Kekayaan peribadi global melonjak tinggi pada tahun 2025 dengan rekod bilangan jutawan baharu yang luar biasa, menurut kenyataan bank Switzerland, UBS, pada Selasa.
Tahun lepas menyaksikan hampir satu juta orang di seluruh dunia bergelar jutawan dalam nilai dolar AS—iaitu bersamaan dengan 2,600 orang jutawan baharu pada setiap hari, berdasarkan anggaran bank berkenaan.
Amerika Syarikat menyumbang hampir separuh daripada bilangan jutawan baharu pada tahun 2025 dengan pertambahan lebih 440,000 individu, diikuti oleh China, Jepun, Jerman, Britain, dan Perancis, yang mana masing-masing mencatatkan jumlah keseluruhan melebihi dua juta orang jutawan.
Bank terbesar di Switzerland itu, yang juga merupakan antara pengurus kekayaan terbesar di dunia, menerbitkan Laporan Kekayaan Global UBS tahunan yang menilai trend kekayaan peribadi secara menyeluruh.
Laporan tersebut merangkumi semua aset kewangan dan bukan kewangan, utamanya pasaran hartanah, ditolak dengan jumlah hutang, di mana nilai aset tersebut ditukarkan kepada mata wang dolar AS.
“Kisah sebenar di sebalik data ini ialah pengembangan yang berterusan: lebih banyak gologan masyarakat yang mendaki tangga kekayaan,” kata laporan itu. “Keuntungan yang dicatatkan… menunjukkan dunia yang terus membina kekayaan, meningkatkan populasi golongan kaya, serta melanjutkan trend peningkatan yang telah lama berlaku.”
UBS menyatakan bahawa pada tahun 2025, kekayaan peribadi global meningkat sebanyak 10.8 peratus dalam ukuran dolar AS, mengatasi pertumbuhan yang dicatatkan pada tahun 2024 (4.6 peratus) dan 2023 (4.2 peratus) dengan ketara.
Pertumbuhan kekayaan adalah paling kukuh di rantau Eropah, Timur Tengah, dan Afrika iaitu pada kadar 17.5 peratus—dibantu oleh faktor penyusutan nilai mata wang dolar AS—diikuti oleh rantau Amerika pada kadar 8.5 peratus.
Wilayah Asia-Pasifik pula merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus.
Lebih daripada separuh kekayaan peribadi global kekal tertumpu di dua buah negara sahaja, iaitu Amerika Syarikat dan tanah besar China secara gabungan.
Sejak tahun 2020, Korea Selatan telah menerajui pertumbuhan purata kekayaan sebenar bagi setiap orang dewasa merentasi 56 pasaran yang dianalisis, dengan peningkatan melebihi 50 peratus.
Peningkatan melebihi 25 peratus turut dicatatkan di Croatia, Norway, Latvia, Taiwan, dan Bulgaria.

1.5% Penduduk Dunia Ialah Jutawan
Dari segi purata kekayaan sebenar bagi setiap orang dewasa, Switzerland mendahului senarai global dengan nilai $910,382 (sekitar RM4.28 juta), diikuti oleh Amerika Syarikat ($696,277), Luxembourg ($654,732), Hong Kong ($648,267), dan Australia ($616,306).
Laporan itu menyatakan bahawa 42 peratus daripada populasi dunia mempunyai aset bernilai kurang daripada $10,000; manakala 41 peratus lagi memiliki aset bernilai antara $10,000 (~RM47,000.00) hingga $100,000 (~RM470,000.00).
Bagi kelompok atasan pula, 15.3 peratus mempunyai aset bersih bernilai $100,000 (~RM470,000.00) hingga $1,000,000 (sekitar RM4.7 juta), dan dalam kurungan paling puncak, 1.5 peratus penduduk dunia memiliki kekayaan melebihi satu juta dolar.
Laporan itu turut menarik perhatian bahawa bergelar seorang jutawan tidak bermakna individu tersebut mempunyai wang tunai satu juta dolar di dalam bank.
Ini kerana hartanah kediaman milik sendiri merupakan aset tunggal terbesar bagi kebanyakan orang sehingga ke tahap jutawan.
Oleh itu, lonjakan nilai hartanah telah mendorong ramai orang melonjak ke status jutawan.
Bagi kategori bilionaire pula, dalam 47 pasaran yang dikaji, UBS mengira terdapat 3,302 individu setakat April—peningkatan sebanyak 383 orang atau 13.1 peratus berbanding laporan lalu.
Lebih daripada 1,000 orang bilionaire tinggal di Amerika Syarikat, diikuti dengan 562 orang di China, dan 211 orang di India.
“Kami mengira terdapat 18 individu yang mempunyai kekayaan antara $50 hingga $100 bilion dan 19 orang lagi memiliki aset melebihi $100 bilion, dengan 15 daripadanya berpangkalan di Amerika Syarikat,” kata UBS.
– AFP
{suggest}


