(Ulasan) Samsung Galaxy A23 - Seimbang Dalam Kelasnya

Samsung Galaxy A23 merupakan sebuah peranti kelas pertengahan dalam siri A dan boleh kita katakan adik kepada Samsung Galaxy A33 dan ke atas. Selain itu, Galaxy A23 merupakan antara telefon pintar  bawah RM1,000 yang terbaik dalam kelasnya.

Samsung Galaxy A23 dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 680, skrin jenis PLS TFT LCD dengan sokongan kadar segar semula 90Hz, bateri sebesar 5,000mAh, sokongan Android 12 terus dari kotak dan slot khas untuk kad mikro SD.

Dengan harga permulaan sekitar RM799 dan pelbagai ciri dan spesifikasi menarik yang diberikan Samsung di dalam peranti ini, terdapat juga beberapa trade off yang patut anda pertimbangkan jika anda berhasrat untuk membeli peranti ini.

Oleh itu, mari sama-sama kita melihat kelebihan yang ditawarkan dan kekurangan yang tidak dapat dielakkan dalam peranti Galaxy A23 jika anda ingin memilikinya.

Kelebihan


(Mempunyai banyak ciri yang tidak dimiliki peranti lain)

Berbeza dengan peranti Samsung yang datang beberapa tahun lalu, boleh saya katakan hampir semua telefon pintar yang baharu Samsung ketika ini tidak menjengkelkan pengguna dengan bloatware yang melampau termasuklah Samsung Galaxy A23 ini.

Oleh itu, ini merupakan salah satu kelebihan yang dimiliki A23 ini dan ingin saya tegaskan bahawa sukar untuk kita mencari peranti tanpa bloatware dalam segmen harga A23 ini. Walaupun sukar tetapi peranti yang tanpa bloatware selain A23 itu memang ada, cumanya peranti ini memberi nisbah harga-ke-nilai yang lebih berbaloi berbanding yang lain.

Selain perkara bloatware, Samsung bertindak bijak dengan menawarkan anda sokongan perisian One UI 4.1 yang berasaskan Android 12 secara terus daripada kotak. Untuk peranti dalam segmen harga ini, tidak banyak peranti mahupun jenama yang memberi Android 12 secara langsung daripada kotak.

Nak-nak pula, sistem operasi antara muka pengguna juga adalah yang terkini daripada Samsung. Sekaligus, ini memberi anda kelebihan dalam pengalaman penggunaan berbanding peranti jenama lain dalam kelas atau harga yang sama.

Kapsyen: Android 12 dan One UI 4.1 tersedia daripada kotak


Samsung Galaxy A23 dilengkapi paparan skrin dengan panel PLS TFT LCD dan menyokong kadar segar semula 90Hz padanya. Walaupun peranti ini hanya menggunakan panel LCD tetapi ia memberi paparan yang cukup lengkap, cantik untuk harganya dan paling menarik adalah peranti ini mempunyai sudut pandang (viewing angle) antara yang terbaik dalam kelasnya.



Di samping itu, skrin peranti ini dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 5 yang kukuh, tahan lasak dan satu perlindungan yang standard untuk peranti dalam kelas ini. Walaupun Gorilla Glass 5 telah lama dilancarkan pada tahun 2016, tetapi ketahanan yang ditawarkan masih relevan dan lebih murah berbanding penggantinya seperti Gorilla Glass 6 yang dilancarkan tahun 2018.

Jika anda suka berswafoto, merakam video dan berkongsi hasil kreativiti anda itu di media sosial, Galaxy A23 mempunyai ciri OIS (optical image stabilization) yang mampu memberikan hasil gambar dan video yang lebih baik berbanding peranti tanpa ciri ini.

OIS dalam bahasa mudah itu mengurangkan pengaruh gegaran dalam foto dan video anda, jadi hasil gambar anda akan jadi lebih cantik, jelas, stabil dan tidak kabur.

Samsung Galaxy A23 mempunyai 2 ciri yang boleh saya katakan tidak semua peranti andalan, pertengahan mahupun permulaan masih tawarkan kepada pengguna - slot mikro SD dan bicu audio 3.5mm.



A23 disokong dengan storan 128GB dan anda mempunyai pilihan untuk menambahkan saiz storan melalui slot mikro SD yang ada sekiranya anda merasakan angka 128 itu tidak cukup dengan penggunaan anda.

Dengan bicu audio 3.5mm anda lebih fleksibel dengan fon telinga dan fon kepala yang ada di pasaran ketika ini. Hal ini demikian, tidak semua fon telinga dan kepala menyokong sambungan USB Type-C atau bicu audio 3.5mm dan berapa keratlah sangat yang mempunyai kedua-dua jenis sambungan.

Justeru, fleksibiliti yang ditawarkan peranti ini memudahkan pengguna untuk mencari dan memilih mana-mana fon telinga atau fon kepala. Tidaklah saya menekankan ciri bicu audio 3.5mm ini kepada anda melainkan sebab peranti ini mempunyai sokongan Dolby Atmos.

Dek kerana peranti ini hanya mempunyai pembesar suara mono, anda hanya boleh menggunakan ciri Dolby Atmos ini melalui penggunaan fon kepala atau fon telinga sahaja. Menariknya, ia memberi saya kualiti audio yang cukup baik, lantang dan sangat berkualiti untuk kelasnya.

Tambahan lagi, Samsung Galaxy A23 juga disokong dengan saiz bateri 5,000mAh yang besar dan ia memberi prestasi yang cukup baik dengan penggunaan seharian penuh.

Kekurangan


(Prestasi kamera yang agak kurang)

"Setiap yang hidup pasti akan merasai mati", samalah juga dengan sesuatu yang mempunyai kelebihan itu pasti ada kekurangannya dan Samsung Galaxy A23 ini juga tidak dapat lari dari kenyataan tersebut.

Walaupun begitu, usahlah risau kerana kekurangan yang bakal saya senaraikan tidak banyak dan mungkin tidak terlalu ketara bagi sesetengah individu.

Pertamanya, sayang sekali Samsung Galaxy A23 ini tidak menyokong ketersambungan 5G dan masih kekal dengan rangkaian 4G. Padahal sudah banyak jenama telefon pintar lain dalam segmen harga yang sama tetapi mempunyai ketersambungan 5G padanya.

Tidak cukup dengan itu, seperti yang telah saya beritahu dalam topik kelebihan tadi, peranti ini hanya mempunyai pembesar suara mono di bahagian bawah dan kanan peranti ini. Dan kualiti pembesar suaranya tidak menarik minat saya dan hanya sekadar biasa-biasa sahaja. Ia cukup sekadar berfungsi dan melakukan kerjanya sahaja.

Yang keempat dan terakhirnya adalah prestasi kamera dalam menangkap gambar. Biar pun dilengkapi ciri OIS, kualiti gambar yang saya harapkan tidak sama dengan apa yang diberi peranti ini. Bukanlah bermaksud anda tidak boleh mendapatkan gambar yang cantik, tetapi kualiti yang diberikan itu tidak setanding kamera peranti lain dalam segmen yang sama.

Berikut merupakan hasil tangkapan gambar daripada kamera Samsung Galaxy A23 ini:




Kesimpulan


Samsung Galaxy A23 merupakan satu peranti kelas pertengahan yang lengkap dengan ciri-ciri perlu ada pada sesebuah peranti. Dengan bateri sebesar 5000mAh, penggunaan seharian seperti tugasan profesional, pelajar sekolah mahupun yang bakal masuk universiti dan penghantar makanan yang memerlukan peranti kedua.

Walaupun prestasi kameranya tidak sehebat peranti lain, anda kena ingat yang tidak semua membeli sesebuah telefon pintar kerana mahukan prestasi kamera yang mantap. Cukup sekadar kamera itu ada dan berfungsi dengan baik.

Dengan penawaran kelebihan yang lebih baik dan berbaloi berbanding peranti lain dalam kelasnya, Galaxy A23 adalah antara peranti yang patut anda pertimbangkan untuk membeli jika ia berada dalam bajet anda.

Setakat penggunaan untuk permainan mudah alih, tidak menjadi masalah untuk peranti ini mengendalikan sebarang game yang ada diluar sana seperti Mobile Legends: Bang Bang, Apex Legends dan lain-lain asalkan anda berhemah dalam menetapkan tahap grafiknya.

Beli jika:

  • Anda sedang mencari peranti baharu dalam bajet sekitar bawah RM1,000.

  • Anda sedang mencari peranti bajet tetapi mampu untuk mengendalikan tugasan harian.

  • Anda seorang penghantar makanan atau pemandu e-hailing yang ingin mencari peranti kedua.


Jangan beli jika:

  • Anda mementingkan prestasi kamera untuk dapat hasil gambar yang terbaik.

  • Anda mempunyai bajet yang lebih daripada RM1,000.

  • Anda memilih untuk peranti kelas pertengahan yang lebih berkuasa.


Beli Samsung Galaxy A23 di:

Shopee - https://invle.co/clc5qpq

Lazada - https://invol.co/clc5qro