(Ulasan) Realme XT - Prestasi XTra Berbanding Realme 5 Pro

Jika dilihat kembali latarbelakang realme, anda pasti terkejut dengan sambutan hangat yang diberikan pengguna padanya. Baru setahun jagung, tetapi jenama ini mula menjadi bualan peminat dek kerana spesifikasi baik ditambah pula dengan harga jualan sepadan dengan bajet dipoket.

Kini mengemaskini penawaran sedia ada, realme Malaysia tampil merasmikan realme XT pada penghujung Oktober lepas. Bagi anda yang ternanti-nanti apa yang mampu ditawarkan oleh realme XT, kami himpunkan pengalaman awal penggunaannya. Tetapi sebelum itu, lebih elok kita lihat dengan lebih dekat spesifikasi yang dibawa oleh realme XT.

Spesifikasi

  • 6.4 inci SuperAMOLED (2340 x 1080)

  • Snapdragon 712

  • RAM 8GB

  • Storan 128GB

  • Slot mikro SD 256GB

  • Kamera hadapan

  • Kamera belakang; 64MP+ 8MP sudut lebar + 2MP potret + 2MP makro

  • Bateri 4000mAh VOOC 3.0 20W USB C

  • Bicu audio 3.5mm

  • Color OS 6 berasaskan Android Pie 9


Rekaan dan binaan luar

Kita ke bahagian paling asas sekali iaitu rekaan dan binaan luar. Secara zahirnya, luaran realme XT tampak lebih kurang sama seperti kebanyakkan peranti segmen pertengahan yang lain. Bermula dibahagian hadapan, ia dipasang dengan skrin paparan jenis SuperAMOLED 6.4 inci menyokong resolusi FullHD+.



Dagu sedikit tebal berbanding dahi yang terdapat takuk "titisan embun" bagi menempatkan kamera hadapan 16MP. Bersendirian disisi kanan adalah butang kuasa manakala pelaras kelantangan bunyi disusun pada sisi kiri yang turut diletakkan dengan slot mikroSD bersama kad dwi SIM nano.



Lihat pula sebelah bawah, ia diatur dengan corong pembesar suara, port pengecasan USB C serta bicu audio 3.5mm, idaman pengguna fon telinga berwayar.



Pengeluar menyediakan dua pilihan warna untuk panel belakang iaitu Pearl Blue dan unit ditangan kami adalah Pearl White. Ia dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 5 (depan dan belakang) dan kita lihatnya sebagai tambah baik dari realme 5 Pro  yang menggunakan Gorilla Glass generasi ketiga, itupun hanya dibahagian hadapan. Untuk pengetahuan anda juga, rangka yang mengelilingi peranti ini juga hanya diperbuat daripada plastik.



Dibelakang, bonggol kuad kamera realme XT kelihatan agak ketara ketinggiannya dan bagi mengelakkan ia menjadi jongkang-jongket, anda bolehlah menyarung peranti ini dengan sarung pelindung yang diberi.

Warna umpama mutiara yang diberikan ini turut menampakkan kesan dua jalur yang bersinar, menaikkan lagi sisi elegan peranti.



Sistem operasi dan prestasi

Cukup dengan luaran kita beralih kepada sistem yang mengoperasikan realme XT dari dalam. Seperti keluaran sebelumnya, realme XT menjalankan sistem operasi Color OS 6 yang berasaskan Android Pie 9. Ia serupa seperti apa yang boleh anda lihat pada siri realme 5.



Ia mengandungi sejumlah aplikasi pra-pasang yang mungkin berguna dan mungkin tidak untuk anda. Kesemua aplikasi-aplikasi dihimpunkan pada app drawer dan anda boleh aturkannya pada halaman Home untuk akses lebih pantas.

Bagi navigasi antaramuka, seperti biasa ia menawarkan butang navigasi maya, sapuan skrin dari sisi atau sapuan skrin dari bawah.Turut disediakan juga adalah ciri nyahkunci biometrik secara imbasan cap jari pada skrin dan wajah. Kedua-duanya beraksi baik dan pantas dalam mengesan cap jari dan wajah anda.



Terdapat juga fail Hot Apps dan Hot Games yang mana ia akan mengesyorkan sejumlah aplikasi untuk anda muat turun dari App Market. Dibawahnya pula tertera butang refresh dan apabila ditekan, senarai aplikasi yang disyorkan akan berubah-ubah.



Sakit hati sesi tembak-menembak anda terganggu dengan hujanan notifikasi? Elakkan masalah itu dengan mod Game Space yang memberikan pilihan untuk sekat notifikasi, sekat panggilan suara serta ditambah denganpilihan play AFK, rakam skrin, rakam video permainan dan ciri mesej. Kesemua boleh diakses ketika permainan sedang berlangsung.

 



Dari segi prestasi, Snapdragon 712 menjalankan tugas yang baik pada peranti kelas pertengahan ini. Ia diberikan sedikit naik taraf berbanding Snapdragon 710 dengan fokus diberikan lebih kepada CPU yang lebih pantas, sementara GPU masih lagi sama buat kedua-dua versi cip pemproses.



Realme XT menawarkan penggunaan seharian yang baik tanpa sebarang masalah sepanjang tempoh kami mengujinya. Perkara sama juga boleh dinikmati sewaktu bermain permainan mudah alih. Contohnya seperti permainan paling hangat ketika ini, Call of Duty; Mobile.

Tetapan grafik dibuat pada tahap paling tinggi dan ia beraksi baik. Sepanjang permainan dilihat fps berada pada nilai antara 50fps hingga 55. Bagi permainan PUBG Mobile pula, aplikasi akan terus menyarankan tetapan grafik pada tahap tertinggi tetapi kami merasakan, tetapan balanced dan ultra boleh berikan kadar fps yang lebih konsisten.

Kemampuan audio dari pembesar suara mono realme XT baik dan jelas dengan sokongan Dolby Atmos. Namun kami perasan, apabila dilaras ke tahap paling lantang ia kurang enak di telinga. Tidak dilupakan, ciri bicu audio turut disediakan untuk pengguna fon telinga berwayar.

Audio secara tanpa wayar juga tidak kurang hebatnya dengan sokongan aptX dan aptX HD melalui Bluetooth.

Kemampuan kamera

Kita tinjau pula bahagian kamera. Ketika ulasan ini dibuat, realme XT merupakan peranti kedua yang mempunyai kamera utama 64MP bagi pasaran rasmi Malaysia selepas Xioami Redmi Note 8 Pro. Tanggungjawab merakam diberikan pada empat jenis lensa terdiri daripada kamera utama 64MP, 8MP kamera sudut lebar, 2MP depth serta 2MP makro.



Hasil gambar dirasakan tidak punya perbezaan yang jauh dengan sensor quad bayer 48MP lain, namun berdasarkan rakaman yang dibuat, perinciannya sudah cukup. Lebih-lebih lagi untuk kawasan yang cukup cahaya, gambar nampak real dengan julat dinamik yang baik. Sebagai penambah rasa, anda boleh gunakan ciri Chroma Boost untuk tingkatkan hasil rakaman bagi warna yang lebih terang.

Rakaman lensa makro pula ala kadar sahaja dengan kurang perincian pada imej. Seperti peranti-peranti sebelumnya, menguatkan lagi fungsi rakaman malam adalah ciri NightScape yang mana perincian lebih boleh dilihat pada imej. Tetapi apabila mencuba ciri ini pada lensa ultar lebar, gambarnya agak kurang memuaskan.

Bagi kamera selfie pula, hasilannya juga baik ditambah dengan mod potret yang kemas tetapi anda disarankan untuk matikan ciri filter supaya gambar lebih terperinci.



Jangka hayat bateri

Janaan kuasa realme XT ditagih dari penggunaan bateri 4000mAh. Melalui kapasiti bateri sebesar ini ditambah lagi dengan cip pemproses yang efisien dalam penggunaan kuasa, skrin paparan berjenis AMOLED, hayat peranti boleh mencecah sehingga satu hari tanpa masalah. Tetapi ia bergantung kepada gaya penggunaan anda juga.

Daya pengecasan disalurkan melalui port USB C dengan teknologi pengecasan pantas VOOC 3.0 20W. Realme XT mengambil masa sekitar 1 jam untuk dicas dari tahap 10% sehingga 90%, sementara ke tahap 100% ia memerlukan lagi 20 minit disebabkan selepas 90% pengecasan akan sedikit perlahan.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya kami lebih menyukai realme XT berbanding realme 5 Pro oleh kerana penggunaan panel belakang dilindungi Corning Gorilla Glass 5, skrin Super AMOLED dengan ciri imbasan cap jari pada paparan, serta penggunaan kamera belakang utama 64MP yang menghasilkan gambar cantik.

Sedikit menghampakan kerana peranti ini mungkin patut disumbat dengan Snapdragon 730 dan bukannya Snapdragon 712. Tetapi berdasarkan apa yang diberi, ia sudah memadai dengan tanda harga RM1399.



Anda boleh dapatkan realme 5 Pro (RM1099)  yang dirasakan sudah berjaya meraih sambutan hangat peminat tempatan atau jika mempunyai bajet yang lebih dan mahu sedikit rasa premium, realme XT boleh dipertimbangkan. Ada yang sudah miliki realme XT? Boleh kongsikan pada yang lain diruangan komen.

https://www.youtube.com/watch?v=wnk03r3-JNo

Mahukan ulasan dalam video dari kami? Boleh tonton diatas.