ZTE Iceberg: Telefon Pintar Dengan Dwi-Takuk Dan Bucu Kaca

Kenalkah anda dengan Axon 7 yang dibuat oleh ZTE? Peranti tersebut menemui kejayaan dengan membawakan ciri-ciri seperti skrin AMOLED dan pembesar suara stereo dan cip kelas utama yang mana pada ketika itu sukar didapati untuk peranti yang dijual pada harga yang lebih rendah dari sepatutnya.

Sejak menemui 'resepi' rahsia tersebut, ZTE dilihat kurang menyerlah dari segi pengenalan peranti mereka selepas Axon 7. Dan kalau dilihat dari peranti konsep mereka ZTE Iceberg, tidak hairan kejayaan lama mungkin belum masih jauh lagi di hadapan.



ZTE memilih bahan yang janggal seperti kaca untuk 4 penjuru peranti ini dan membangkitkan beberapa persoalan, bagaimana jika peranti ini jatuh di bahagian penjuru dahulu? Adakah jenis kaca digunakan adalah jenis kaca yang kuat menahan hentakan? ZTE menerangkan konsep peranti ini dengan menyalut bahan kaca ke atas rekaan unibody besi peranti dan terhasil lah bucu dengan bahan kaca.



Memburukkan keadaan (bergantung kepada individu), ZTE Iceberg mengenakan dwi-takuk pada skrin paparan mereka. ZTE mengatakan yang pembesar suara stereo juga akan mengiringi fungsi peranti ini dan dalam masa yang sama, pembesar suara akan diletakkan di kedua-dua bahagian takuk dengan takuk bahagian atas digunakan untuk fon telinga ketika menjawab panggilan.

Untuk spesifikasi perkakasan pula, ZTE tidak menyertakan butirannya kerana statusnya sebagai peranti konsep. Apa pandangan anda jika ZTE membuat keputusan untuk menghasilkannya?