vivo V19 Dilancarkan - Snapdragon 712, 6 Kamera Dan 4500mAh Dengan Pengecasan 33W

vivo V19 belum lagi dilancarkan untuk pasaran tempatan, namun spesifikasinya telah siap-siap dilondehkan pada laman rasmi vivo Malaysia. Hari ini, peranti ini telah dilancarkan untuk varian global dan melihat kepada spesifikasinya, ia sama sahaja dengan apa yang kita akan dapat pada pelancarannya di Malaysia nanti.



vivo V19 ini merupakan peranti pertama yang hadir dengan dwi-lensa swafoto dan secara keseluruhan merupakan penambahbaikan yang baik berbanding model V17 sebelumnya. Paparan peranti berukuran 6.44 inci Super AMOLED dengan resolusi Full HD+ serta dilengkapi perlindungan kaca Corning Gorilla Glass.



Terdapat pengimbas cap jari di dalam skrin dengan teknologi optikal. 2 lensa swafoto pula diletakkan dalam skrin direka dalam bentuk punch-hole. Ia mempunyai 32 MP (f/2.1) sebagai lensa utama dan tambahan 8 MP (f/2.3) sudut lebar.

vivo V19 dijana oleh cip pemprosesan Snapdragon 712 dengan grafik Adreno 616. Dari segi memori, terdapat 2 varian iaitu 8GB/128GB dan 8GB/256GB dengan sokongan UFS 2.1.

Beralih ke bahagian belakang peranti, modul kamera memuatkan 4 lensa yang disusun berbentuk 'L'. Konfigurasi kamera adalah 48 MP (f/1.8) utama + 8 MP (f/2.2) sudut lebar + 2 MP (f/2.4) makro + 2 MP (f/2.4) depth. Terdapat mod Super Night dan video Ultra Stable untuk kedua-dua bahagian kamera hadapan dan belakang sekaligus mengiyakan ura-ura sebelum ini.



Spesifikasi bateri peranti juga agak menarik. Ia dimuatkan dengan kapasiti 4,500mAh dan pengecasan pantas Flash Charge 2.0 33W melalui USB Type-C. Antara ciri-ciri lain peranti adalah bicu audio 3.5mm dan Bluetooth 5.0. Dari segi perisian, peranti menjalankan Funtouch OS 10 berasaskan Android 10.

Terdapat 2 pilihan warna yang dijual iaitu Sleek Silver dan Gleam Black. Harga peranti tidak dinyatakan kerana ia berbeza mengikut negara pasaran. Untuk Malaysia, peranti ini masih belum lagi mempunyai tarikh pelancarannya, namun dengan varian global yang sudah diumumkan, sudah tentu kita dapat melihat kemunculannya di sini tidak lama lagi.

Sumber: vivo