5 Fungsi Menarik Yang Bakal Hadir Pada Android Pie

Android P baru sahaja diperkenalkan sebagai Android Pie oleh Google pada 6 Ogos yang lalu. Sistem ini akan hadir pada peranti Google Pixel terlebih dahulu sebelum menjengah ke peranti-peranti lain.

Pada pelancaran buat kali pertamanya semalam, Google mendedahkan tidak semua fungsi Android Pie akan dapat digunakan buat masa kini. Bagaimanapun, Google tetap mendedahkan kesemua fungsi dan ciri baru yang ada pada sistem operasi terkini mereka ini. Paling utama, sistem ini hadir dengan keupayaan kecerdasan buatan(AI) yang lebih baik dan terperinci.

Boleh dikatakan tidak terlalu banyak pembaharuan yang akan di bawa masuk pada kemaskini kali ini berbanding sistem Android Oreo yang terdahulu. Dengan itu, pada kali ini kami akan senaraikan 5 fungsi paling menarik perhatian yang akan hadir pada sistem Android 9 Pie.

1.Adaptive Battery & Adaptive Brightness 



Kapasiti kuasa bateri kini menjadi antara faktor yang semakin diambil berat ketika membeli telefon pintar. Namun, walaupun peranti mempunyai kapasiti bateri yang besar, kadangkala bateri akan tetap cepat habis. Atas sebab itu, Google hadir dengan dua fungsi penting ini.

Adaptive Battery akan menggunakan keupayaan AI yang dinaiktaraf bagi membantu bateri mengenalpasti gaya penggunaan pemilik peranti. Selepas itu, ia akan mengoptimumkan penggunaan aplikasi dan perkhidmatan yang jarang digunakan agar penggunaan bateri dapat dijimatkan.

Adaptive Brightness pula akan membolehkan peranti mempelajari bagaimana pemilik menetapkan kecerahan paparan berpandukan persekitaran dan aktiviti yang dijalankan. Maka lepas ini, anda tidak lagi perlu mengubah kecerahan paparan setiap kali anda menggunakan peranti pada waktu atau aplikasi yang berbeza.

2. Sokongan Paparan Takuk 



Sering kita dengar rungutan daripada pengguna peranti Android berkenaan bahagian paparan yang dipotong disebabkan oleh rekaan takuk pada panel hadapan peranti. Rekaan ini digunakan buat kali pertama oleh peranti Essentials, namun dipopularkan oleh peranti iPhone X.

Rungutan itu dijangka akan berhenti selepas ini. Ini kerana Google mendakwa Android Pie ini akan menyokong sepenuhnya bukan satu, malah dua rekaan takuk di sisi atas dan bawah paparan skrin peranti. Ia bagi memastikan setiap pelusuk skrin dapat digunakan tanpa memotong mana-mana bahagian paparan.

3. App Timers



Terlalu banyak menghabiskan masa dengan menonton video di Youtube? Atau tidak boleh menjalani kehidupan secara normal andai tidak melayari laman media sosial untuk tempoh yang lama? Ternyata anda kini sudah mengalami ketagihan. Tapi, anda tidak perlu risau kerana Android Pie ada jawapan untuk masalah berkenaan.

Melalui App Timers, anda kini boleh menetapkan berapa lama tempoh untuk mengakses sesebuah aplikasi dalam masa sehari. Sekiranya anda telah mencapai had yang ditetapkan, aplikasi tersebut tidak akan dapat digunakan lagi untuk hari tersebut. "Anda mampu mengubahnya".

4. App Dashboard



Satu lagi fubgsu yang boleh dikaitkan dengan App Timers. App Dashboard akan merekodkan berapa lama masa anda habiskan dengan menggunakan peranti seharian, berapa kerap anda menggunakan sesuatu aplikasi berbeza serta berapa banyak notifikasi yang anda perolehi.

Melalui fungsi ini, pengguna akan dapat menilai seterusnya menetapkan had penggunaan sesebuah peranti melalui App Timers. Ia merupakan satu fungsi yang sangat-sangat membantu pengguna pada pandangan kami.

5. Lebih 100 Emoji Baru

Kredit : Tech2Care@Youtube


Android Pie akan hadir dengan lebih dari 100 emoji baru, atau lebih tepat lagi 157 emoji baharu. Pelbagai emoji baru yang lebih menarik seperti watak adiwira, wajah dengan tiga hati, ikon kek bulan, lobster dan banyak lagi.

Aktiviti balas membalas mesej dengan rakan selepas ini pasti lebih berwarna-warni dengan kehadiran emoji-emoji baharu ini.

Penyeneraian ini bukanlah bermaksud fungsi dan ciri baru yang lain tidak menarik namun, ia hanyalah sekadar pandangan dari pihak kami sahaja. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai semua pembaharuan baru yang dibawa pada Android Pie ini, anda boleh layari laman sesawang rasmi Android.

Seperti biasa, jangan lupa kongsikan juga fungsi dan ciri yang menarik perhatian anda.

 

Sumber

Berkaitan