[Ulasan] realme C17 - Resepi Naik Taraf Kelas Permulaan Tepat, Dibebankan Dengan Nilai Pulangan Rendah

Pengenalan


Siri C dalam jenama realme membariskan telefon pintar kelas permulaan dengan spesifikasi asas. realme memulakan model C pada tahun 2020 dengan memperkenalkan realme C3 yang merupakan lanjutan model C2 pada tahun lepas.

Tidak disangka-sangka, realme kemudiannya mengeluarkan model C yang lain iaitu realme C11 dan juga realme C12 beberapa bulan kemudiannya. Model tersebut telah menjadi model tambahan kepada realme C3 pada awalnya dan mewujudkan satu variasi pilihan harga untuk pengguna.

Kini, satu lagi model C yang diperkenalkan iaitu realme C17. realme C17 adalah merupakan model naik taraf kepada C12 yang membawakan perkakas yang ditunggu-tunggu seperti USB-C, cip pemprosesan dan juga pengecasan lebih pantas.



Namun begitu, realme C17 turut mengetengahkan spesifikasi unik untuk modelnya seperti penambahan jumlah lensa kamera, paparan dengan kadar segar semula 90Hz, serta storan dalaman 256GB.

Spesifikasi



  • Skrin: IPS LCD 6.5 inci (1600x720 HD+), 20:9, 90Hz

  • Cip pemprosesan: 11nm Snapdragon 460 (Adreno 610)

  • Memori: RAM 6GB, Storan 256GB (UFS 2.1)

  • 4 kamera belakang: 13MP(f/2.2) Utama + 8MP(f/2.2) Sudut Lebar + 2MP(f/2.4) Makro + 2MP(f/2.4) B&W

  • Swafoto: 8MP(f/2.0) In-Display

  • Bateri: 500mAh (USB Type-C) dengan 18W, Pengecasan berbalik

  • Perisian: realme UI berasaskan Android 10


Bahan Binaan / Rekaan


Rekaan realme C17 didatangkan dengan binaan plastik pada bahagian sisi bingkai dan juga belakangnya. realme C17 mempunyai 2 pilihan warna iaitu Navy Blue dan juga Lake Green.



Unit yang kami terima adalah Navy Blue yang mempunyai rekaan berkilau dan glossy. Ia amat mudah untuk memerangkap cap jari dan juga comot. Rekaan ini jauh berbeza dengan realme C12 yang sebelum ini mempunyai rekaan plastik keras dan selesa untuk digenggam.

Telefon ini juga boleh dikatakan licin dan kami merasakan mahu menggunakan sarung pelindung setiap masa disebabkannya.

Dari segi aspek warna, Navy Blue ini berwarna biru gelap dengan satu tona warna penuh. Pada model realme kelas permulaan yang lain seperti C3, C11, dan C12, realme menggunakan rekaan dengan tona warna berbeza.



realme C17 juga menggunakan modul kamera memanjang segi empat - melarikan diri dari rekaan petak segi empat sama pada C12. Bahagian pengimbas cap jari pula adalah dari kemasan berbeza dengan tona warna biru cerah yang berbeza.

Pada bahagian bawah terdapat logo realme sepertimana kebanyakan telefon-telefon realme yang lain.

Bahagian sisi walaupun plastik, ia direka seakan-akan kemasan kromium. Bahagian atas tidak diletakkan apa-apa. Kanan pula butang kuasa dan kawalan bunyi manakala kiri dengan slot SIM + microSD. Pada pendapat kami, butang yang disertakan pada realme C17 agak kedalam dan kelihatan sama aras dengan bingkai sisi telefon.

Namun begitu, ia masih merupakan butang kuasa yang baik dengan menawarkan maklum balas yang mencukupi dan memuaskan.



Bahagian bawah lebih mengujakan kerana buat pertama kalinya dalam sejarah kelas permulaan realme, C17 hadir dengan USB-C. Sebelum ini pada C3, C11, dan juga C12, masing-masing mempunyai micro-USB, jadi ini merupakan perubahan yang menggembirakan untuk peminat dan pengguna realme.

Selain itu, terdapat juga bicu audio 3.5mm serta pembesar suara bersebelahan lubang USB-C itu.

Paparan


realme C17 hadir dengan paparan IPS LCD 6.5 inci dengan resolusi 1600x720 HD+. Resolusi hanya setakat HD+ ini adalah tidak mendatangkan masalah untuk kelasnya sebagai model kelas permulaan, namun harga rasmi telefon ini adalah harga sebuah kelas pertengahan menjadikan kami sedikit kecewa.

Sebagai berita baiknya, realme melengkapkan paparan HD+ ini dengan kadar segar semula 90Hz. Trend paparan HD+ dengan kadar segar semula 90Hz sudah semakin banyak diikuti oleh pengeluar dan C17 turut mengikuti trend ini.

Adakah kadar segar semula 90Hz pada paparan C17 ini sesuatu yang sahih? Jangan risau, ia merupakan 90Hz yang sahih, cuma ia bukanlah paparan yang sentiasa 90Hz walaupun sudah memilih tetapan 90Hz di Settings.

Apabila anda membiarkan telefon dan tidak menggunakannya, paparannya akan turun ke 60fps. Akan tetapi apabila anda sudah mula menggerakkan antaramuka realme C17, fps akan melonjak semula ke 90Hz.

Manfaat 90Hz ini tidaklah dirasakan sangat dalam permainan kerana hanya beberapa kerat sahaja permainan yang menyokong 90fps. Tambahan lagi, ini merupakan telefon kelas permulaan, jadi grafik pemprosesannya sedikit lemah untuk mengekalkan permainan sentiasa 90fps.

Dari segi paparannya tersendiri, kami tiada masalah menggunakannya, ia terang dan kelihatan agak baik walaupun ketika dilihat bawah cahaya matahari terang.

Kamera


Pada realme C17 terdapatnya penambahan lensa sudut lebar berbanding realme C12 sebelum ini menjadikan jumlah lensa belakang sebanyak 4. Sebagai rangkuman, realme C17 menggunakan 13MP(f/2.2) utama + 8MP(f/2.2) sudut lebar + 2MP(f/2.4) makro + 2MP(f/2.4) B&W dan swafoto 8MP (f/2.0).



Kualiti imej yang dihasilkan oleh realme C17 untuk kelasnya agak baik dengan pemprosesan HDR yang memuaskan ketika pencahayaan cukup. Namun begitu, dari segi warna, ia dilihat agak pekat tambahan pula pemisahan warna yang sedikit lemah.



Jika dizum dan dilihat dengan lebih dekat, anda masih dapat melihat hingar yang agak tinggi walaupun pada situasi cerah. Sudut lebar pula mempunyai pemprosesan warna berbeza dengan lensa utama dan mengalami masalah kekurangan perincian disebabkan lensanya hanya 8MP.



Kami juga mencuba lensa makro, walaupun ia tidaklah sebaik mana kerana gambar sering overexpose, dari segi perkara baiknya anda boleh mengambil gambar makro dengan jarak yang sangat dekat.



Swafoto juga mengalami masalah overexpose yang sama. Jika pencahayaan terlampau terang, gambar akan hilang perincian. Janggalnya, begitu banyak hingar yang diperlihatkan. Itu pun belum lagi guna ketika waktu malam.



Anda boleh merakam video pada maksimum 1080p 30fps. Jujurnya ia adalah baik sahaja. Namun untuk prestasi video itu sendiri, ia sangat bergegar. Jika digunakan untuk sekadar video semata-mata, ia adalah mencukupi sahaja.

Kami merasakan kamera pada realme C17 ini hanyalah sekadar alakadar sahaja dan tiada yang menarik untuk dibincangkan. Melihatkan harga jualan dan juga pesaing lain, secara realitinya, realme C17 kelihatan tidak sesuai membawakan kamera dengan kualiti sebegini.

Prestasi


realme C17 antara merupakan telefon pintar pertama yang menggunakan Snapdragon 460. Walaupun ia masih lagi cip kelas bawahan dalam hierarki Snapdragon, 460 secara khususnya adalah sebuah cip siri 400 yang paling berkuasa.



Menggunakan cip ini pada realme C17 terasa lebih pantas berbanding realme C12 dengan yang menggunakan MediaTek Helio G35. Namun, naik taraf lain yang utama adalah dari segi jenis perkakas storan.

realme C17 menggunakan storan berasaskan UFS 2.1 yang jauh lebih pantas dari eMMC pada C12. Ia dapat dirasakan terutamanya ketika memasang dan memuat turun mana-mana aplikasi baharu.

Storan 256GB merupakan perkara menarik realme C17 kerana tiada pengeluar lain yang hadir dengan storan sebesar ini untuk kelas pertengahan. Disebabkan realme C17 ini adalah telefon kelas permulaan, penawaran ini sangat menarik untuk pengguna yang mengutamakan saiz storan yang besar.

Pun begitu, kami merasakan saiz 256GB ini adalah tidak begitu penting sangat kerana untuk kelas permulaan, secara praktikalnya anda tidak akan memuatkan fail dan media yang terlampau banyak untuk telefon ini.

Secara jujurnya 128GB pun sudah mencukupi dan 256GB ini dirasakan seperti umpan pemasaran. Namun, jika anda seorang yang menghargai saiz storan dalaman yang besar, tiada salahnya memiliki telefon ini.

RAM telefon adalah pada 6GB. Tiada masalah apabila membuka pelbagai aplikasi. Ini juga merupakan naik taraf berbanding 4GB RAM pada realme C12.

realme C17 bukanlah telefon khusus untuk gaming, akan tetapi kami tetap menguji beberapa permainan yang popular untuk mengetahui prestasi cip Snapdragon 460 dan telefon ini secara umum.

PUBG Mobile

Anda boleh memainkan permainan PUBG Mobile dengan selesa bertemankan fps sekitar 30 pada tetapan Graphics smooth dan Frame Rate High. Boleh juga menaikkan tetapan Graphics pada Balanced untuk visual lebih memuaskan. Pada tetapan ini Frame Rate maksimum adalah Medium dengan fps sekitar 20 sahaja.



COD Mobile

COD Mobile adalah antara permainan yang dengan mudah untuk mendapatkan fps mencecah sekitar 60 melalui tetapan Graphics Low dan Frame Rate High. Jika anda menaikkan tetapan grafik kepada High pula, maksimum fps yang anda akan dapat adalah sekitar 35-40 sahaja.



Mobile Legends

Dengan Mobile Legends, kami telah mencuba menukar pelbagai tetapan akan tetapi maksimum fps yang anda boleh dapatkan hanyalah setakat 30fps sahaja.



League of Legends: Wild Rift

Berbeza dengan League of Legends: Wild Rift, dengan menggunakan tetapan 60fps, anda boleh memainkan permainan dengan lebih lancar. Kami tidak merasa panas walaupun memainkan permainan pada 60fps namun jika anda merasa kurang selesa disebabkan suhu meningkat, turunkannya kepada 30fps.


Bateri


realme C17 dimuatkan sebanyak 5,000mAh kapasiti bateri, ia tidaklah sebesar 6,000mAh pada realme C12 namun masih merupakan kapasiti yang besar untuk norma sebuah telefon pintar.

Melalui penggunaan kami, jangka hayatnya sangat baik ada kalanya mencecah 2 hari penggunaan. Sudah tentu ia disebabkan paparan hanya setakat HD dan juga kadar segar semula yang tidak sentiasa 90Hz.

Salah satu perkara menarik realme C17 berbanding C12 adalah penyertaan pengecasan lebih pantas 18W. C12 hanya 10W sahaja. Bukan itu sahaja, USB-C juga turut serta menjadikan pengalaman mengecas lebih moden untuk tahun 2020.

Namun begitu, disebabkan saiz bateri yang agak besar, anda masih perlu menunggu selama sekitar 2 jam 30 minit untuk memenuhkannya dari kosong peratus.

Rumusan


Pada pendapat kami realme C17 merupakan naiktaraf yang boleh dikatakan lengkap kerana perkakasnya lebih moden berbanding realme C12 sebelum ini.



Kehadiran pengecasan pantas 18W dan USB-C jelas memudahkan pengalaman mengecas telefon. Penggunaan cip pemprosesan Snapdragon 460 yang lebih relevan dan juga storan berasaskan UFS 2.1 sedikit sebanyak melancarkan lagi tugasan yang dilakukan oleh telefon.

Selain itu, ia turut mempunyai kelebihan utama kendiri melalui storan dalaman besar 256GB dan juga kadar segar semula 90Hz.

Namun, masalah utama kewujudan telefon ini bukanlah pada spesifikasinya tetapi pesaingnya. realme C17 dijual secara rasmi pada harga RM999 untuk sebuah kelas permulaan.

Ini merupakan harga yang sama untuk realme 6 sebelum ini membuatkan kami tertanya-tanya apa nilai realme C17 ini? Jangankan pesaing, adik-beradik sendiri pun kelihatan bersaing antara sama satu lain.

Tambahan lagi, jika anda membeli realme C17 ini pada harga promosi pun, ia kelihatan masih kurang berbaloi memandangkan anda boleh mendapatkan Xiaomi Redmi 9 yang merupakan kelas permulaan lebih berbaloi.

Pendek kata, realme C17 ini sedikit janggal untuk disarankan pembeliannya. Ia mempunyai naik taraf, perkakas, dan kelengkapan sangat sesuai sebagai sebuah telefon kelas permulaan. Akan tetapi, realme meminta harga yang agak tinggi berbanding pesaing, dan untuk itu, kami tidak merasakan hasil pulangan wang yang dikembalikan bermanfaat untuk pengguna.

 

 

 

Berkaitan