(Ulasan) Samsung Galaxy Tab A 2018 - Sedap Buat Layan Netflix

Kalau diungkap kembali beberapa tahun yang lepas, tablet cukup digemari pengguna.

Ini mungkin disebabkan skrin telefon pintar ketika itu tidak mampu menampung nafsu mata yang dahagakan paparan yang lebih luas.



Zaman dan tren pun dah berubah seiring dengan teknologi, telefon pintar "phablet" mengambil alih pasaran tetapi itu bukanlah maksud tablet dilupakan.

Samsung sebagai salah satu pengeluar tablet kegemaran ramai telah menghadirkan Samsung Galaxy Tab A untuk tahun ini.



Spesifikasi

  • Skrin berukuran 10.5 inci dengan resolusi 1200x 1920 piksel

  • Snapdragon 450

  • RAM3 GB

  • Storan 32GB dengan slot kad MikroSD sehingga 512GB

  • Slot sim Nano

  • Kamera 8MP dengan autofokus, f/1.9, 1080p@30fps

  • Kamera selfie 5MP, f/2.2, 1080p@30fps

  • Bateri berkapasiti 7300mAh

  • Sistem operasi Android 8.1 Oreo dengan Experience UI9


Rekaan luar

Kalau anda biasa dengan tablet dari Samsung, pastinya sudah tahu tentang rekaannya yang ringkas dan kemas. Panel belakang terasa sedap dipegang dan tidaklah terlalu licin.

Paparan hadapannya seperti tablet-tablet lain dipasaran. Jangan risau, tablet tiada takuk. Kalau tablet pun ada takuk, pengguna seluruh dunia mungkin merusuh.

Layar paparan yang digunakan adalah dari jenis HD Penuh dengan ukuran 10.5 inci diiringi resolusi 1200 x 1920.

Turut melengkapi Galaxy Tab A adalah port USB-C dan bicu audio 3.5mm. Sisinya juga dilengkapkan dengan slot kad sim dan MikroSD.

Sistem operasi



Samsung Galaxy Tab A 2018 menjalankan sistem operasi Android 8.1 Oreo, diperkemaskan dengan antaramuka Samsung Experience 9.0.

Tidak banyak perbezaan antaramuka yang dijalankan ini dengan telefon pintar Samsung. Anda juga boleh dapat ciri tambahan seperti Multi Window, suapan tangan untuk rakaman gambar dan beberapa ciri lagi.



Antara ciri menarik perhatian adalah mod kanak-kanak, sesuai untuk anda yang mempunyai anak-anak kecil.



Prestasi

Setelah penggunaan untuk tempoh lebih kurang seminggu, prestasi yang patut dipuji adalah kuasa bateri yang baik dan kelantangan bunyi hasil daripada  empat corong speaker sokongan Dolby Atmos.



Untuk tonton video, drama, filem dan lain-lain, ia berikan prestasi yang bagus. Nak layan Netflix memang ok, ditambah pula dengan bunyi yang sangat lantang.  Tapi kalau untuk penggunaan liar seperti memainkan permainan mudah alih bergrafik berat seperti PUBG, tidaklah begitu memuaskan.

Seperkara lagi, ia dijual pada harga permulaan RM1699 dengan Snapdragon 450 ditemani RAM 3GB. Apa pendapat anda?

Kami cuba memainkan permainan PUBG. Main boleh main, tetapi jangan berangan untuk pergi ke tetapan tinggi. Pergerakan agak perlahan dan tersangkut-sangkut.

Kamera

Ada ke yang nak tahu pasal kamera tablet? Ok bagi memenuhi ulasan ini, kami sediakan jugalah keupayaan kamera Galaxy Tab A 2018 ini.

Prestasinya bukan terbaik, tetapi tidak terlampau teruk. Anda boleh dapatkan hasil kamera yang lebih baik pada telefon pintar lain pada harga yang lebih murah.

Bagi yang mahu menghiburkan hati atau bermain-main dengan anak, ada ciri pelekat yang menarik untuk ditampal pada gambar.

Contoh-contoh gambar adalah seperti dibawah.







Bateri

Dibekalkan dengan bateri berkapasiti 7300 mAh, ia mampu bertahan hingga dua hari mengikut cara penggunaan sederhana.



Jika dilenjan, ia boleh bertahan sehingga 7-8 jam, dan mungkin cecah setengah hari. Boleh tahanlah.

Kesimpulan yang dapat dibuat, jika anda gemar tonton video di Netflix dan sebagainya, ia sesuai. Tetapi difikirkan kembali dengan tanda harga RM1699, macam tidak munasabah pula apabila dibanding dengan beberapa pilihan lain diluar sana.