Sebuah universiti di China yang mempunyai hubungan rapat dengan badan pertahanan negara itu baru-baru ini membeli cip kecerdasan buatan (AI) canggih keluaran gergasi teknologi Nvidia, menurut notis perolehan, walaupun terdapat kawalan ketat daripada Amerika Syarikat (AS).
China dan Amerika Syarikat kini terperangkap dalam persaingan sengit untuk menguasai bidang kecerdasan buatan yang strategik dan berkembang pesat, dan produk terkemuka pasaran milik Nvidia telah menjadi isu pertikaian utama.
Penemuan ini muncul ketika firma yang berpangkalan di California itu sedang dilanda krisis susulan pendedahan bahawa pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Jensen Huang, mungkin terlibat dalam operasi pengintipan China, sekali gus menyebabkan saham syarikat itu menjunam.
Universiti Politeknik Barat Laut (NPU) di bandar Xi’an telah membeli dua cip Nvidia H200 daripada Shaanxi Bosuan Network Technology, bukan secara langsung daripada Nvidia pada harga 874,700 yuan (~RM524,820), menurut notis perolehan bertarikh 21 Oktober.

Cip H200 tertakluk kepada kawalan eksport AS yang mengehadkan penghantaran terus ke China dan mengenakan sekatan tertentu terhadap penjualan semulanya di peringkat global.
Cip H200 tersebut dibeli untuk fakulti pengurusan NPU, yang merupakan salah satu daripada universiti “Tujuh Putra Pertahanan Negara” China yang menjalankan penyelidikan berkaitan pertahanan dan mengekalkan hubungan dengan pihak tentera negara itu.
Notis perolehan yang dilihat oleh AFP itu tidak lagi boleh diakses di laman web universiti berkenaan pada hari Khamis.
AFP telah menghubungi Fakulti Pengurusan NPU untuk mendapatkan ulasan.
Satu lagi notis perolehan bertarikh 4 September, yang turut dilihat oleh AFP tetapi tidak lagi boleh diakses setakat Khamis, menunjukkan bahawa fakulti keselamatan siber NPU telah membeli dua unit Nvidia H200 pada harga 796,000 yuan (~RM477,600).
AFP telah menghubungi Fakulti Pengurusan dan Fakulti Keselamatan Siber NPU untuk mendapatkan ulasan.
Tumpuan memang sudah terarah kepada hubungan Nvidia dengan China minggu ini selepas berita mengenai hubungan sulit Huang dengan seorang wanita yang dituduh mengintip untuk Beijing.
Huang yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden AS Donald Trump telah mengakui secara terbuka hubungan sulitnya dengan Alice Huang, seorang eksekutif kanan di pusat data yang berpangkalan di Singapura, Megaspeed.
Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga.
Lembaga pengarah Nvidia sedang bersiap sedia untuk menyingkirkan Jensen Huang, menurut Wall Street Journal yang memetik sumber yang mengetahui perkara tersebut. – AFP
