realme GT 7 Pro merupakan telefon pintar berkelas andalan daripada realme. Ia dilengkapi cip pemprosesan terkini Snapdragon 8 Elite. Walaupun siri Xiaomi 15 menjadi peranti pertama di dunia dengan cip tersebut. Namun, realme GT 7 Pro adalah peranti dengan Snapdragon 8 Elite pertama di Malaysia.
Memandangkan telefon ini sudah mendarat di pejabat Wiser MY, kami terus mencuba bermain permainan mudah alih bagi mengetahui kemampuan sebenar telefon andalan realme ini dan juga prestasi cip terbaru Qualcomm itu.
Kami menguji dengan permainan seperti Genshin Impact, Wuthering Waves, Warzone, dan Diablo Immortal pada tetapan tertinggi. Selain itu, kami turut menguji dengan bermain permainan AAA seperti Assassin’s Creed Rogue menerusi Game Hub. (Game Hub tidak tersedia apabila dilancarkan secara rasmi nanti)
Sebagai gambaran awal kepada anda, telefon ini berjaya mengekalkan 60fps tanpa isu. Tambahan pula, dengan GT Mode, prestasi CPU dan GPU dipertingkatkan ketika gaming, menjadikannya setaraf dengan telefon yang memfokuskan gaming.
Rekaan
Sebelum kita pergi ke prestasi gaming, kita lihat terlebih dahulu rekaan peranti ini. Dari segi luaran, GT 7 Pro tampil lebih premium dengan kemasan matte yang lebih elegan berbanding model sebelumnya, GT 6 Pro, yang menggunakan kemasan licin. Modul kamera kini dilihat lebih kemas dan rasanya, ramai anda di luar sana cenderung dengan modul kamera sebegini.
realme juga memperkenalkan warna merah “Mars Design” pada panel belakang, diinspirasikan daripada planet Marikh, memberikan penampilan unik yang membezakan GT 7 Pro daripada peranti lain.
Peranti sebesar ini, bagi saya merupakan saiz ideal untuk sesebuah telefon yang fokusnya ke arah gaming. Bukan sahaja dapat membekalkan paparan yang luas dan jelas, malah ia mampu memberikan pengalaman permainan yang memuaskan. Bagi Saya dari segi pegangan tangan, telefon ini boleh dikatakan selesa untuk dipegang dan dibawa kemana-mana serta tidak menjejaskan untuk penggunaan sebelah tangan.
Pengalaman ‘Gaming’
Dengan penggunaan cip baharu Snapdragon 8 Elite, rata-rata di luar sana mahu mengetahui kemampuan gaming. Apa yang boleh saya katakan, ia mampu memberikan pengalaman gaming yang sangat lancar terhadap permainan yang ‘graphic demanding’ tanpa sebarang masalah. Malah, selepas tempoh permainan selama 3 jam pun, tidak terasa lag.
Untuk ujian awal, permainan seperti PUBG Mobile, Mobile Legend dan Honor of Kings ibarat tutup mata sahaja. Ini kerana permainan sebegitu terlalu mudah bagi realme GT 7 Pro. Namun, saya tetap mengujinya kerana kesemua permainan ini paling banyak dimainkan.
Sebagai seorang mobile gamer sejati, sebelum ini saya menggunakan iPhone sebagai peranti gaming saya di mana ia mampu memberikan prestasi yang lancar dan resolusi tinggi terhadap sesebuah permainan. Namun, ia mengalami sedikit kekangan dari segi suhu atau boleh saya katakan, mudah panas.
Akan tetapi, selepas saya menggunakan realme GT 7 Pro, saya mendapati suhu untuk peranti ini lebih terkawal berbanding iPhone, menjadikan saya tidak berdepan sebarang masalah atau gangguan ketika bermain.
Peranti ini juga menyokong penggunaan alat kawalan mudah alih, setelah digabungkan dengan alat kawalan ini, saya mendapat pengalaman yang hampir sama seperti PSP dahulu tetapi dengan penambahbaikan terhadap resolusi yang diberikan. Antara permainan yang telah diuji adalah Wuthering Waves, Call of Duty Warzone. Sayang sekali, permainan Genshin Impact versi Android tidak menyokong alat kawalan ini.
Satu kelemahan kecil semasa bermain adalah kedudukan pembesar suara stereo yang menghala ke bawah. Apabila dipegang, ada kemungkinan pembesar suara ini tertutup dan mengurangkan kualiti audio.
Bukan itu sahaja, saya juga mencuba permainan Assassin’s Creed Rogue dan GTA V melalui Game Hub yang sudah dipasang dalam peranti. Menariknya Game Hub apabila dibuka dalam peranti ini, seolah-olah saya sedang menggunakan Steam Deck. Buat pengetahuan, ia merupakan PC Emulator dan ada juga bahagian bagi memainkan Xbox Game Cloud serta PS Remote Play yang mana apabila anda beli peranti ini kelak, ia tidak disediakan.
Walau apa pun, di sini saya mahu tekankan bahawa, sesi bermain Assassin’s Creed Rogue cukup lancar. Telefon ini dapat mengekalkan kadar bingkai 60 fps dengan bebanan GPU sangat rendah, iaitu sekitar 70% sahaja.
Benar yang ia adalah emulator dan permainan ini bukanlah baharu sepertimana Assassin’s Creed Mirage yang ada di iOS tetapi apa yang saya mahu kata, realme GT 7 Pro masih dapat mengendalikan permainan berstatus AAA. Dengan ini, saya cukup mengharapkan yang pembangun permainan sudah boleh menawarkan permainan sebegini pada telefon yang dikuasakan Snapdragon 8 Elite.
Bagaimana pula dengan suhu peranti ini?
Untuk ini, saya telah bermain permainan Genshin Impact selama 30 minit dengan tetapan grafik paling maksimum. Saya mendapati bacaan suhu tidak terlalu tinggi di mana ia mencatatkan suhu hanya serendah 37°C. Bacaan tersebut adalah ketika saya bermain pada suhu bilik tanpa sebarang alat penyejukan lain untuk bermain. Oleh itu, saya berpuas hati dengan apa yang diberikan.
Penanda Aras
Tidak lengkaplah kalau tiada ujian penanda aras bukan? Sebabnya, ia jauh lebih mudah untuk anda mengetahui kemampuan peranti ini.
Berikut adalah beberapa skor perisian penanda aras yang kami gunakan untuk menguji kemampuan peranti, iaitu 3DMark Wild Life Extreme, Geekbench 6 dan AnTuTu. Hasilnya, kami mendapat skor seperti di bawah:
- 3DMark Wild Life Extreme – 5821
- Geekbench 6 – 2756 (teras tunggal), 8502 (multi teras)
- AnTuTu – 2,606,426
Pembesar suara
Bagi yang tidak menggemari penggunaan fon telinga ataupun fon kepala, pembesar suara yang ditawarkan peranti ini sudah memadai. Dengan kejelasan bunyi yang diberikan, saya dapat mendengar bunyi dentuman bom dan tembakan yang sangat mengasyikkan selepas bermain permainan Call of Duty Warzone.
Walau bagaimanapun, pembesar suaranya bagi kegunaan seperti memainkan lagu tidak cukup baik untuk telefon berkelas andalan. Namun, ia bukanlah teruk. Cumanya, tidak mencapai standard.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, realme GT 7 Pro sebenarnya berjaya menjadi peranti andalan dengan prestasi gaming yang cemerlang, rekaan premium, dan bateri tahan lama. Walaupun kualiti audio memainkan lagu tidak seperti yang diharapkan tetapi untuk gaming memang tiada masalah.
Apa yang boleh disimpulkan kepada anda, setakat yang saya uji, realme GT 7 Pro memang sebuah peranti berkelas andalan sebenar daripada realme.
Pun begitu, buat masa sekarang, kami tidak boleh berkongsi spesifikasi penuh, kemampuan kamera, dan lain-lain. Ini kerana, realme GT 7 Pro masih belum dilancarkan secara rasmi lagi.
Ia bakal diperkenalkan pada 4 November depan. Oleh yang demikian, teruskan bersama kami untuk ulasan penuh nanti.
{suggest}