HMD Skyline adalah telefon pintar kelas pertengahan yang memfokuskan kepada aspek kemampanan dengan menawarkan ciri baik pulih kendiri yang jarang ada dalam telefon masa kini. Dengan harga RM2099, adakah HMD mampu menambat hati peminat Nokia sebelum ini?
.
[specs]
Cip: Snapdragon 7s Gen 2
Memori: 8GB RAM
Storan: 256GB dengan sokongan kad microSD
Sistem Operasi: Android 14 asli
Skrin: 6.5-inci pOLED, resolusi 2400 x 1080, kadar segar semula 144Hz, 1000 nits maksimum
Kamera: 108MP utama, ultra lebar 13MP, telefoto 50MP, swafoto 50MP
Bateri: 4,600mAh, 33W berwayar, 15W wayarles (Qi2), 5W pengecasan berbalik
Kalis air dan debu: IP54
Lain-lain: “action button”, Bluetooth 5.2, Nano SIM, eSIM, 5G, pengimbas cap jari sisi, pembesar suara stereo
[/specs]
Reka Bentuk
Pada pandangan pertama saya selepas proses nyahkotak, telefon ini menawarkan sedikit elemen nostalgia di mana pada pengalaman pertama saya memegang telefon ini, ia terasa sama seperti memegang sebuah telefon Nokia Lumia suatu ketika dahulu.
HMD Skyline tampil dengan reka bentuk yang mengimbau kenangan, terutama buat peminat lama Nokia. Peranti ini masih dilengkapi dengan bezel nipis yang mengelilingi skrin bucu bulat serta kamera swafoto yang diletakkan di tengah atas skrin.
Namun, satu ciri unik Skyline adalah penggunaan bingkai logam berbentuk segi empat yang mengelilingi keseluruhan badan telefon. Berbeza daripada reka bentuk telefon pintar moden yang biasanya bingkai ke arah skrin. Menariknya, pilihan ini bukan sekadar gaya tetapi juga memenuhi keperluan praktikal dengan skrin dan penutup belakang yang boleh diganti sendiri, rekaan ini menyokong elemen modular yang lebih mesra pengguna untuk penyelenggaraan jangka panjang.
Dari segi ciri baharu pula, peranti ini membekalkan “action button” untuk memudahkan pengguna mengakses seseuatu perkara dengan pantas. Uniknya, HMD menawarakan ciri ini pada bahagian butang kuasa dan ‘action button’ itu sendiri dan ia boleh digunakan secara serentak. Namun, untuk pemilihan custom pada bahagian butang kuasa, hanya satu pilihan, iaitu Double Press. Manakala, untuk Action Button pula boleh diakses melalui dua cara, iaitu Press & Hold dan Double Press.
Telefon pintar Skyline menampilkan paparan bersaiz 6.5 inci dengan resolusi 2,400 x 1,080 piksel, kadar segar semula adaptif 144Hz, dan kecerahan puncak 1,000 nits. Skrin ini menawarkan pengalaman tontonan yang lancar serta cukup jelas dan terang.
Prestasi
Dengan bateri 4,600 mAh, prestasi bateri telefon ini agak sederhana jika dibandingkan dengan pesaing lain. Walaupun begitu, ia menyokong pengecasan pantas 33W dan pengecasan wayarles 15W, yang memudahkan pengguna untuk mengecas semula dengan cepat. Telefon ini juga dilengkapi dengan mod ‘Detox’ yang membantu mengurangkan gangguan aplikasi, memberi pengalaman penggunaan yang lebih fokus dan terkawal.
Untuk ujian kemampuan gaming, saya cuba bermain Mobile Legends dengan bateri bermula pada 100%. Selepas kira-kira dua jam permainan (enam perlawanan), bateri masih berbaki 30%. Walaupun kapasiti baterinya agak kecil, daya tahan ini menunjukkan prestasi yang memadai untuk gaming sederhana tanpa perlu terlalu kerap mengecas.
Dari segi prestasi harian, cip pemproses yang ditawarkan sudah cukup baik. Apabila ditatal atau bermain media sosial, masih lagi lancar. Akan tetapi, untuk gaming, anda tidak boleh meletakkan tetapan terlalu tinggi. Hanya sekitar medium atau low sahaja.
Paling menarik, peranti ini memberikan sistem operasi Android asli. Sebenarnya, tidak banyak peranti Android yang menjalankan Android asli. Kalau telefon Nothing pun, ia ada tema ‘Nothing’. Jadi, secara tidak langsung, telefon ini sesuai untuk anda yang mahukan ‘stock Android’.
Kamera
Telefon pintar HMD Skyline tampil dengan kamera 108MP utama yang disokong oleh penstabil imej elektronik dan optik (EIS, OIS), di samping kamera ultra-lebar 13MP dan kamera telefoto 50MP dengan 4x hibrid zum.
Kualiti foto daripada HMD Skyline boleh dikatakan sederhana sahaja. Dalam keadaan pencahayaan yang mencukupi, kamera utama mampu menghasilkan gambar yang memuaskan, termasuk dalam mod malam. Namun, jika dibandingkan dengan peranti lain dalam julat harga yang sama, teknologi kamera HMD Skyline dilihat masih agak ketinggalan. Ciri dan hasil gambar yang ditawarkan kurang memberi impak, apabila dibandingkan dengan pesaing yang menyediakan pengalaman fotografi lebih maju.
Gambar yang diambil pada jarak 0.5x dengan HMD Skyline menunjukkan imej yang jelas dan terang. Untuk menguji kualiti kamera zum, saya mencuba mengambil gambar yang sama dengan kadar zum berbeza. Hasilnya, pada jarak 1x dan 2x, HMD Skyline berjaya mengekalkan kualiti gambar yang memuaskan, dengan butiran patung kucing masih jelas dan terperinci. Ini menunjukkan bahawa kamera telefon ini mampu memberikan prestasi yang baik pada kadar zum rendah hingga sederhana, walaupun ia mungkin kurang sesuai untuk zum lebih tinggi.
Namun, bagi mod potret, kualiti kamera HMD Skyline agak mengecewakan. Setelah beberapa kali mencuba dalam pelbagai kondisi pencahayaan, hasilnya masih kurang memuaskan. Kamera potret cenderung memancarkan tona warna yang terlalu warm, menyebabkan warna kulit kelihatan tidak semula jadi dan jauh dari realiti. Ini menunjukkan bahawa kamera potret HMD Skyline memerlukan peningkatan untuk menghasilkan warna kulit yang lebih asli dan tepat.
Potongan subjek untuk potret pun kadangkala kurang kemas. Saya perlu mencuba beberapa kali untuk mendapatkan hasil yang baik. Untuk tanda harga sebegini, memang saya sedikit kecewa.
Kamera swafoto 50MP HMD Skyline tidak begitu baik, terutamanya bagi segmen harga ini. Walaupun begitu, ia menawarkan ciri menarik yang membolehkan gambar diambil hanya dengan memberi tanda peace. Apabila jari diletakkan di hadapan muka, kiraan waktu akan bermula secara automatik yang dapat memudahkan swafoto tanpa perlu menekan butang.
Untuk rakaman video, kamera ini menyokong resolusi 4K dan HD pada kadar 30fps. Namun, kualiti video kurang lancar kerana terdapat sedikit kesan gegaran yang ketara, menjadikannya kurang sesuai untuk rakaman pergerakan.
Penanda aras
Berikut adalah beberapa skor perisian penanda aras yang kami gunakan untuk menguji kemampuan peranti, iaitu 3DMark Wild Life Extreme, Geekbench 6 dan AnTuTu. Hasilnya, kami mendapat skor seperti di bawah:
- 3DMark Wild Life Extreme – 804
- Geekbench 6 – 1029 (teras tunggal), 3028 (multi teras)
- AnTuTu – 576870
Kesimpulan
HMD Skyline hadir sebagai telefon pintar kelas pertengahan yang menarik dengan fokus pada kemampanan melalui ciri baik pulih kendiri yang jarang terdapat pada peranti lain. Reka bentuknya yang menampilkan elemen nostalgia mengingatkan pengguna kepada era Nokia Lumia, ditambah dengan bingkai logam yang menyokong penutup modular, menjadikannya lebih praktikal untuk penyelenggaraan jangka panjang.
Dari segi kamera, Walaupun HMD Skyline menawarkan kamera utama 108MP namun ia dilihat masih menghasilkan gambar kurang memuaskan kecuali pada pencahayaan yang baik dan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan pesaing lain dalam julat harga yang sama.
Secara keseluruhan, HMD Skyline sesuai untuk pengguna yang menghargai reka bentuk unik, Android asli dan kemudahan untuk baik pulih. Namun kurang ideal untuk mereka yang mencari peranti dengan spesifikasi cukup tinggi untuk kelas pertengahan atau gaming.
{suggest}