Xiaomi Mi 10 Extreme Commemorative Edition Akan Diperkenal Pada 11 Ogos Ini

Xiaomi hari ini mengesahkan telefon pintar flagship baharu yang dikenali sebagai Mi 10 "Extreme Commemorative Edition" akan diperkenal pada 11 Ogos ini. Acara pelancaran juga diadakan bersempena ulangtahun ke-10 Xiaomi.



Menerusi poster yang disertakan, acara ini dijadual akan berlangsung pada 7.30 petang, 11 Ogos 2020. Bagaimanapun, tiada maklumat spesifik mengenai peranti ini yang didedahkan.

Xiaomi Mi 10 Extreme Edition

Terdahulu, peranti ini telah digelar dengan pelbagai nama seperti Xiaomi Mi 10s dan Mi 10 Pro Plus. Ura-ura menyatakan Mi 10 Extreme Commemorative Edition akan dimuatkan dengan skrin paparan AMOLED 6.67 inci, paparan berlubang yang menyokong kadar segar semula 120Hz dan 4500mAh bateri.

Selain menyokong pengecasan pantas 120W, terdapat spekulasi yang menyatakan ia akan hadir dengan sokongan pengecasan tanpa wayar 55W.

Untuk maklumat rasmi mengenai Xiaomi Mi 10 "Extreme Commemorative Edition", nantikan pelancaran pada 11 Ogos ini.

Sumber: GizmoChina