Xiaomi Mi 10, Mi 10 Pro Dan Mi 10 Lite Rasmi Dilancarkan Untuk Pasaran Global

Pelancaran siri Xiaomi Mi 10 bagi pasaran global pada awalnya ditetapkan pada 23 Februari yang lalu. Ekoran daripada kebimbangan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini, acara tersebut telah ditangguhkan.

Kini penantian peminat telahpun berakhir dimana Xiaomi secara rasminya mengumumkan Mi 10 dan Mi 10 Pro secara dalam talian. Sebelum ke spesifikasi, sebelum ini Mi 10 sudah dilaporkan mendapat pengesahan SIRIM dan ini memberi gambaran bahawa Xiaom Malaysia sedang bersiap sedia membuat penawarannya.

Mi 10 dan Mi 10 Pro mempunyai beberapa persamaan bagi spesifikasi iaitu skrin AMOLED 6.67 inci dengan rekaan DotDisplay yang menempatkan kamera hadapan 20MP. Selain itu, menguasakan peranti adalah cip Snapdragon 865, RAM LPDDR5 8GB, storan UFS 3.0, dwi pembesar suara serta keupayaan pengecasan berbalik tanpa wayar 30W. Perbezaan boleh dilihat dibawah.

Mi 10 Pro

Versi paling tinggi ini tampil dengan kuad kamera yang diketuai kamera utama 108MP (8P), 20MP ultra lebar, 8MP telefoto jarak jauh dan 12MP telefoto. Ruang storan peranti adalah 256GB.



Bagi janaan kuasa pula, ia dibekalkan dengan bateri 4500mAh. Ia sedikit rendah berbanding versi standard tetapi hadir dengan pengecasan lebih berkuasa iaitu 50W tetapi pengecas 65W disediakan didalam kotak.

Mi 10



Model standard ini turut hadir dengan tetapan kuad kamera iaitu 108MP, 2MP telefoto, 13MP ultra lebar dan 2MP makro. Bateri berkapasiti 4780mAh dimuatkan pada peranti dengan sokongan pengecasan pantas 30W. Ruang simpanan yang diberikan pada Mi 10 adalah 128GB.

Harga jualan di Eropah

Bagi pasaran Eropah, Mi 10 Pro diletakkan pada harga €999 (~RM4773) sementara Mi 10 pula dijual pada €799 (~RM3817).

Mi 10 Lite



Sebuah lagi peranti yang ditawarkan adalah Mi 10 Lite yang juga mempunyai sokongan 5G yang diperoleh dari cip pemprosesan Snapdragon 765G. Komponen dalaman lain yang terdapat pada versi Lite ini adalah RAM LPDDR4X 6GB serta pilihan ruang memori antara 64GB serta 128GB berasaskan UFS 2.1.

Menjana kuasa peranti, bateri 4160mAh digunakan yang mana ia menyokong pengecasan pantas 20W melalui QuickCharge 3.5.

Bagi paparan, Mi 10 Lite disediakan dengan skrin AMOLED bersaiz 6.57 inci bersama resolusi Full HD+. Tidak seperti 'abang-abangya', ia mempunyai rekaan takuk yang diisi dengan kamera hadapan 16MP.

Kelengkapan kamera belakang pula mendatangkan empat jenis lensa iaitu 48MP (f/1.8), 8MP sudut lebar, 2MP makro serta 2MP depth. Mi 10 Lite bakal dijual pada harga €399.99 iaitu sekitar ~RM1911 mengikut tukaran matawang asing semasa.