ASUS baru sahaja memperkenalkan ROG Phone 9 Pro, salah satu telefon gaming terawal yang dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite, peranti gaming generasi kesembilan ini dilihat kekal dengan spesifikasi kelas premium dan melakukan penambahbaikkan dari peranti terdahulunya.
Sebelum ini, kami telah mencuba realme GT 7 Pro dan iQOO 13 yang juga menggunakan cip Snapdragon 8 elite ini. Memandangkan peranti ini telah tiba, kami terus mencuba bermain permainan mudah alih bagi merasai prestasi yang diberikan cip baharu ini dalam model ROG Phone 9.
Seperti biasa untuk menguji peranti ini, kami akan menggunakan permainan yang memerlukan grafik tinggi seperti Genshin Impact, COD Warzone, Wuthering Wave, dan CarX Street pada tetapan tertinggi.
_____
[specs]
Pemproses: Qualcomm Snapdragon 8 Elite
Skrin: LTPO AMOLED, 1B warna, 185Hz
Saiz: 6.78 inci (resolusi 1080 x 2400 piksel)
Kecerahan: 2500 nits
Kamera: 50MP (lebar) + 32MP (telefoto) + 13MP (ultralebar), 32MP (swafoto)
Kapasiti bateri: 5800mAh
Pengecasan: 65W (berwayar), 15W (tanpa wayar)
Sambungan: Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4, NFC
Penarafan: IP68/IP69K
[/specs]
Rekaan
Dilihat secara mata kasar seperti tiada perubahan besar daripada model sebelumnya, iaitu ROG Phone 8. Rekaan fizikal hampir sama seperti ROG Phone 8 Pro, dengan animasi vision lebih besar dan interaktif. Namun, terdapat kemasan matte pada model Phantom Black yang dapat menambah seri pada peranti ini.
Terdapat ciri unik pada peranti ini, iaitu paparan AniMe Vision baharu di mana skrin LED di bahagian belakang kini hadir dengan 648 titik LED, menyokong teks Mandarin dan Jepun, serta permainan mini khas melalui Armoury Crate.
Pengalaman Penggunaan
Dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite cip, saya mencuba beberapa permainan seperti Genshin Impact, COD Warzone, Wuthering Wave, dan CarX Street. Dalam tempoh ujian ini, saya mendapati peranti ini tiada sebarang masalah atau lag untuk memainkan permainan yang menggunakan grafik tinggi.
Teknologi penyejukan GameCool 9 juga sangat membantu. Dengan AeroActive Cooler X Pro, suhu purata turun sehingga 5°C, menjadikannya pilihan ideal untuk sesi gaming panjang.
Ciri X-Capture yang membolehkan pengguna merakam momen gaming, serta kadar segar semula hingga 185Hz, terasa lebih lancar kerana ia hanya boleh diaktifkan melalui Game Genie, tetapi tiada permainan yang menyokong kadar segar semula setinggi itu.
Bateri kini dinaik taraf kepada 5,800mAh, dengan pengecasan 65W yang sama sejak generasi ROG Phone 5. SOT untuk game AAA adalah sekitar 4-5 jam, manakala game arus perdana seperti MLBB boleh mencapai 7 jam permainan tanpa henti.
Bagi saya kualiti audio dwi pembesar suara ini sudah cukup memuaskan, tetapi bila dipadankan dengan AeroActive Cooler X Pro yang mempunyai subwoofer sebagai ciri baharu menjadikan pengalaman audio ketika saya sedang gaming lebih mengasyikkan.
Walaupun ROG Phone 9 ini merupakan peranti gaming, tetapi ia masih menawarkan kualiti kamera yang cantik. Untuk kegunaan multi tugas yang lebih cenderung ke arah gaming peranti ini sangat disyorkan. Namun, setiap peranti mempunyai kelemahan dan kekurangan tersendiri, untuk kamera swafoto, ia agak mengecewakan.
Bagi setiap pembelian ASUS ROG 9 PRO akan dibekalkan dengan berberapa aksesori menarik seperti tiga jenis selongsong peranti yang berbeza dan sebuah AeroActive Cooler X Pro.
Penanda Aras
Telefon ini mencatat skor hampir 3 juta di Antutu dan hampir 10,000 di Geekbench untuk multi teras. Dalam ujian gaming dengan Genshin Impact, COD Warzone, Wuthering Wave, dan CarX Street, telefon ini mengekalkan kadar bingkai stabil 60fps pada tetapan grafik tertinggi.
Berikut adalah beberapa skor perisian penanda aras yang kami gunakan untuk menguji kemampuan peranti, iaitu 3DMark Wild Life Extreme, Geekbench 6 dan AnTuTu. Hasilnya, kami mendapat skor seperti di bawah:
- 3DMark Wild Life Extreme – 5767
- Geekbench 6 – 3114 (teras tunggal), 9741 (multi teras)
- AnTuTu – 2776341
Kesimpulan
Secara keseluruhannya ROG Phone 9 Pro tidak menghampakan peminat jenama ini. Dengan penawaran harga bermula RM3,999, peranti gaming ini juga dilengkapi kualiti kamera yang baik.
Dilengkapi kualiti audio yang sedap didengari ditambah lagi dengan AeroActive Cooler X Pro yang menawarkan subwoofer, ia mampu memberikan pengalaman gaming yang sangat mengasyikkan.
ASUS ROG Phone 9 Pro mungkin kelihatan serupa dengan model sebelumnya, tetapi peningkatan pada prestasi dalaman, bateri, dan ciri unik menjadikannya penaiktarafan yang berbaloi.
Ia telah dipasarkan pada pasaran global sejak 19 November, namun hari ini merupakan pelancarannya secara rasmi di Malaysia.
ROG Phone 9 ini merupakan antara peranti gaming terbaik yang dihasilkan pada tahun ini.
Walaupun harganya agak sedikit mahal berbanding peranti gaming lain yang menggunakan cip Snapdragon 8 Elite, bagi saya ia berbaloi untuk dipertimbangkan untuk para gamer sejati yang menginginkan fungsi trigger button serta bunyi yang mengasyikkan daripada sebuah subwoofer.
Bagi seorang pemain yang menginginkan kebolehan multi tugas serta permainan yang lancar dengan harga yang lebih mampu milik, saya sarankan untuk mempertimbangkan realme GT7 Pro dan iQOO 13 kerana rata-rata peranti ini menawarkan harga yang lebih kurang sama, iaitu RM3,6++.
Bagi yang mahukan ketahanan bateri yang lebih lama saya sarankan untuk mempertimbangkan REDMAGIC 10 Pro kerana peranti ini menawarkan kapasiti bateri sebesar 7,050mAh.
Setakat ini saya telah menguji tiga peranti gaming yang menggunakan cip terbaharu iaitu Snapdragon 8 Elite seperti realme GT7 Pro, iQOO 13 dan ASUS ROG Phone 9 Pro ini sendiri. Oleh yang demikian, teruskan bersama kami untuk ulasan berkenaan pemilihan peranti gaming serta kebaikan dan keburukannya.
{suggest}