Pengguna MyDigital ID yang terlupa kata laluan kini boleh menetapkan semula kata laluan menerusi fungsi baharu yang diperkenalkan dalam aplikasi itu.
Sebelum ini, pengguna yang terlupa kata laluan perlu membatalkan (revoke) sijil digital MyDigital ID terlebih dahulu sebelum membuat pendaftaran semula untuk mendapatkan akses kepada akaun mereka. Proses pembatalan ini turut memerlukan pengesahan identiti, termasuk imbasan MyKad dan wajah.
Bagaimanapun, menerusi fungsi baharu “Lupa Kata Laluan”, pengguna kini mempunyai cara yang lebih mudah untuk menetapkan kata laluan baharu tanpa perlu mengulangi proses tersebut.
Cara Tetapkan Kata Laluan Baharu MyDigital ID
Sebelum itu, pastikan aplikasi MyDigital ID telah dikemas kini kepada versi terkini. Kemudian, ikut beberapa langkah mudah di bawah.
Cara tetapkan semula kata laluan MyDigital ID
Buka aplikasi MyDigital ID dan klik ikon tiga baris (hamburger) di sebelah kiri atas.
Kemudian, pilih "Lupa Kata Laluan" atau Forgot Password.
Pengguna seterusnya perlu melengkapkan proses pengesahan identiti melalui imbasan wajah.
Selepas pengesahan berjaya, tetapkan semula kata laluan baharu untuk akaun MyDigital ID masing-masing.
Setelah berjaya menetapkan kata laluan baharu, pengguna turut diberi pilihan untuk mengaktifkan pengesahan biometrik. Ciri ini membolehkan pengguna log masuk ke MyDigital ID tanpa perlu memasukkan kata laluan setiap kali.
Selain fungsi tetapan semula kata laluan, nota kemas kini aplikasi MyDigital ID di App Store turut menyatakan sijil digital kini akan dipindahkan secara automatik apabila pengguna menukar peranti, memasang semula aplikasi atau menetapkan semula kata laluan.
