Siri iPhone 15 sebenarnya menepati ramalan ramai pihak. Baik dari segi penggunaan Dynamic Island, USB-C serta cip pemproses 3nm.
Namun, langit tidak selalu cerah, siri iPhone 15 versi pro menerima tamparan hebat apabila banyak isu serta masalah timbul sewaktu pelancarannya.
Jangan kata sewaktu menggunakan peranti tersebut tetapi sebaik sahaja buka dari kotak sudah ada masalah kosmetik. Apatah lagi apabila digunakan, isu terlalu panas (overheat) pula membelenggu fikiran pengguna.
Perkara ini memang cukup hangat diperkatakan di media sosial sekaligus merisaukan ramai pengguna di Malaysia dan ada juga yang takut untuk membeli.
Kendatipun begitu, adakah kesemua masalah tersebut pasti atau wajib dihadapi semua pengguna iPhone 15 Pro?
Betul ke memang langsung tidak berbaloi membeli iPhone 15 Pro? Jika anda mahukan jawapan, anda datang di tempat yang betul.
Ini kerana, saya sendiri akan berkongsikan pengalaman penggunaan iPhone 15 Pro dari kaca mata pengguna iPhone model yang lama.
Malah, saya akan tekankan beberapa aspek utama – kualiti binaan, prestasi dan kamera.
Tanpa membuang masa lagi, teruskan membaca hingga ke akhirnya.
*artikel ini dibawakan dari hati ke hati, memang agak panjang tapi masih penuh dengan “broll”. Versi video ada di penghujung artikel.
Baca spesifikasi penuh di SINI atau imbas kembali iPhone 15 Pro di SINI.
{suggest}
Kualiti Binaan
Sama je design, takde beza pun dengan dulu
Benar, rekaan iPhone sejak iPhone 11 Pro, memang macam itulah rupanya. Yang beza, ditambah sensor LiDar serta bonggol kamera semakin tebal.
Perkara ini telah saya jelaskan dalam ulasan OPPO Find N3 Flip sebelum ini, malah dalam segmen audio siar (ngeteh) Wiser.MY pun telah saya sentuh yang mana berbunyi “rekaan telefon pintar lepas ni memang lebih kurang je, sebab apa? Sebab diorang anggap ni ikonik. Sama macam kereta.”
Ya, kalau anda rasa mahukan perubahan rekaan telefon pintar, saya cadangkan anda tunggu untuk beberapa tahun mendatang.
Ini kerana, rekaan peranti andalan sememangnya akan lebih kurang sahaja. Cuba kita lihat Xiaomi 13 dan Xiaomi 14, cuba lihat siri Samsung Galaxy S22 dan Galaxy S23 (mungkin hingga ke Galaxy S24), lihat Google Pixel 6 hingga Pixel 8. Di sini, konsep rupanya sama atau lebih kurang sahaja.
Apa yang saya cuba sampaikan adalah, jenama-jenama ini mahu menerapkan identiti pada barisan peranti mereka.
Berbalik pada iPhone 15 Pro, ia sama bagi kebanyakan orang tapi beza dengan saya kerana saya datang dari iPhone 11 Pro Max.
Jika dahulu, rekaan sisi nipis, sedikit melengkung dan bermula siri iPhone 12 hingga iPhone 14, sisinya rata dan kelihatan lebih boxy.
Namun, iPhone 15 Pro ada sedikit kelainan kerana sisinya kalini tidaklah begitu rata dan ia sebenarnya sedikit bulat atau sedikit melengkung. Dengan ini, secara tidak langsung tidak sakit tangan apabila memegangnya.
Malah, jenama lain pun ada menggunapakai rekaan lebih rounded pada sisinya seperti siri Google Pixel 8 dan peranti OPPO Find N3 Flip yang pernah saya ulas sebelum ini.
Tidak cukup itu, iPhone 15 Pro amatlah ringan.
Apabila saya cakap ringan, memang betul-betul ringan. Kenapa saya ulang, sebabnya saya melihat ramai juga yang mengatakan semua itu hanyalah gimik. Penggunaan titanium hanyalah taktik pemasaran semata-mata.
Tidak sama sekali. Walaupun bingkai titanium pada sisi peranti iPhone 15 Pro hanyalah berapa peratus sahaja tetapi ia sudah cukup memberi perbezaan agak ketara.
Saya sudah cuba memegang iPhone 13 Pro dan iPhone 14 Pro secara sebelah menyebelah dengan iPhone 15 Pro, berat antara mereka sangatlah beza.
Dapat rasakan yang berat iPhone 15 Pro ini banyak datang daripada lensanya yang gedabak.
Selain itu, paparannya juga cukup terang dan melihatnya di bawah sinaran mentari, tidak menjadi masalah kerana puncak kecerahannya menyokong hingga 2000 nits.
Malah, paparannya juga lebih luas kerana bezelnya kali ini cukup-cukup nipis. Kalau anda seperti saya, anda memang akan terasa perbezaannya.
Untuk Dynamic Island, sama sahaja saiznya dan saya sendiri sudah boleh membiasakannya. Fungsi always on display (AOD) pun tidak ada apa-apa tetapan baharu. Sama sahaja.
akhirnya iPhone guna USB-C
Selain penggunaan bingkai titanium pada iPhone 15 Pro, perkara yang saya tunggu adalah USB-C. Bagi saya, penggunaan USB-C untuk iPhone bukan sahaja memudahkan jika mahu cas peranti tetapi ia tidak memeningkan kepala apabila mahu beli sesuatu aksesori.
Sebagai contoh, power bank dengan kabel lightning terbina atau mikrofon yang khas untuk port lightning. Sudahlah menyusahkan, harga untuk port lama ini pun jauh lebih mahal daripada USB-C.
Memandangkan saya guna iPhone 15 Pro, model ini ada sedikit kelebihan kerana mampu membuat pemindahan data berkelajuan sehingga 10Gbps.
Saya tidak kerap untuk membuat pemindahan data menggunakan kabel ke iPhone tetapi saya jenis klasik yang mana saya membuat sandaran iPhone menerusi komputer MacBook saya.
Ini paling best sebabnya masa untuk saya restore sandaran (backup) data iPhone lama ke iPhone baharu sangatlah pantas. Tapi kena ingat, nakkan kelajuan pantas kena guna kabel lain.
Kabel yang didatangkan sekali dalam kotak kelajuannya sama sahaja dengan kabel lightning. Ada banyak pilihan lain, anda boleh rujuk artikel yang ditulis Ariffmac di SINI.
Selamat tinggal mute switch. Selamat datang Action button
Akhir sekali, selain bingkai titanium dan USB-C, Apple juga membuang butang mute dan menggantikan dengan Action button. Butang baharu ini telah wujud dalam Apple Watch Ultra yang mana fungsinya lebih kurang juga.
Ada pilihan silent mode, focus, camera (boleh pilih mod kamera apa), torch, voice memo, shortcut, accessibility dan no action. Macam saya, saya pilih camera dan tetapkan mod video.
Tapi sejujurnya bagi saya, action button sama sahaja dengan mute switch yang mana saya jarang guna. Namun, benda ini pasti ada dalam kalangan anda yang menghargainya. Tidak mengapa, benda dah ada, kalau nak guna silakan. Tiada paksaan.
Prestasi
3nm memang laju, boleh main game console lagi tapi overheat?!!
Kita masuk ke dalam bahagian yang tersangatlah kontroversi sewaktu model-model ini sudah sampai ke tangan pembeli.
Benarkah iPhone 15 Pro ni terlalu panas atau overheat? Kita lihat di media sosial, banyak pengguna model tersebut terutama model Max mengeluh. Katanya, guna Instagram atau media sosial biasa pun dah panas.
Ada juga YouTuber tempatan atau pempengaruh tempatan yang berkongsi masalah tersebut dan menunjukkan pemberitahuan “iPhone needs to cool down”.
Betul?
Di sini, saya tidak mahu pukul rata semua. Sebab apa? Bukan sebab boleh dik tetapi dalam setandan pisang, tak semuanya busuk dan tak semuanya baik juga.
Dalam kes saya, tidak pernah peranti memaparkan amaran sebegitu. Tak silap saya, hanya sekali sahaja iPhone memberitahu di tetapan yang mengatakan “charge on hold because iPhone too hot”.
Ya, tapi itu pun masa iOS versi awal dan pada waktu itu saya cas sambil bermain game.
Kalau soal panas, memang ada terasa panas. Ia berlaku sewaktu saya bermain dengan kamera sahaja. Ambil gambar, rakam video dan apa-apa sahaja berkaitan dengan kamera. Lebih-lebih lagi kalau saya shoot outdoor. Tapi, tak adalah hingga overheat dan mengeluarkan amaran.
Saya tak pasti betul atau tak, saya yang dah guna iPhone 5s, iPhone 7 Plus dan iPhone 11 Pro Max, bagi saya peranti iPhone dengan panas macam benda biasa.
Di sini, saya ada dua pendapat, pertama cip Apple sendiri memang cukup pantas, disebabkan itu ia mengeluarkan haba yang banyak. Benda ini tertakluk dengan mana-mana cip pemprosesan sekalipun. Baik telefon, mahupun komputer.
Kedua, sistem penyejukan Apple yang teruk.
Untuk kes iPhone 15 Pro, saya cenderung untuk mengatakan sistem penyejukan Apple pada model kali ini agak gagal. Kita bercakap tentang cip pemprosesan 3nm.
Ia pantas, kelajuan CPU sangatlah tinggi yang saya lihat hampir menyamai Apple M1. Cip yang ada clock speed yang tinggi mestilah dipadankan dengan sistem penyejukan yang baik.
Samalah macam kita menggunakan Intel Core i9 (apa-apa generasi), pasti kita cari air cooler atau AIO yang terbaik kan.
Apple sebenarnya memang ada sejarah dengan rekaan sistem penyejukan yang gagal. Terjadi pada model komputer mereka.
Apa-apa pun, Apple yang pasti kelam kabut, tampil dengan mengeluarkan kemas kini iOS 17.0.3. Kata mereka, ini selesaikan masalah terlalu panas pada iPhone 15 Pro.
Ya, memang betul masalah tersebut selesai. Syukur yang saya terima iPhone 15 Pro agak lewat dan kemas kini itu tiba tepat pada masanya. Saya masih lagi buat ujian Geekbench untuk membandingkan skor.
Hasil yang saya dapat, skor multi-teras sedikit berkurang (7375) dan skor teras tunggal meningkat (2951) selepas kemas kini iOS 17.0.3.
Dari mata kasar, kita tak nampak sangat perbezaan prestasi CPU tapi apa yang penting saya tak lagi mengalami panas dan sebagainya. Malah, bateri pun lebih baik.
Bateri kecik tapi tahan lama, sama power
Jujur saya kata, saya sebenarnya terasa gila dengan perubahan dari model Pro Max dengan model Pro. Terutama dari segi hayat bateri.
Kalau model Pro Max, memang rilek sahaja guna selama dua hari. Untuk model Pro, saya wajib cas dalam satu hari.
Walaupun iPhone 15 Pro ada peningkatan kapasiti bateri berbanding model pro sebelumnya tetapi bagi saya amatlah tak relevan. Saya masih tak faham mengapa Apple masih tidak menawarkan kapasiti bateri yang munasabah dalam iPhone.
Mungkinkah sebab tak mahu peranti tebal? Atau komponen sudah penuh dan tak cukup untuk sumbat bateri besar?
Bayangkan, kalau bateri sekecik 3274mAh mampu bertahan hingga 7 jam SOT, apatah lagi kalau baterinya besar.
Ya, iPhone 15 Pro saya mampu bertahan selama 7 jam (screen on time). Dalam erti kata lain bermula Subuh hingga Isya’ masih boleh guna. Ini pun ada lagi baki sekitar 20%.*bergantung penggunaan masing-masing.
Biasanya, apabila saya sudah sampai 6 jam masa penggunaan skrin, baki peranti adalah sekitar 30% hingga ~40%. Ini mengikut jenis aplikasi yang saya guna termasuk sama ada penggunaan WiFi atau selular. (Selular lebih cepat habis bateri)
Namun purata penggunaan saya sebenarnya hanyalah 4 jam sahaja. Mengapa? Sebab saya seorang yang akan mula cas apabila peranti cecah 40% dan saya memang akan cas hingga penuh 100% atau kadangkala sekitar 90% – 99% sahaja mengikut situasi. Malah, selalu juga cas sambil tidur. (Kalau takut, jangan tiru aksi ini)
Pengecas pula, saya hanya guna pengecas berkelajuan 18W. Ya, ini adalah pengecas USB-C yang pertama kali diberi dan terakhir untuk iPhone. Mana-mana pengguna siri iPhone 11 Pro, anda akan dapat.
Dalam cubaan saya mengecas, dalam masa 30 minit, ia boleh dapat sekitar 34% dan dalam 44 minit, saya dapat 63%. Data ini adalah daripada pengecas Apple 18W.
Saya ada juga cuba menggunakan pengecas Apple 20W dan Mcdodo 65W. Kelajuan mengecasnya tidak banyak beza, biasanya anda akan dapat ekstra beberapa minit sahaja. Dari segi sokongan kelajuan mengecas, Apple masih lagi mengekalkan sehingga 27W untuk iPhone 15 Pro.
Jadi, kalau untuk pengecasan penuh, ia akan mengambil masa sekitar 1 jam setengah.
Tak panas ke kalau guna fast charging?
Memang panas, dalam cubaan saya menggunakan pengecas Mcdodo 65W, sangat panas. Anda kena ingat, musuh utama kesihatan bateri adalah suhu. Tak boleh terlalu panas dan terlalu sejuk.
Mesti akan ada yang tanya, dah berapa kitaran cas, berapa tahap kesihatan bateri dan adakah saya guna ciri pengecasan yang dihadkan 80%.
Setakat sekarang, kitaran saya baru 37, battery health 100% dan saya tidak guna fungsi baharu itu. Bagi saya, iPhone 15 Pro adalah hamba saya. Bukan saya hamba kepada teknologi. Kenapa saya perlu risau kesihatan bateri? Lebih baik fikirkan kesihatan sendiri.
Apa jenis peranti elektronik di dunia termasuk EV sifatnya sama, sampai satu masa kena tukar juga. Jadi, guna sahaja peranti anda macam biasa.
Masa depan mobile gaming makin cerah
Dari dulu lagi, iPhone tidak dipasarkan sebagai telefon gaming tetapi ramai yang bermain permainan mudah alih dengan iPhone. Sehinggakan pertandingan eSukan pun ada kala menggunakan iPhone.
Dengan iPhone 15 Pro, Apple seolah-olah mahu memberitahu kepada umum yang peranti mereka paling berkuasa untuk mobile gaming. Lagi menarik, ia memaparkan permainan berjudul AAA, seperti Resident Evil Village, Resident Evil 4, Assassin’s Creed Mirage, Death Stranding dan The Division Resurgence.
Ia memang betul-betul permainan natif untuk iPhone 15 Pro, bukan seperti Apex Legends Mobile, PUBG Mobile dan sebagainya.
Sebagai gamer, saya agak gembira dengan permainan AAA boleh dimainkan pada telefon pintar. Ini adalah petanda baik terutama kalau ia dilancarkan untuk Android juga. Barulah peranti seperti ROG Phone atau Nubia Red Magic atau Samsung Galaxy Ultra dapat memanfaatkan kehebatan cip pemprosesan.
Setelah saya cuba Resident Evil Village, ia mengagumkan. Capcom berjaya membawakan permainan konsol dan PC ke dalam peranti sekecil 6.1 inci ini.
Cumanya, saya tak selesa kalau tanpa controller kerana game bergenre ini kurang sesuai tanpa controller dan saya rasa mana-mana permainan AAA akan datang untuk iPhone pun sama – perlu ada alat kawalan seperti backbone misalnya.
Untuk permainan lain, saya cuma bermain beberapa permainan yang ditawarkan Apple Arcade sahaja dan memang tak ada masalah terlalu panas.
Namun, saya tak berapa gemar bermain di telefon pintar kerana lebih selesa bermain PS5 atau Series X.
Malah, saya sendiri tak sarankan anda untuk gaming pada iPhone 15 Pro. Bateri kecil, kalau lenjan macam tak ada hari esok, alamatnya lepas setahun dah wajib tukar bateri. Kalau nak mobile gaming, belilah model Pro Max atau model iPhone 15 Plus sahaja pun okay.
Kamera
Gambar siang
Banyak pilihan “lensa”, Megapixel tinggi dan …. telefoto
Tak lengkap kalau kita cakap pasal iPhone kalau tak sentuh bab kamera. Apple kali ini menggunakan kata-kata magis dan pujangga mereka “iPhone sekarang ada 7 lensa”.
Bukanlah nak kata sampai 7 kamera pada bahagian belakang tetapi kamera utama iPhone 15 Pro sekarang ada 3 pilihan jarak fokus (focal length). Ia merangkumi 24mm (1x), 28mm (1.2x) dan 35mm (1.5x).
Kesemua gambar yang diambil pada lensa utama ini boleh didapati sehingga 24MP. Benar, inilah perbezaan berbanding iPhone 14 Pro yang mana terhad kepada 12MP sahaja.
Akan tetapi kena ingat, ketiga-tiga jarak fokus itu sebenarnya hanyalah versi crop daripada lensa utama bukanlah lensa dengan jarak fokus sebenar.
Tambahan lagi, pastikan dalam tetapan kamera anda memang guna mod gambar 24MP. Ini kerana masih ada pilihan 12MP andai kata anda nak jimatkan ruang storan. Kalau saya, memang guna sahaja 24MP sebab memang rugi kalau tak gunakannya.
Mengapa rugi?
Sebabnya hasil gambar dengan resolusi 24MP pada waktu siang amatlah mengagumkan dan juga versatil.
Apa yang saya perasan, perincian pada gambar lebih jelas dengan resolusi yang tinggi ini. White balance juga on point dan tidak terlalu oversharpen seperti model terdahulu. Masih ada oversharpen tu tapi dah berkurang berbanding iPhone 14 Pro.
Dari segi warna, iPhone tetap iPhone. Kalau saya buat blind test, orang ramai tak akan pilih iPhone. Andai kata iPhone berkolaborasi dengan jenama kamera untuk talaan warna, memang saya suka.
Namun, itu hanyalah fantasi kerana saya tak rasa Apple akan berbuat demikian. Mereka sama seperti Samsung dan Google, mahu menerapkan “inilah gambar dari fon kami”.
Jangan risau, kalau malas nak menyunting gambar, ada photographic styles yang ibarat filter gambar tapi akan digunakan secara default.
Bagaimanapun, paling penting sekali HDR pada iPhone 15 Pro amatlah baik dan kualitinya dipertingkatkan. Mungkin tak keterlaluan kalau saya kata kalau anda mahukan kamera yang terbaik dalam siri iPhone, ambillah siri 15 Pro dan ke atas.
Gambar 2x dan telephoto 3x
Kalau mod 2x pula, saya jarang guna sebenarnya. Ia pun adalah versi crop daripada lensa utama dan resolusi gambar adalah 12MP tetapi kualiti masih lagi memuaskan.
Untuk lensa telefoto atau 3x, saya cukup menggemarinya walaupun resolusinya juga 12MP tetapi bagi orang macam saya (pengguna lama iPhone 11 Pro Max), memang saya nantikan lensa ini.
Jauh lebih baik berbanding peranti lama saya dan tak nafikan, lensa kegemaran saya sekarang. Secukup rasa dari segi perincian gambar, blur pada latar belakang subjek atau depth of field semula jadi. Kadangkala terasa yang tak ada 5x pun sudah okay tetapi kalau ada lagi bagus.
Gambar ultra lebar dan makro
Lensa ultra lebar pun bagi saya bukanlah terbaik. Ini kerana kalau waktu siang, masih lagi jelas tetapi bila malam ada sedikit hingar (apatah lagi gambar malam) dan sehingga sekarang masih jelas nampak distortion. Jadi Apple, kena pertingkatkan lagi bagi lensa ini.
Lensa makro pun apa kurangnya, ia tak banyak sangat perbezaan dengan dulu tetapi julat warna memang luas dan masih lagi jelas serta ada kontras yang baik. Sesuai kalau anda suka mengambil gambar flora atau fauna atau pun makanan serta minuman.
Gambar potret dan swafoto
Mod potret ada tiga pilihan, 1x, 2x dan 3x. Untuk potret, saya lebih banyak menggunakan 3x kerana saya lebih minat hasilnya ‘close shot’ atau paras pinggang ke atas.
Tona warna pun tidak pelik dan kalau pencahayaan yang baik, memang cukup detail gambar tersebut. Tapi sejak ada ciri baharu, saya tak perlu lagi masuk ke mod potret.
Ini kerana akan ada simbol “f” yang mana memberikan saya pilihan untuk jadikan gambar tersebut potret. Ia tersedia untuk lensa utama, tele dan juga swafoto dan kalau subjek itu adalah manusia atau haiwan peliharaan, ia akan kutip “data untuk potret”.
Secara tidak langsung, lebih fleksibel bagi saya sebab kadangkala kita tak pasti gambar ni cantik dengan potret atau tanpat potret.
Untuk gambar swafoto, ia masih sama macam tahun lalu. Apple seperti biasa, hasil gambar swafoto tidak terlalu soft dari segi tona warnanya. Cukup baik untuk kontras dan perinciannya.
Gambar malam (lowlight) dan RAW
Gambar malam pada iPhone sebenarnya tidak banyak beza dengan generasi sebelumnya. Kalau guna mod malam, hasil gambar adalah pada resolusi 12MP.
Nak 24MP? Boleh tapi jangan gunakan mod malam. Namun, pastikan anda pandai bermain dengan lowlight sebab kalau tidak memang kelaut hasilnya nanti.
Secara keseluruhan, bukanlah teruk gambar malam iPhone, warna dan perincian masih lagi memuaskan dan agak cemerlang.
Cumanya Apple boleh tingkatkan lagi kualitinya kerana pesaingnya lebih kehadapan, terutama untuk peranti dengan tanda harga premium.
Kalau nakkan kualiti lebih lagi atau anda memang suka menyunting gambar, gunalah mod ProRAW. Ada pilihan format HEIF Max (sehingga 48MP), ProRAW 12MP dan juga ProRAW Max (sehingga 48MP).
Berkaitan masalah lens flare yang kerap diperdebatkan dalam komuniti iPhone, isu masih ada terutama waktu malam. Namun, apa saya lihat, ia tidak seteruk seperti model terdahulu.
Video
Videographer pasti suka sebabnya ProRes Log
Semua tahu kalau bab rakaman video, agak sukar jenama lain untuk menandingi peranti iPhone. Kalau bab foto, iPhone ada banyak pesaing tetapi bagi saya kalau video, mereka masih lagi terbaik.
Lebih-lebih lagi dengan kehadiran format log dalam ProRes. Memang hasil video akan berkabus seperti tiada warna tetapi ia adalah khas untuk penggemar color grading.
Formatnya memang besar dan saya memang sarankan untuk menggunakan external SSD. Malah, bila mahu merakam pada format 4K 60, Apple akan paksa untuk gunakan external storage.
Jangan risau, format ini boleh digunakan dalam mana-mana lensa iPhone 15 Pro termasuklah lensa swafoto dan disebabkan USB-C model pro menyokong sehingga 10Gb/s, secara tak langsung memudahkan lagi kerja-kerja rakaman.
Tak perlu bercakap banyak, anda boleh lihat penerangan oleh saudara Afiq, yang pakar dalam bab ini menerusi video di bawah.
Kesimpulan
Untuk siapa sebenarnya iPhone 15 Pro ni??
iPhone 15 Pro masih lagi sebuah iPhone. Hampir sama sahaja berbanding model terdahulu. Apple bijak untuk sentiasa membuatkan orang ramai teruja dengan model mereka.
Dalam kes ini, penggunaan binaan titanium, A17 Pro dengan 3nm, USB-C, ProRes Log dan action button. Kesemua ini diikutkan masih lagi peningkatan yang minimum, bukan terlalu besar.
Walau bagaimanapun, iPhone 15 Pro masih lagi sebuah peranti bertubuh sedikit kecil tetapi cukup berkuasa pada tahun ini.
Biarpun menerima kritikan teruk pada awalnya tetapi selepas sebulan lebih, saya sendiri tidak mengalami masalah. Jangan hanya kerana ciapan di X atau video di TikTok atau YouTube, kita terus ragu-ragu.
Apa-apa model peranti andalan (flagship) atau apa-apa julat harga sekali pun, pasti ada ragam tersendiri. Skrin lightsaber, overheat dan sebagainya.
Kalau anda tanya saya, adakah berbaloi iPhone 15 Pro ni atau perlu ke iPhone 15 Pro Max atau model sebelumnya pun dah okay?
Di sini, tak ada jawapan yang betul atau salah. Saya akan bagi situasi sebegini.
Kalau anda pengguna iPhone 13 Pro hingga iPhone 14 Pro, tak berbaloi untuk naik taraf ke iPhone 15 Pro. Malah, pengguna iPhone 12 Pro pun, jika tak ada keperluan, tak perlu pun bazir duit untuk naik taraf.
Untuk pengguna iPhone 13 Pro, kalau sudah banyak kali isu atau “keluar masuk bengkel” disebabkan masalah skrin, bolehlah pertimbangkan tukar agar tenang fikiran.
Sekiranya anda seperti saya, pengguna iPhone 11 Pro Max dan ke bawah, teruskan sahaja niat ke iPhone 15 Pro atau iPhone 15 Pro Max (kalau ada bajet). Jujur saya kata, ia agak major upgrade.
Jika anda tak pernah guna model Pro iPhone pula, mungkin tak perlu beli iPhone 15 Pro, iPhone 14 Pro (kalau ada stok) pun sudah memadai.
Tanya diri anda, perlu ke ciri-ciri pro? Kalau tak perlu dan hanya mahu menggunakan iPhone sebab nak kekal dalam ekosistem, ambil model standard atau plus pun sudah terbaik.
Jadi, pilihan di tangan anda. Tepuk dada dan tanya bajet.
Beli iPhone 15 Pro di:
Shopee – https://invl.io/clkbqiu
Lazada – https://invol.co/clkbqj5