(Ulasan) Samsung Galaxy Note 9 - Layak Dinobatkan Sebagai Raja Android Bagi Tahun 2018

Galaxy S dan Galaxy Note adalah dua siri keluaran Samsung yang menjadi tumpuan bukan sahaja peminat mereka malah semua pemerhati industri saban tahun. Selepas memperkenalkan siri S9 pada suku pertama tahun ini, Samsung telah melancarkan pula Galaxy Note 9 pada Ogos lalu.

Kami sekali lagi telah diberi peluang untuk mencuba dan menguji kemampuan peranti premium Samsung ini untuk beberapa ketika. Maka, dalam kiriman ini saya akan kongsikan bersama pembaca pandangan saya terhadap peranti ini selepas menggunakannya.

REKAAN LUARAN


Tidak banyak beza dengan Galaxy Note 8. Itulah kata hati saya selepas melihat peranti ini dari bahagian hadapan buat kali pertama di depan mata saya. Namun perkara ini sudah pun dijangka oleh ramai pihak.



Note 9 mempunyai saiz paparan yang lebih besar sedikit berbanding Galaxy Note 8. Seperti biasa, skrin dwi-lengkung jenis Super AMOLED 6.4-inci QHD+ boleh laras menghiasi bahagian hadapan peranti dengan kualiti imej yang dipaparkan sangat tajam dan jelas.

Namun sekiranya ia pecah atau rosak, mungkin hati anda juga akan pecah berderai apabila mengetahui kos untuk menggantikannya. Maka saya ingatkan pada anda yang ingin memiliki peranti ini, jagalah ia, genggamlah ia dan tatanglah ia bagai minyak yang penuh supaya tidak menangis di kemudian hari.

Atas sebab itu juga lah, Samsung telah menggunapakai pelindungan panel Gorilla Glass 5 di bahagian depan dan belakang peranti ini. Galaxy Note 9 ini juga mempunyai bingkai yang dibina daripada aluminium.



Seperti yang diberitahu tadi, panel belakang model Note 9 ini juga tidak jauh beza dengan rekaan yang ada pada abangnya, Galaxy Note 8. Perbezaan yang paling ketara di antara mereka hanyalah kedudukan pengimbas cap jarinya sahaja. Rekaan kameranya juga sedikit berbeza namun sukar untuk dikesan jika tidak dilihat secara mendalam.

Bahagian sisi bagi kedua-dua model juga kelihatan serupa. Kedudukan butang kuasa di bahagian kanan, kawalan bunyi dan butang Bixby di bahagian kiri. Pembesar suara, S-Pen dan pot sambungan USB Type-C terletak di sisi bawah peranti manakala slot kad sim pula di bahagian atas. Sama, tiada perubahan langsung.



Bercakap mengenai S-Pen, stylus pada model Note 9 kali ini merupakan salah satu perkara yang menerima perubahan terbesar berbanding Note 8. Namun, ianya adalah pada fungsinya dan bukan pada rekaannya. Rekaannya tidak mengalami perubahan ketara, cuma saiznya yang sedikit besar dan sedikit berat.

Dari segi warna, cuma variasi Ocean Blue sahaja yang menerima S-Pen berwarna kuning. Bagi dua variasi lain iaitu Hitam dan Lavender, warna stylus adalah sama dengan warna peranti.

Untuk keselesaaan genggaman pula, bagi saya peranti ini mempunyai kelebaran yang sesuai namun sedikit tinggi. Sukar untuk saya capai bar notifikasi sekiranya menggunakannya secara sebelah tangan.

ANTARAMUKA


Jika dahulu antaramuka Samsung dikenali sebagai TouchWiz, kini ia digelar sebagai Samsung Experience. Tanpa boleh disangkal lagi, ia merupakan salah satu daripada antaramuka Android yang terbaik pada hari ini.

Seperti kebanyakan antaramuka Android yang lain, pengguna hanya perlu swipe ke atas pada Home Screen untuk mengakses aplikasi manakala swipe ke bawah daripada hujung sebelah atas peranti untuk mengakses bar notifikasi.



Keistimewaan sebenar pada antaramuka Samsung Note 9 ini adalah pada kemampuan ubahsuainya. Pengguna dibenarkan untuk mengubah resolusi paparan untuk penjimatan kuasa serta mengaktifkan "Performance Mode" bagi memastikan permainan video dimainkan dengan lebih lancar.

Malah, salah satu perkara yang saya gemari pada peranti Note ialah fungsi Apps Edge dan People Edge-nya. Dengan adanya dua fungsi ini, saya tidak perlu untuk mengakses talam aplikasi bagi membuka aplikasi kegemaran atau senarai kenalan untuk menghubungi mereka yang rapat dengan saya.



Bagi bantuan pintar pula, Galaxy Note 9 dilengkapi dengan dua pembantu pintar iaitu Bixby dan Google Assistant. Tapi bagi saya, saya lebih gemar menggunakan Google Assistant kerana ia dapat bertindak balas dengan lebih cepat dan tepat. Bixby pula, pada saya Samsung perlu lakukan sesuatu mengenai tindak balasnya yang seringkali silap atau kurang tepat.

Walaupun masih didatangkan dengan sistem operasi Android 8.1 Oreo, Samsung Galaxy Note 9 ini hampir pasti akan menerima kemaskini Android 9 Pie tidak lama lagi.

SPESIFIKASI DALAMAN


Dilengkapi dengan cip pemprosesan Exynos 9810 yang setanding dengan Snapdragon 845, memori 6GB RAM serta unit pemprosesan grafik Mali-G72 MP18, kemampuan peranti ini tidak perlu diperbalahkan lagi. Kelas atasan, itu yang saya mampu katakan mengenainya.

Sebagai pemegang hak eksklusif permainan Fortnite, rugi rasanya jika saya tidak mencuba sendiri bermain permainan tersebut buat kali pertama di peranti Android. Hasilnya, amat memuaskan. Tiada sebarang lag, sistem audio stereo dengan sokongan Dolby Atmos serta sentuhan pada skrin Super AMOLED-nya, amat memukau.



Walaupun dengan semua itu, saya masih lagi bermain teruk dalam permainan Fortnite. Biarlah, yang penting PUBG Mobile tetap yang terbaik(fight me!). Oh ya, sebenarnya rekaan skrin lengkung juga sedikit sebanyak mengganggu saya ketika bermain.

Sejak menggunakan peranti ini selama lebih kurang dua minggu, saya dapati tiada langsung masalah lagging atau skrin beku baik ketika bermain games atau pun menatal laman sosial. Cuma suhu peranti teras sedikit panas setelah beberapa lama digunakan, terutamanya ketika bermain permainan video.

Beralih ke fungsi stylus S-Pen pula. Memang layak digelar sebagai stylus terbaik yang ada dalam industri telefon pintar hari ini. Menulis menggunakannya di Galaxy Note 9 boleh dikatakan 98% hampir sama dengan menulis di atas kertas.



Kini, dengan adanya sokongan Bluetooth pada S-Pen kali ini, ia menambahkan lagi sengat yang ada pada stylus Samsung ini. Kini, anda boleh mengambil gambar secara jarak jauh atau beralih ke lagu seterusnya dalam senarai muzik dengan hanya menekan butang shutter yang ada padanya.

Selain itu, antara ciri utama yang ada pada Note 9 kali ini ialah ruang simpanan dalamannya yang besar. Samsung hanya menawarkan dua variasi iaitu 128GB dan 512GB, malah sokongan kad mikroSD sehingga 512GB juga turut ditawarkan. Ini bermakna, ruang simpanan yang anda boleh capai ialah sehingga 1 TB.

Fungsi Samsung Dex juga menerima naiktaraf pada keluaran kali ini di mana ia akan terus diaktifkan setelah anda menyambungkan peranti ini dengan monitor PC menggunakan HDMI serta adapter USB-Type C.



Note 9 juga boleh digunakan sebagai trackpad dan papan kekunci maya semasa Samsung Dex aktif. Malah, anda juga boleh menggunakan telefon anda seperti biasa sambil mengaktifkan Samsung Dex dalam masa yang sama.

Dari segi sistem keselamatannya pula, Samsung mendatangkan sistem nyahkunci melalui imbasan iris mata bersama wajah dan juga imbasan cap jari. Walaupun imbasan iris itu nampak cool, namun saya dapati keberkesanannya agak kurang memuaskan berbanding imbasan cap jari.

PRESTASI KAMERA


Berbeza dengan reka bentuk yang sama seperti Note 8, sokongan kamera utama peranti ini pula adalah seiras dengan kamera yang digunapakai oleh Galaxy S9+. Hadir dengan gabungan dua lensa 12MP, lensa utama pada peranti ini mempunyai bukaan aperture yang boleh laras di antara f/1.5 hingga f/2.4 mengikut kesesuaian cahaya.

Kepelbagaian tona warna dapat dilihat dengan amat jelas dan tajam.






Bokeh juga dapat diperlihatkan dengan sangat baik.



Contoh kualiti swafoto yang dihasilkan menggunakan lensa tunggal 8MP dengan bukaan f/1.7.


 

Kamera peranti ini juga mempunyai lensa telefoto yang menawarkan 2X zoom optikal. Hasilnya, imej yang ditangkap secara telefoto tidak menampakkan pengurangan kualiti secara ketara.


2X zoom optikal


5X zoom digital


10X zoom digital


Hasil gambar dengan10X zoom optikal nampak agak terjejas namun dengan 5X zoom digital, kualiti gambar boleh dikatakan masih berada di tahap yang memuaskan.






Imej yang ditangkap pada keadaan kurang cahaya amat memuaskan dan noise yang dapat dilihat adalah minimal.


Bagi rakaman video pula, kamera utama perani ini mampu merakam dengan kualiti sehingga Ultra HD(2160p) pada 60fps serta mempunyai sokongan penstabilan imej optikal(OIS). Selain itu, ia juga mampu merakam pada kelajuan super perlahan dengan kualiti 720p@960fps. Namun untuk kualiti terbaik, saya cadangkan rakaman dibuat pada 1080p@240fps sahaja.

KETAHANAN BATERI


Bateri juga menjadi satu lagi perkara yang dititik-beratkan oleh Samsung semasa mempromosikan Galaxy Note 9 ini. Mana tidaknya, ia muncul sebagai peranti yang dijana oleh bateri dengan kapasiti terbesar dalam siri Galaxy Note setakat ini, iaitu pada 4,000 mAh.

Trauma dengan apa yang terjadi pada bateri Galaxy Note 7 yang pernah meletup? Jangan risau, kali ini CEO Samsung sendiri telah memberi jaminan bahawa bateri keluaran kali ini tidak akan meletup sama sekali.



Dari segi ketahanannya, saya agak kecewa kerana mendapati bateri peranti ini tidak mampu untuk bertahan selama sehari dengan penggunaan sederhana berat.

Bermain beberapa permainan video, menonton tiga atau empat episod Boruto dan mendengar lagu semasa dalam perjalanan pergi dan balik dari pejabat, saya dapati bateri peranti ini hanya mampu bertahan sekitar 15 ke 17 jam sahaja.

Namun dengan penggunaan ringan atau sederhana, bateri peranti ini dengan mudah mampu bertahan sehingga keesokan hari dengan baki kuasa yang agak banyak. Mungkin bateri peranti ini agak sensitif dengan permainan video hingga terpaksa menggunakan kuasa yang agak banyak. Mungkin.

Bagi pengecasan pula, Note 9 dibekalkan dengan pengecasan pantas Quick Charge 2.0 melalui alat pengecasan Adaptive Fast Charging. Selepas diuji, saya dapati peranti ini memerlukan sekitar 1 jam 38 minit untuk dicas penuh daripada 0%. 30 minit pengecasan pula akan memberikan anda lebih kurang 43% bekalan kuasa.

Tambahan pula, Samsung Galaxy Note 9 juga menyokong fungsi pengecasan tanpa wayar, namun ia perlu dibeli secara berasingan.

KESELURUHAN


Secara keseluruhan, dengan apa yang ditawarkan oleh Samsung pada Galaxy Note 9 ini, ia dengan mudah akan muncul sebagai antara pesaing utama untuk digelar peranti terbaik bagi tahun ini.



Kualiti paparan skrin Super AMOLED-nya tidak perlu dipersoalkan lagi. Kamera yang ada pada peranti ini juga sangat baik, maka tidak hairanlah ia menghuni tangga ketiga menurut laman DXOMark.

Baterinya juga mampu bertahan lama walaupun menimbulkan sedikit persoalan. Ruang simpanan gergasi juga sesuai untuk mereka yang gemar memuat-turun atau menyimpan video kenangan di dalam telefon pintar.

Bagaimanapun, beberapa kelemahan turut dikesan pada peranti ini terutamanya pada sokongan Bixby-nya. Samsung perlu melakukan sesuatu dengan segera mengenainya.

Harga juga tidaklah begitu "mampu milik" jika dibandingkan dengan peranti kelas perdana dari jenama-jenama lain seperti Xiaomi ataupun Huawei.

Namun dengan kualiti yang ditawarkan serta nilai jenama yang ada pada model ini, RM 3,699(128GB) dan RM 4,599(512GB) untuk Samsung Galaxy Note 9 ini merupakan satu peranti dengan nilai yang berbaloi.