Sebagai permulaan tahun baru 2024 ini, kita dapat lihat syarikat ASUS ROG memulakan langkah baharu mereka dengan penampilan secara rasmi produk terbaru telefon gaming mereka.
Dahulunya, siri ROG Phone daripada ASUS ROG ini telah memberikan impak yang besar kepada komuniti siri ROG Phone 6 dan ROG Phone 7 dengan kekurangannya dari sudut mudah kehabisan bateri dan skrin tidak responsif terhadap sentuhan yang dipercayai berpunca daripada perisian.
Namun begitu, isu-isu itu dikatakan telah diperbaiki dan dipertingkatkan prestasinya dalam keluaran produk terbarunya iaitu siri ASUS ROG Phone 8 yang tampil dengan moto ‘Beyond Gaming‘.
Walaupun bunyinya kedengaran pelik bagi pemahaman anda semua seperti telefon ini akan memfokuskan ciri tertentu selain daripada gaming.
Selepas saya menggunakannya selama 2 minggu, siri terbaru ROG Phone ini tetap mementingkan prestasinya untuk penggunaan gaming sekali gus untuk penggunaaan harian juga.
Model yang akan saya ulas ini ialah ROG Phone 8 Pro Edition yang merupakan model paling mahal dalam siri ROG Phone 8.
Spesifikasi
[specs]
Cip: Snapdragon 8 Gen 3
Memori: 24GB RAM LPDDR5X
Storan: 1TB UFS 4.0
Sistem Operasi: Android 14, ROG UI
Skrin: SAMSUNG AMOLED FHD+, 2400 x 1080, 6.78 inci, 120Hz
Kamera: 50MP lebar, 32MP telefoto, 12MP ultra lebar
Kamera Swafoto: 32MP lebar
Kemampuan Video: 8K UHD 24fps, 4K UHD 30/60 fps
Bateri: 5,500mAh, Quick Charge 5.0, 65W berwayar, 15W wayarles
Ciri Tambahan: ‘X Mode’, AeroActive Cooler X, Aero Case, Clear Case
Lain-lain: WiFi 7, Bluetooth 5.3
[/specs]
{suggest}
Reka Bentuk
Sebelum kita masuk ke bahagian utama ROG Phone 8 Pro Edition ini, izinkan saya untuk membincangkan serba sedikit tentang reka bentuknya yang boleh saya katakan agak unik daripada model ROG Phone 8 versi standard dan versi Pro mahupun siri ROG Phone yang terdahulu.
Hal ini kerana perkara pertama yang menyerlah di mata saya dan mungkin setiap pembeli telefon pintar semestinya rupa bentuk sesuatu telefon itu kerana segalanya akan bermula dari mata dan akan turun ke hati bagi memikat peminatnya.
Ciri unik yang saya katakan itu terletak di bahagian belakang telefon ini kerana ia dilengkapi dengan paparan AniMe Vision Mini-LED yang tersedia dengan variasi elemen sebanyak 341 jenis secara keseluruhannya menurut pihak ASUS ROG.
Tiga gambar di atas adalah antara elemen AniMe Vision Mini-LED yang akan dipaparkan ROG Phone 8 Pro Edition semasa ia tidak digunakan yang terdiri daripada perkataan ROG, waktu semasa dan kapasiti bateri semasa telefon itu.
Selain daripada itu, anda juga akan melihat satu elemen berbentuk tulisan bergerak apabila melancarkan mana-mana permainan yang mengatakan ‘GAME START’ sepanjang sesi permainan berlangsung.
Malah, apabila anda menggunakan mod kamera pun, lampu pada panel belakang itu juga akan memaparkan ikon kamera.
Dari sudut reka bentuk kamera pula, saya rasa anda tidak perlu bersusah payah untuk mencari pelindung kaca untuk kamera belakang telefon ini kerana reka bentuk lensanya yang terbenam ke dalam membuatkan saya yakin kaca kamera telefon ini dapat bertahan dengan lebih lama.
Saya rasa reka bentuk kamera yang tertimbul keluar ini telah banyak diterapkan oleh mana-mana jenama telefon keluaran terkini tetapi jika anda adalah seorang individu yang mempunyai perasaan was-was tentang keselamatan barangan anda, pilihan terletak kepada anda kerana ia adalah hak persendirian.
Dalam pada itu, telefon ini juga turut hadir bersama dua selongsong telefon yang terdiri daripada Aero Case dan Clear Case dengan dua jenis bahan yang berbeza iaitu plastik dan getah silikon.
Reka bentuk selongsongnya yang terbuka untuk bahagian belakang telefon ini juga menepati keupayaan sistem penyejukannya iaitu AeroActive Cooler X untuk berfungsi tanpa penghalang.
Lain-lain ciri yang mugkin dianggap remeh oleh para pengguna telefon pintar biasa seperti bicu audio dan dua slot pengecas USB-C yang terletak di bahagian bawah dan sisi turut disediakan untuk ROG Phone 8 ini dan membuatkan saya menaikkan ibu jari sebagai tanda lulus kepada ROG untuk reka bentuk.
Prestasi
Sekarang kita akan masuk ke bahagian paling utama bagi mana-mana telefon gaming untuk dibahaskan iaitu tahap prestasi sebenar yang ditawarkan oleh ROG Phone 8 Pro Edition ini dan keupayaannya dalam mencapai tahap kepuasan setiap pemain permainan mudah alih.
Untuk membuktikan kebolehan telefon gaming ini, saya telah memuat turun beberapa permainan mudah alih yang agak berat dan juga permainan yang ramai mainkan seperti Black Desert, Genshin Impact, COD Mobile dan Mobile Legends serta melancarkan setiap daripadanya dengan tetapan grafik paling tinggi.
Sebagai contoh pertama, saya akan mulakan dengan paparan rakaman video sesi permainan Mobile Legends yang telah ditetapkan tetapan grafiknya kepada mod Ultra serta menghidupkan togol garis kasar di sekeliling karakter untuk memperlihatkan kepada anda potensi sebenar permainan ini.
Saya rasa sangat berpuas hati dengan prestasi telefon ini yang mampu menyokong tetapan paling tinggi bagi sesebuah permainan harian yang telah pun menjadi salah satu permainan mudah alih popular di khalayak ramai.
Hal ini membuatkan perasaan di dalam lubuk hati saya yang telah lama terpendam membuak-buak seperti api yang membara kuat untuk memilih ROG Phone 8 Pro Edition ini sebagai peranti yang boleh membawa saya ke peringkat Glorious Mythic dalam permainan Mobile Legends ini.
Seterusnya, kita beralih ke permainan Genshin Impact tetapi video yang dipaparkan ini hanya pada resolusi 720p.
Namun begitu, anda tidak perlu risau kerana anda boleh menilai sendiri kualiti permaianan yang ditawarkan oleh telefon ROG Phone 8 Pro Edition ini melalui video di atas yang memaparkan pelbagai skill daripada pelbagai karakter dengan pergerakan yang sangat lancar tanpa sekatan animasi.
Saya juga jamin kepada anda bahawa permainan mudah alih yang menggunakan kualiti grafik tinggi seperti ini sangat sesuai untuk dimainkan secara harian pada ROG Phone 8 Pro Edition.
Tambahan lagi, telefon ini juga telah berjaya merekodkan suhu sehingga 47 darjah celcius apabila saya mencapai tempoh masa 30 minit dalam sesi permainan Genshin Impact dengan tetapan paling tinggi.
Akan tetapi hal itu tidak membimbangkan saya kerana ROG Phone 8 Pro Edition ini didatangkan dengan sistem penyejukan terbarunya iaitu kipas AeroActive Cooler X yang dikatakan telah dipertingkatkan oleh pihak ASUS ROG dari segi kelajuan bilah kipasnya jika dibandingkan dengan keluaran terdahulu.
Selepas saya menggunakan kipas ini, hati saya menjadi tenang dan lega kerana ia dapat mengurangkan suhu peranti ini sehingga mencecah bawah 40 darjah celcius semula dalam tempoh masa yang singkat.
Hal ini membuatkan semangat saya untuk meneruskan permainan tanpa sebarang kerisauan telah muncul kembali.
Berdasarkan gambar di atas, anda boleh dapati paparan graf yang dipaparkan semasa sesi permainan berlangsung dan daripada graf itulah saya dapat simpulkan yang peranti ini mampu untuk mengekalkan suhu tetap pada bawah 40 darjah celcius bagi beberapa permainan mudah alih dalam tempoh masa yang panjang.
Untuk pengetahuan anda, paparan graf itu adalah sebahagian daripada ciri ‘X Mode’ yang merupakan perisian dalaman daripada pihak ASUS ROG.
Ciri ini akan tampil secara automatik di paparan skrin sewaktu aplikasi permainan dilancarkan untuk memberikan para pengguna untuk memantau keadaan atau data semasa peranti siri ROG Phone 8 ini dari sudut kegunaan CPU, GPU, kapasiti bateri, tahap suhu peranti dan FPS semasa.
Apa yang boleh saya katakan untuk telefon ini merupakan salah satu telefon gaming yang agak “ganas”.
Hal ini kerana penanda aras yang dikeluarkan daripada aplikasi Geekbench 6 untuk prestasi CPU dan aplikasi 3DMark untuk prestasi GPU jauh mengatasi keputusan penanda aras bagi Samsung Galaxy S23 Ultra.
Kamera
Setelah selesai bahagian prestasi dan gaming, kita akan teruskan kepada bahagian yang patut wujud bagi setiap peranti telefon pintar, iaitu kamera.
Berdasarkan spesifikasi kamera yang telah ditawarkan oleh pihak ASUS ROG dan pengalaman saya menggunakan kamera ROG Phone 8 Pro Edition ini untuk menangkap gambar harian, saya boleh katakan yang pihak ASUS ROG telah menggunakan motonya, ‘Beyond Gaming’ dengan sebaiknya.
Hal ini dapat dibuktikan dalam beberapa gambar yang telah saya ambil di bawah sebagai contoh bagi anda yang masih mempunyai perasaan ragu-ragu terhadap kamera telefon pintar ini yang dikatakan hanya memfokuskan kepada prestasi gaming sahaja.
Pada pendapat saya, hasil gambar ini boleh dikategorikan sebagai gambar yang bagus kualitinya kerana kamera telefon ini mampu untuk menangkap gambar dengan cekap walaupun tangan saya masih bergoyang semasa mengambil gambar.
Bagi anda yang mempunyai masalah untuk menstabilkan tangan dan menetapkan kedudukan kamera seperti saya, masalah-masalah itu boleh ditangani dengan kamera ROG Phone 8 Pro Edition ini kerana ia dilengkapi dengan satu garisan panduan yang akan membantu anda mengambil gambar pada kedudukan yang stabil dan tidak condong.
Turut juga saya sediakan bagi para peminat gambar jenis potret beberapa hasil gambar potret yang berjaya ditangkap dengan menggunakan kamera telefon ROG Phone 8 Pro Edition ini.
Kualitinya sangat memberansangkan apabila diperhatikan dengan teliti kerana garis kasar bagi sesuatu objek itu dapat dilihat dengan mudah tanpa sebarang kekaburan.
Tidak lupa juga kepada hasil gambar daripada kamera swafotonya yang membuatkan saya mengaku bahawa kualiti keseluruhan bagi kamera ini adalah baik dan tidak mengecewakan.
Tambahan lagi, saya memuji juga untuk gambar malamnya menerusi ‘night mode’.
Jika anda dapat lihat beberapa hasil gambar yang saya sediakan di atas, ia boleh dikategorikan agak baik untuk sesebuah peranti dalam kategori ini.
Anda juga tidak perlu risau akan kualiti kamera siri ROG Phone 8 ini kerana spesifikasi bagi ketiga-tiga versinya adalah sama dan daripada situ saya telah menyediakan satu kelebihan kepada anda yang ingin membeli telefon ini.
Kelemahan
Walaupun ROG Phone 8 Pro Edition ini memberikan pengalaman yang bagus dari sudut gaming dan kameranya serta pada masa yang sama mencapai tahap kepuasan para pemain permainan mudah alih, saya sebagai salah seorang penggunanya ingin menyatakan beberapa perkara yang boleh diperbaiki oleh pihak ASUS ROG dan penggunanya sendiri.
Salah satunya adalah paparan skrin penuh telefon ini yang pada pendapat saya agak mengganggu fokus sewaktu sesi permainan berlangsung dengan kamera swafotonya yang dipasang secara punch hole.
Sehubungan dengan itu, kita dapat lihat bahawa perkara ini tidak berlaku untuk siri ASUS ROG Phone 7 kerana kamera swafotonya dibina secara built-in sekaligus memberikan paparan skrin secara penuh tanpa gangguan bulatan hitam di bahagian atas skrin semasa sesi permaianan berlangsung.
Perkara ini mungkin dianggap yang ia boleh disesuaikan oleh ramai pengguna tetapi sesetengah individu yang mementingkan sifat kesempurnaan bagi setiap barangan hak milik mereka, hal ini boleh dikategorikan sebagai satu kelemahan yang datang daripada syarikat ASUS ROG sendiri kepada peranti siri ROG Phone 8.
Satu lagi kekurangan yang boleh diperbaiki oleh anda sendiri yang ingin membeli ASUS ROG Phone 8 ini adalah menyediakan pelindung skrin sama ada yang biasa ataupun yang licin bagi individu yang permukaan tangannya selalu dalam keadaan kering untuk pengalaman permainan yang lebih baik.
Walaupun perkara ini tidak berapa penting untuk dibincangkan tetapi saya yakin untuk telefon pintar gaming keluaran terkini daripada syarikat ASUS ROG yang terkenal dengan kepakaran mereka dalam teknologi perkakasan gaming, ia adalah satu kekurangan yang agak besar kerana siri ROG Phone 8 ini tidak dibekalkan dengan pelindung skrin dan anda yang ingin membeli peranti ini perlu cakna tentang hal ini sebagai langkah berhati-hati.
Mungkin di mata beberapa pihak, kekurangan ini adalah perkara yang kecil tetapi bagi saya ia dapat meningkatkan lagi kebarangkalian paparan skrin telefon ini untuk mudah tercalar dan pecah walaupun dengan hentakan yang tidak terlalu kuat.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan siri terkini ASUS ROG Phone 8 ini kerana pihak ASUS ROG berjaya memperbaiki masalah perisian dalaman yang dahulunya dihadapi oleh kebanyakan pengguna siri ROG Phone 6 dan ROG Phone 7 selepas mereka menggunakannya dalam jangka masa yang panjang.
Hal ini telah saya buktikan selepas dua minggu penggunaannya sebagai peranti harian dengan memuat turun pelbagai aplikasi permainan serta memainkannya pada tetapan yang paling tinggi.
Perkara ini adalah sesuatu yang kurang berkesan untuk telefon pintar tahap standard melakukannya kerana ia memerlukan sokongan cip pemprosesan gaming, memori, storan yang tinggi dan sistem penyejukan yang baik bagi mencapai prestasi gaming yang mantap dan berkesan.
Tambahan lagi, ROG Phone 8 kali ini juga tidak terlalu nampak gaming seperti kebanyakan peranti dalam kategori ini.
Ia ibarat Zenfone versi gaming. Jadi, jika anda mahukan peranti gaming berkuasa tetapi rupa yang nampak “profesional”, ROG Phone 8 Pro Edition ini adalah untuk anda.
Bagi anda yang berminat untuk membeli peranti ROG Phone 8 Pro Edition ini, anda boleh dapatkannya di pasaran tempatan dengan harga yang telah ditetapkan iaitu RM5,999 bermula 30 Januari 2024.
Beli siri ROG Phone 8 di:
Lazada – https://invol.co/clknp3p