Gemini Notebook, yang sebelum ini dikenali sebagai NotebookLM, merupakan platform kecerdasan buatan (AI) daripada Google yang membantu anda menganalisis, memahami dan menghasilkan pelbagai bahan berdasarkan dokumen atau sumber rujukan yang dimuat naik.
Google menukar nama NotebookLM kepada Gemini Notebook pada Julai 2026. Bagaimanapun, fungsi terasnya kekal sama, dan semua ciri dalam artikel ini boleh didapati melalui panel Studio.
Perlu diingat, Gemini Notebook berbeza dengan ciri Notebooks dalam aplikasi Gemini. Notebooks dalam Gemini lebih tertumpu kepada penyusunan perbualan dan sumber, walaupun kedua-duanya disegerakkan antara satu sama lain.
Sembilan fungsi yang boleh dicuba dalam Gemini Notebook
Audio Overview

Fungsi ini membolehkan anda menukar bahan rujukan kepada audio berbentuk audio siar (podcast). AI akan menghasilkan perbualan antara dua hos maya yang membincangkan isi penting daripada dokumen yang dimuat naik.
Audio Overview turut menawarkan mod interaktif, yang membolehkan anda mencelah dan bertanya soalan kepada hos AI ketika audio dimainkan.
Melalui fungsi ini, pengguna boleh memahami kandungan sesuatu dokumen tanpa perlu membaca keseluruhan bahan. Ia juga sesuai untuk mereka yang lebih gemar mendapatkan maklumat melalui pendengaran.
Slide Deck

Slide Deck ini membolehkan anda menghasilkan slaid pembentangan secara automatik berdasarkan bahan rujukan. AI akan menyusun isi penting mengikut struktur pembentangan supaya lebih mudah difahami.
Fungsi ini dapat membantu untuk menjimatkan masa ketika menyediakan bahan pembentangan khususnya bagi pelajar dan pekerja yang perlu menyampaikan maklumat dalam bentuk visual.
Video Overview

Fungsi ini menghasilkan video penerangan berdasarkan sumber yang telah dimuat naik. Kandungannya boleh merangkumi dalam bentuk visual, rajah dan penerangan bersuara.
Melalui gabungan elemen tersebut, maklumat yang terkandung dalam dokumen dapat disampaikan dalam bentuk yang lebih menarik dan mudah diikuti. Ia juga boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan bahan pembelajaran atau perkongsian maklumat.
Mind Map

Mind Map ini pula membantu anda menyusun maklumat dalam bentuk peta minda. Isi utama dan subtopik akan dihubungkan melalui cabang tertentu bagi memudahkan anda melihat perkaitan antara konsep.
Kaedah penyusunan ini memudahkan anda mengenal pasti isi penting, memahami hubungan antara topik dan mendapatkan gambaran keseluruhan sesuatu bahan rujukan tanpa perlu membaca semula keseluruhan dokumen.
Reports

Reports ini membolehkan anda menghasilkan dokumen bertulis berdasarkan sumber yang dimuat naik. Antaranya termasuk laporan ringkas, panduan pembelajaran , dokumen taklimat dan soalan lazim.
Anda boleh manfaatkan fungsi ini untuk menyusun maklumat daripada pelbagai sumber menjadi dokumen yang lebih teratur mengikut tujuan penggunaan. Ini juga bantu memudahkan penyediaan bahan bertulis tanpa perlu memulakan penulisan daripada awal.
Flashcards

Flashcards menghasilkan kad imbas yang mengandungi soalan atau istilah pada satu bahagian serta jawapan atau penerangan pada bahagian lain.
Fungsi ini sesuai digunakan sebagai bahan ulang kaji, khususnya untuk mengingati fakta, definisi dan konsep penting. Anda juga boleh menguji ingatan sendiri dengan menjawab soalan sebelum melihat jawapan yang disediakan.
Quiz

Quiz membolehkan anda menghasilkan soalan latihan berdasarkan bahan rujukan.
Fungsi ini berguna bagi pelajar yang ingin membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan atau menguji kefahaman selepas membaca sesuatu bahan. Anda boleh menyemak jawapan bagi mengenal pasti bahagian yang masih perlu diberikan perhatian.
Infographic

Fungsi infografik dapat menukar maklumat daripada dokumen kepada grafik yang lebih menarik dan mudah difahami. Maklumat yang penting akan dipersembahkan dalam bentuk visual bagi membantu menjelaskan sesuatu topik.
Ini sesuai untuk menghasilkan bahan penerangan, ringkasan visual serta perkongsian informasi. Penyampaian dalam bentuk grafik juga dapat bantu anda memahami maklumat tanpa perlu meneliti perenggan yang panjang.
Data Table

Data Table membolehkan AI menyusun maklumat daripada sumber yang dimuat naik ke dalam bentuk jadual. Anda boleh mengumpulkan data, membandingkan maklumat dan menyusun fakta mengikut baris serta lajur, contohnya jadual perbandingan harga atau senarai tindakan daripada nota mesyuarat.
Jadual yang dihasilkan juga boleh dieksport ke Google Sheets untuk disunting atau dianalisis dengan lebih lanjut.
Penutup
Gemini Notebook turut menyediakan pilihan bahasa, jadi anda boleh tentukan bahasa yang mahu digunakan sebelum menjana sesuatu kandungan, termasuk Bahasa Melayu.
Secara keseluruhan, kesembilan-sembilan fungsi ini menjadikan Gemini Notebook alat yang berguna untuk pembelajaran, penyelidikan dan penghasilan kandungan.
Pengguna hanya perlu memuat naik bahan rujukan, kemudian memilih fungsi yang sesuai dengan keperluan masing-masing.
