Susulan pengumuman Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2027, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan orang ramai boleh mula mengaktifkan Pas MyKomuter50 pada 16 November 2026, sebagai persediaan sebelum pas tersebut boleh digunakan mulai 1 Disember 2026.
Ditawarkan pada harga RM50, pas ini membolehkan pengguna menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari bagi perkhidmatan KTM Komuter terpilih.
MyKomuter50 merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup melalui penyediaan pengangkutan awam yang lebih mampu milik. Menerusi pas ini, pengguna boleh menikmati penjimatan tambang sehingga hampir 88%, bergantung pada laluan dan kekerapan perjalanan.
Sebagai contoh, pengguna yang berulang-alik dari Tanjung Malim ke KL Sentral lazimnya membelanjakan sekitar RM416 untuk tambang sepanjang 30 hari. Namun, dengan Pas MyKomuter50, mereka hanya perlu membayar RM50, sekali gus menjimatkan RM366 atau hampir 88%.
Bagi laluan Alor Setar ke Butterworth pula, pengguna boleh menjimatkan sehingga RM234 atau kira-kira 82% berbanding anggaran tambang biasa sebanyak RM284 bagi tempoh dan kekerapan perjalanan yang sama.
Pas ini ditawarkan dalam tiga jenis, iaitu MyKomuter50 Utara, MyKomuter50 Lembah Klang dan MyKomuter50 Shuttle Selatan. Bagi perkhidmatan Utara, pas meliputi laluan Padang Besar-Butterworth-Padang Besar serta Butterworth-Ipoh-Butterworth. Untuk Lembah Klang, ia meliputi laluan Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan Batu Caves ke Pulau Sebang/Tampin.
Sementara itu, MyKomuter50 Shuttle Selatan meliputi laluan Paloh ke JB Sentral serta Kempas Baru ke Pasir Gudang.
Siapa yang layak?
Pas MyKomuter50 terbuka kepada warganegara Malaysia berumur tujuh tahun dan ke atas yang bukan pemegang Pas MyRailLife. Pengguna perlu mengesahkan kelayakan menggunakan MyKad atau MyKid sebelum membuat pembelian pas.
Cara aktifkan Pas MyKomuter50
Pengaktifan Pas MyKomuter50 boleh dibuat melalui mana-mana cara berikut:
- Aplikasi KTM Mobile atau KITS Style – Muat naik salinan MyKad atau MyKid untuk pengesahan. Kelulusan bagi permohonan melalui aplikasi ini boleh mengambil masa sehingga tiga hari bekerja.
- Mesin kios tiket di semua stesen KTM Komuter – Masukkan MyKad atau MyKid ke dalam slot pengimbas untuk pengesahan. Kelulusan serta-merta.
- Kaunter stesen KTM Komuter – Kemukakan MyKad atau MyKid asal kepada kakitangan stesen untuk pengesahan dan kelulusan akan diberikan serta-merta.
Selepas kelayakan disahkan, Pas MyKomuter50 boleh dibeli melalui aplikasi KTM Mobile, KITS Style atau kaunter bagi pembelian Kad Komuter Link. Kemudahan pengaktifan dan pembelian disediakan di 34 stesen terpilih, termasuk 11 kaunter pendaftaran tambahan di stesen yang ditetapkan.
KTMB turut menggalakkan pengguna melengkapkan proses pengesahan kelayakan, pengaktifan dan pembelian pas pada hari yang sama bagi memudahkan urusan sebelum pas mula berkuat kuasa pada 1 Disember 2026.
Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi KTMB atau Soalan Lazim (FAQ) Pas MyKomuter50.
