(Ulasan) Vivo V17 - Spesifikasi Sedap Tetapi Harga Kurang Enak

Vivo sedia melancarkan peranti terbaru dalam siri V iaitu Vivo V17. Pada harga RM1699, ramai yang beranggapan Vivo V17 dijual sedikit mahal berbandin model lain yang seangkatan dengannya. Maka dalam ulasan kali ini kita akan melihat secara keseluruhan adakah ia berbaloi untuk dimiliki ataupun tidak.

Jika dilihat daripada spesifikasi utama Vivo V17 ini, ia dikuasakan dengan cip sama seperti Vivo V17 Pro iaitu Snapdragon 675. Cip tersebut pula digandingkan dengan kapasti RAM sebesar 8GB dan memori dalaman berkapasiti 256GB.



Dengan spesifikasi seperti ini bersama penggunaan sistem operasi FunTouch OS, pengalaman menggunakannya tidak terasa seperti menggunakan sebuah peranti kelas pertengahan. Buka tutup aplikasi, bergerak didalam UI, dan penggunaan aplikasi kamera dilihat mampu dilaksanakan dengan pantas tanpa sebarang lengah masa.



Namun, jika anda berniat untuk menggunakan Vivo V17 ini bagi tujuan memainkan permainan mudah alih seperti PUBG Mobile atau Call Of Duty Mobile, tetapan bagi  grafik haruslah diletakkan pada medium sahaja. Ini kerana, cip pemprosesan Snapdragon 675 dilihat tidak mampu memainkan kedua-dua permainan ini pada tetapan High dan jika dipaksa, anda dapat melihat akan berlaku framedrop yang amat ketara.

Jika Vivo V17 ini dijual pada harga jualan bawah RM1300, saya tidak akan menganggap ini satu kelemahan atau kegagalan kerana pada harga tersebut, ia adalah setara dengan kebanyakkan peranti lain. Tetapi pada nilai jualan RM1699, ia dilihat tidak sesuai kerana hanya diperkasakan dengan Snapdragon 675. Seharusnya memasuki tahun 2020,  peranti ia lebih sesuai dikuasakan Snapdragon 730G atau cip pemproses setara yang lain.

Vivo V17 didatangkan dengan skrin hadapan Super AMOLED bersaiz 6.44 FullHD+  yang mana merupakan sebuah panel skrin terbaik. Ia mampu menghasilkan warna pekat, sudut pandangan lebih luas, dan kecerahan serta ketajaman skrin yang tinggi. Berbeza dengan versi Pro yang tampil dengan kamera selfie terangkat, fungsi rakaman hadapan V17 diletakkan pada bucu kanan skrin.



Mungkin sesetengah pengguna barangkali tidak menyukai rekaan punch hole, namun pendekatan ini dilihat adalah lebih segar dan kedudukan punch hole ini dilihat tidak mengganggu penggunaan seharian peranti. Selain itu, pada skrin ini juga terdapat pengimbas cap jari yang mampu mengesan cap jari pengguna dengan pantas dan tepat. Alternatif lain bagi fungsi biometrik ialah pengimbas wajah yang mampu menawarkan prestasi lebih kurang sama.



Dibahagian luar, Vivo V17 didatangkan dengan rekaan yang hampir sama seperti peranti pertengahan lain. Panel belakangnya melengkung pada hujung, kedudukan modul kamera utama menyerupai Google Pixel 4, dan warna yang menyinar apabila dikenakan cahaya padanya. Sisi kanan terdapat butang kuasa dan aras suara, bahagian atas terdapat mikrofon kedua. Bahagian bertentangan pula disisipkan dengan slot dwi sim nano dan satu kad MikroSD.



Disebelah bawah peranti terdapat bicu audio 3.5mm, mikrofon utama, port pengecasan USB C, dan pembesar suara mono. Secara keseluruhan bunyi yang terhasil daripada pembesar suara ini tidaklah sehebat mana. Ketika audio ditetapkan pada paras tertinggi, bunyi yang terhasil sedikit pecah dan tidak tajam, oleh itu sebaiknya, ianya harus diturunkan sedikit untuk mendapat pengalaman pendengaran yang terbaik.

Untuk kamera, Vivo V17 ini didatangkan dengan tetapan kamera utama dibahagian belakang 48MP (f/1.8), kamera sudut lebar 8 MP (f/2.2), kamera makro 2 MP dan kamera sudut kedalaman 2MP. Untuk kamera hadapan, ia digalas oleh sensor 32 MPM (f/2.0). Berdasarkan hasil gambar, antara kekuatan utama yang terdapat pada Vivo V17 ini adalah penghasilan gambarnya yang nampak kemas dan cantik di mata. Warnanya pekat, tajam, pendedahan yang cukup tanpa mengira waktu, sama ada siang mahupun malam.



Namun jika diteliti dengan baik, kita dapat lihat gambar yang terhasil adalah tidak sama seperti warna sebenar (true to life) kerana ia gemar memekatkan warna dan meningkatkan kontras pada gambar yang telah diambil. Bagi saya, Vivo dilihat bijak dalam menggunakan algoritma AI mereka untuk membuatkan gambar-gambar yang diambil tampak sedia untuk dinaikkan pada media sosial. Bagi kamera hadapan pula, jika anda mematikan fungsi Beauty Mode, kamera 32MP ini mampu menghasilkan gambar selfie yang sangat baik, penuh dengan informasi dan warna yang pekat.

Bagi rakaman video, tetapan tertinggi yang boleh digunakan adalah pada 4K 30fps namun pada tetapan ini, video dilihat agak bergegar tanpa sebarang penstabilan. Jika anda inginkan penstabilan yang maksimum, video haruslah dirakam pada tetapan 1080p sahaja samada pada 30fps ataupun 60fps. Untuk kamera hadapan, tetapan tertinggi yang boleh digunakan adalah pada 1080p 30fps sahaja.



Sebelum kita ke bahagian kesimpulan, disini saya akan kongsikan berberapa perkara yang perlu diberitahu iaitu pertama, Vivo V17 didatangkan dengan slot sim jenis penuh yang mana anda boleh menggunakan dwi kad SIM dan sokongan MikroSD sehingga 256GB. Terdapat dua pilihan warna yang ditawarkan iaitu Admiral Blue dan Cyrstal White. Di dalam kotak, Vivo ada membekalkan satu sarung pelindung secara percuma dan yang terakhir, Vivo V17 ini didatangkan dengan kapasiti bateri besar iaitu 4500mAh. Sepanjang penggunaan, Vivo V17 mampu untuk memberikan SOT yang tinggi iaitu sekitar 7 hingga 8 jam penggunaan.

Jadi kesimpulannya,  adakah anda patut membeli Vivo V17 ini? Jawapannya adalah "Ya", jika Vivo V17 ini didatangkan dengan penggunaan cip pemprosesan yang lebih baik. Ataupun jawapannya adalah "Ya", jika Vivo V17 ini dijual pada tanda harga jualan bawah daripada RM1300.

Namun hakikat yang harus kita terima, ia dijual pada tanda harga jualan yang sedikit keras, dan saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjustifikasikan harga jualan dengan spesifikasi yang ditawarkan. Jika nak katakan yang mana Vivo V17 ini menyerlah pada kameranya, tidak juga.

https://www.youtube.com/watch?v=chkEZl8DKFw

Jika nak katakan ia menyerlah pada prestasi, pun tidak juga. Apa yang menarik bagi saya adalah pada skrin Super AMOLED-nya yang cantik serta keunikan warna panel belakang. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan semasa dunia teknologi, saya merasakan yang mana anda tidak akan membeli peranti ini.

Usah salah faham, Vivo V17 ini adalah sebuah peranti yang baik, namun pada harga jualan tersebut, adalah sukar untuk saya menyarankan anda membelinya kerana terdapat banyak lagi peranti lain diluar sana yang mampu menawarkan spesifikasi dan pengalaman yang lebih baik pada harga jualan yang sama.