Xiaomi Mi 10 Dan 10 Pro Siap Sedia Dilancarkan 23 Februari Di MWC 2020

Walaupun coronavirus sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap Xiaomi, namun belum nampak lagi tanda-tanda mereka mahu menarik diri dari acara MWC 2020 nanti. Ini bermakna flagship terkini mereka iaitu Mi 10 dan juga Mi 10 Pro akan tetap diumumkan di sana nanti.

Xiaomi baru-baru ini telah menghantar 'jemputan' mengenai pelancaran peranti tersebut pada 23 Februari nanti di MWC Barcelona.

https://twitter.com/Xiaomi/status/1225962199098830848

Tiada banyak maklumat lain yang boleh didapati berkenaan Mi 10 dan 10 Pro melalui imej berkenaan. Namun sebelum-sebelum ini juga telah banyak khabar angin spesifikasi peranti tersebut.

Ia sudah semestinya akan dijana cip Snapdragon 865 dengan kamera utama sebesar 108MP. Baru-baru ini juga skor AnTuTu peranti berkenaan telah dipertontonkan yang menunjukkan prestasi peranti sangat berkuasa. Untuk varian Pro, ia dikhabarkan akan hadir dengan skrin OLED 120Hz, sehingga 16GB RAM, bateri besar bersaiz 5,260mAh, dan juga pengecasan pantas 66W.

Pelancarannya hanya pada sekitar 2 minggu lagi. Jadi semestinya akan lebih banyak lagi maklumat mengenai peranti ini yang akan muncul kelihatan di Internet. Sama-samalah kita nantikannya.

Sumber: Xiaomi