Valve Ban 100,000 Pengguna Yang Terlibat Dengan Penipuan Dalam Permainan

Tiada siapa yang suka berhadapan dengan cheater di dalam permainan kesukaan mereka. Mereka ini dengan sengaja memperoleh kelebihan yang tidak adil buat pemain lain. Steam sebagai sebuah platform permainan terkenal di seluruh dunia telah membuang hampir 100,000 orang pemain mereka yang didapati menggunakan modifikasi di dalam permainan di platfom tersebut.

Angka ini didedahkan oleh SteamDB yang memaparkan apa yang berlaku di dalam platform Steam setiap minggu. Mereka bagaimanapun mengatakan angka ini mungkin tidak begitu tepat kerana akaun yang ditetapkan sebagai peribadi tidak dapat dilihat statistiknya.

VAC atau Valve Anti-Cheat merupakan sistem dari Valve yang mengesan setiap peranti yang dihubungkan kepada pelayan Valve bagi memulakan sesi permainan. Larangan VAC berlaku apabila sistem mengesan sebarang modifikasi pihak ketiga yang memberikan kelebihan kepada pemain tersebut berbanding yang lain. Modifikasi termasuk fail teras permainan tersebut dan juga fail pautan dinamik perpustakaan.

Valve mengharapkan sistem VAC bagi mengesan sebarang bentuk penipuan yang dilakukan oleh pemain mereka dan mengambil tindakan dengan menghalang mereka dari log masuk ke pelayan Valve selepas itu. Larangan VAC yang didapati salah dibuat oleh pihak Valve, larangan tersebut akan ditarik balik secara automatik. Sebarang larangan VAC yang didapati bersalah, tidak boleh dibincang semula dan dibuang oleh staf sokongan Steam.

Sumber: SteamDB, Tom's Hardware