bass’.
Dari segi sambungan wayarles, speaker ini dilengkapi dengan Bluetooth 6.0 yang cukup moden dan boleh diharap. Setakat ini, saya tidak berhadapan dengan masalah sambungan terputus secara tiba-tiba atau audio pecah-pecah. Dengan radius sambungan sehingga 100 meter, muzik yang dimainkan dari telefon saya tidak terputus walaupun speaker berada di dalam bilik yang lain.
Dari segi kualiti audio wayarles pula, ia hanya menyokong codec Bluetooth AAC dan SBC. Walaupun tiada LDAC, kualiti bunyinya tetap memuaskan.
Ia juga menyokong Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair untuk penyambungan yang lebih pantas kepada peranti Android dan Windows. Anda juga boleh menyentuh telefon anda di ruangan NFC yang terletak di tepi speaker untuk menyambungnya.
Selain itu, ia juga menyokong ‘Dual Connection’ iaitu sambungan kepada dua peranti secara serentak. Dalam aplikasi Nothing X, terdapat senarai peranti yang telah disambungkan, jadi sangat mudah untuk memutuskan sambungan peranti yang sedia ada dan menyambung ke peranti lain.

Mod Stereo membolehkan dua unit CMF Speaker M digabungkan untuk menghasilkan saluran audio kiri dan kanan. Sementara itu, mod Party menggunakan teknologi Auracast untuk memainkan audio secara serentak pada beberapa speaker yang serasi, termasuk model daripada jenama lain yang menyokong teknologi tersebut.
Malangnya, saya tidak dapat mencuba ciri ini kerana pihak Wiser MY tidak diberikan dua unit speaker. Tetapi, saya dapat membayangkan betapa seronoknya jika mod-mod ini dapat digunakan.

CMF Speaker M turut dilengkapi Night Mode yang direka untuk pengalaman mendengar lebih tenang, terutamanya pada waktu malam. Apabila diaktifkan, mod ini mengehadkan kelantangan maksimum kepada 60% dan mengurangkan bass rendah supaya audio tidak terlalu mengganggu ketika berehat atau tidur.
Selain sambungan wayarles dan mod-mod tambahan ini, ia juga menyokong sambungan audio melalui USB-C.
Maksudnya, apabila anda menggunakan kabel USB-C ke USB-C dan menyambungkannya ke telefon atau komputer, anda boleh menggunakannya sebagai speaker berwayar. Cuma, speaker ini tidak mempunyai sambungan 3.5mm jack, jadi penggunaan kabel USB-C adalah satu-satunya cara untuk menggunakannya dalam mod berwayar. Sekurang-kurangnya, mod ini wujud bagi mereka yang memerlukan.

Untuk menggunakan mod audio berwayar, sambungkan speaker kepada peranti yang serasi menggunakan kabel USB-C. Jika audio masih dimainkan melalui Bluetooth, pengguna boleh menekan butang Bluetooth pada speaker untuk bertukar kepada sumber audio USB-C.
Satu perkara kecil yang menarik perhatian saya apabila menyambungkan speaker ini ke peranti Nothing lain seperti Nothing Phone (4b) adalah satu logo kecil yang menyerupai reka bentuk CMF Speaker M timbul di bar status. Jadi, wujud sedikit gambaran tentang ekosistem Nothing apabila menggunakan dua produk Nothing pada masa yang sama.
Patut Ke Anda Beli?
CMF Speaker M bukanlah satu produk yang mengejar kualiti bunyi paling jelas atau binaan paling premium. Sebaliknya, ia wujud sebagai produk yang menyeronokkan, lebih-lebih lagi dengan reka bentuk yang segar serta bunyi bass yang mengasyikkan dalam pasaran speaker wayarles.
Pada pendapat saya, kebanyakan ciri yang terkandung dalam speaker ini cukup padu seperti penarafan IP68, volume bunyi yang tinggi, bass yang mantap, bateri tahan lama, serta mudah untuk dibawa ke mana-mana. Walaupun tidak sempurna, terutamanya kerana ia hanyalah speaker mono, ia masih lagi berbaloi pada harga yang ditawarkan.
Harga CMF Speaker M di Malaysia
Sebagai alternatif, anda juga boleh mempertimbangkan dua unit CMF Speaker S yang berharga sekitar RM518 untuk mendapatkan pengalaman audio stereo.
Bagaimanapun, pilihan ini memerlukan perbelanjaan tambahan berbanding satu unit CMF Speaker M, selain menawarkan konfigurasi pemacu dan kuasa output yang berbeza.














