5 Fungsi Android Terawal Yang Masih Kita Gunakan Hari Ini

Versi Android pertama sekali muncul sekitar tahun 2008 dalam versi Alpha 1.0 dan masih belum sedia untuk ditawarkan kepada umum. Selepas itu, muncul pula Android 1.5 diberi nama Cupcake dan ia merupakan versi komersial.

Menerusi Android Cupcake, pelbagai fungsi yang diperkenalkan dan setelah hampir 9 tahun, fungsi itu masih digunakan kita pada hari ini. Mari kita lihat apakah 5 fungsi tersebut.

1. Papan kekunci maya



Sebelum 2009, anda hanya boleh menggunakan Android pada telefon yang dilengkapi dengan papan kekunci fizikal seperti LG-GW620, Motorola Cliq, dan HTC Dream. Selepas fungsi papan kekunci maya ini diperkenalkan, pengeluar telefon mendapat kebebasan membangunkan peranti dengan skrin paparan yang lebih besar.

Bayangkan papan kekunci maya pada skrin 3.2 inci, hatta jari yang halus runcing pun sukar untuk menaip.

2. Sokongan Widget



Ciri ini sangat popular dalam kalangan pengguna Android, dan ia turut menarik minat Apple yang turut memperkenalkannya ke dalam iOS. Fungsi ini menjadikan penggunaan telefon pintar lebih pantas dimana anda hanya perlu menekan pintasan untuk mengakses sesuatu aplikasi atau program seperti contoh jam.

3. App Drawer



Ini merupakan ciri paling sinonim dengan Android, tidak seperti iOS yang menghimpunkan kesemua aplikasi pada halaman Home. Dengan app drawer, halaman Home Android akan lebih kemas dengan memaparkan widget ataupun aplikasi utama yang sering anda gunakan.

4. Bluetooth Stereo



Anda boleh lihat pengeluar telefon pintar sekarang sudah mula membuang bicu audio daripada peranti, meninggalkan fungsi Bluetooth sebagai satu-satunya cara mendengar muzik dengan fon kepala. Fungsi ini pertama kali diperkenalkan pada Android Cupcake dan inilah masanya untuk pengeluar mempertingkatkan keupayaan fungsi Bluetooth Stereo.

5. Skrin putar automatik



Dahulu skrin telefon tidak boleh diputarkan secara automatik, tetapi sejak diperkenalkan oleh Android, anda hanya perlu melintangkan telefon dan skrin turut sama berubah.

Sumber: AndroidPit