(Ulasan) Tronsmart Element T6 Plus - Pembesar Suara Mudah Alih Dengan Audio Yang Baik

Mencari pembesar suara tidaklah sesukar mencari jodoh tetapi apabila dipertimbangkan dari segenap arah, pengakhirannya anda barangkali pulang dengan tangan kosong. Anda mungkin mahukan pembesar suara yang lantang, mudah alih, rekaan kemas serta ringkas dan paling penting tidak "merabakkan" poket.

Ditawarkan pada harga promosi untuk tempoh terhad, Tronsmart Element T6 Plus mungkin pembesar suara yang patut anda miliki. Ini merupakan ulasan kami setelah menggunakannya sejak beberapa hari yang lalu.



Dimulakan dengan spesifikasi, Tronsmart Element T6 Plus dihasilkan dengan reka bentuk yang selesa dan mudah dibawa kemana-mana sahaja. Kawalan untuk pelaras bunyi dilakukan dengan cara putaran pada tombol diatas. Tombol itu juga tidak terhad melaras kuat perlahan audio malah apabila ditekan, fungsi Play/Pause mengambil alih. Tekan lebih kurang tiga saat, ia akan mengakifkan pembantu maya pada telefon pintar seperti Google Assistant. Sambungan kepada peranti dibuat menerusi Bluetooth 5.0.

 



Beralih kebahagian sisi pembesar suara silinder ini, butang kawalan terletak berbaris yang memudahkan anda untuk main audio sebelum/selepas, True Wireless Stereo (TWS) menyambungkan dua pembesar suara yang sama (bunyi 3D stereo lebih baik), EQ bagi kesan muzik (Vocal, 3D Deep Bass dan Extra Bass),  serta butang kuasa. Dibawah sekali terdapat 4 jenis port sambungan terdiri daripada Auxiliary Port, USB-C,  USB, serta slot untuk kad  memori TF.



Tronsmart Element T6 Plus kemas dibaluti dengan tekstur sulaman benang serta cahaya biru mengelilingi tombol kawalan, menampakkan lagi sisi premium peranti ini. Dari segi prestasi yang diberikan, pembesar suara ini didatangkan dengan teknologi SoundPulse yang menyampaikan output maksimum 40W bagi bunyi bass lebih mendalam dan vokal lebih jelas.



Ubah kesan bunyi audio dibuat mudah dengan menekan butang EQ kerana secara default, ia akan menetapkannya pada Vocal. Tekan saja satu atau dua kali untuk bunyi bass yang anda rasakan enak ditelinga.



Melayan persembahan Japanese Philharmonic Orchestra bergandingan bersama petikan gitar Yngwie Malmsteen mampu menggamit jiwa dipetang hari. Belum lagi "dibantai" dengan lagu-lagu dendangan As Blood Runs Black, Iron Maiden, Incubus dan seangkatan dengannya. Bagi pembesar suara mudah alih seberat 670g ini, audio yang disampaikan tidaklah menghampakan.

Selain menghiburkan anda, Tronsmart Element T6 Plus juga boleh membantu anda ketika mana telefon pintar dihujung nyawa. Melalui port USB yang disediakan ia boleh berkongsi kuasa pada peranti anda. Dimuatkan dengan bateri 6600mAh pengecasan penuh mengambil masa 3 -5 jam. Dengan bateri yang penuh, ia mampu memainkan muzik terus menerus sehingga 15 jam tetapi berdasarkan tahap kelantangan bunyi yang dimainkan. Menguatkan lagi penawaran pada Tronsmart Element T6 Plus  adalah ciri tahan percikan air IPX6.



Secara keseluruhannya anda boleh dapatkan bunyi yang lantang, rekaan ringkas tetapi masih kelihatan premium, mudah dibawa dan paling penting anda boleh dapatkannya pada harga promosi RM279 (harga asal RM359) bermula hari ini, 30 Ogos 2019 sehingga 8 September 2019. Jadi jika anda betul-betul berminat untuk memilikinya, boleh dapatkan Tronsmart Element T6 Plus dari Lazada.