WhatsApp Mungkin Sokong Panggilan Video Sehingga 50 Orang Melalui Messenger Rooms

Lewat April yang lalu, WhatsApp versi mudah alih telah dikemaskini dengan sokongan panggilan video sehingga 8 orang pada satu-satu masa. Namun berdasarkan perkhabaran terbaru, kemaskini bagi versi web selepas ini bakal memperlihatkan penyertaan pengguna yang lebih ramai.

Menurut WABetaInfo, WhatsApp Web versi 2.2019.6 mempunyai ciri pautan kepada Messenger Rooms. Fungsi tersebut didapati pada bahagian menu lampiran yang mana apabila ditekan, ia akan membawa pengguna kepada Messenger Rooms.



Namun begitu, ia akan memberitahu bahawa panggilan menggunakan Messenger Rooms tidak disulitkan sepertimana panggilan WhatsApp.

Untuk menyertai panggilan ini pengguna perlu menekan pautan yang dikongsikan dan boleh disertai sesiapa jua walaupun tidak mempunyai akaun Facebook.

Bagi anda yang tertanya-tanya mengenai Messenger Rooms, ciri ini telah dilancarkan pada bulan lalu yang menawarkan panggilan video sehingga 50 orang serentak. 

Buat masa ini, ciri tersebut masih berada diperingkat pembangunan dan tidak dinyatakan pula bila ia akan ditawarkan pada WhatsApp Web.



Difahamkan lagi bahawa butang pintasan kepada Messenger Rooms ini juga akan ditawarkan kepada platform Android.

Sumber: WABetaInfo