(Ulasan) OPPO Reno10 Pro+ - Tak Sangka Ini Siri Reno

Siri OPPO Reno memang dikenali dengan prestasi kameranya dan mula menawarkan spesifikasi setanding flagship bermula dalam siri terdahulu.

Model paling berkuasa, OPPO Reno10 Pro+ dijual pada tanda harga RM3,499 dan sejujurnya saya agak terkejut ketika mula-mula mendengarnya.



Saya berpendapat bahawa harga tersebut agak mahal untuk sesebuah model dalam siri OPPO Reno. Walau bagaimanapun, setelah menggunakan peranti ini lebih daripada sebulan, harga tersebut memang tepat dengannya.

Hal ini demikian kerana kualiti kamera, prestasi, bateri, pembesar suara dan boleh saya katakan segala aspek peranti ini memang setanding flagship. 

Jom kita lihat mengapa saya berpendapat sedemikian akan peranti OPPO Reno10 Pro+.

Rekaan


Berbanding siri Reno yang terdahulu, saya merasakan siri OPPO Reno10 mempunyai rekaan yang berbeza tetapi lebih ke arah positif.



Panel belakangnya mempunyai kemasan matte yang terasa premium. Selain itu, rekaannya kelihatan lebih ringkas, tidak keterlaluan tetapi masih nampak estetik, elegan dan menarik.

Tambahan lagi, rekaan modul kamera pada peranti ini juga bukan sahaja berbeza dengan siri-siri sebelum ini, tetapi cukup unik dan membuatkannya tampak lebih baru.



Rekaan peranti ini mempunyai binaan panel belakang dan skrin yang melengkung. Oleh itu, ia kelihatan sebuah peranti memang cantik, premium dan pantas berada dalam kelasnya.

Prestasi




Peranti ini dikuasakan cip Snapdragon 8+ Gen 1, sebuah CPU flagship dalam pasaran pada tahun lepas. Dengan tanda harga jualan setanding flagship 2023, pasti ada sesetengah pihak mempersoalkan kerelevanan peranti ini.



Walau bagaimanapun, saya tidak nafikan prestasi yang dibawakan peranti ini masih berkuasa, tiada sebarang isu dan mampu mengendalikan apa-apa tugasan seperti gaming, penggunaan kamera, mendengar muzik, menonton video dan lain-lain.



OPPO Reno10 Pro+ ini mempunyai pelbagai ciri, customization, dan juga tetapan menarik yang pasti dapat memenuhi pemperibadian pilihan anda.

UI ColorOS 13.1 menawarkan pilihan yang cukup menarik seperti warna, bentuk ikon aplikasi, wallpaper dan banyak lagi.



Bagi pendapat saya, peranti ini menawarkan tetapan yang paling menarik dan menyeluruh sekali berbanding pesaing-pesaing yang lain dalam pasaran.

Tambahan lagi, kelajuan pengecasan pantas SuperVOOC 100W miliknya cukup memberangsangkan. Secara purata, ia hanya mengambil masa sekitar 20 minit sahaja untuk dicas daripada paras rendah hinggalah ke paras mencukupi.



Untuk memastikan keputusan pengecasan yang saya dapat itu benar-benar sahih, saya mencatatkan rekod pengecasannya sekali lagi.



Dan ia memang benar kerana peranti ini hanya mengambil masa 14 minit sahaja untuk sampai ke paras bateri 98% apabila saya mula mengecasnya ketika paras bateri 22%.

Jadi, anda tidak akan menghadapi sebarang isu seperti mahu cas semalaman, lupa tekan suis kuasa dan sebagainya. Hal ini demikian kerana peranti ini hanya memerlukan masa yang sekejap sahaja untuk dicas sebelum sedia untuk digunakan dalam urusan seharian.

Kamera




Seterusnya, saya menguji dan melihat sendiri kemampuan sistem kamera yang ditawarkan peranti ini, saya jelas bahawa OPPO Reno10 Pro+ ini sememangnya berada pada tanda harga yang tepat.

Untuk pengetahuan anda, siri Reno sememangnya terkenal dengan julukan raja potret. Dan prestasi mod tersebut tidak hilang bisanya dalam peranti ini.



Berdasarkan hasil-hasil mod potret di atas, bokehnya tampak neutral dan seimbang, ia bukanlah seperti hasil kualiti sesetengah peranti yang lain. Di mana bokeh pada mod potret peranti tersebut tidak teratur, fake dan kurang menarik.





Selain itu, hasil potret pada waktu malam cukup memberangsangkan. Ia memperkuatkan lagi visual subjek dalam gambar tersebut.



Tidak lupa juga saya perasan peranti baru OPPO ini memberikan kualiti gambar swafoto yang baik. Berbanding siri Reno sebelum ini, hasil gambar swafoto dalam peranti ini lebih baik dan ada peningkatan keseluruhan.



Secara keseluruhannya, prestasi kamera bagi peranti OPPO Reno10 Pro+ 5G ini cukup memberangsangkan. Ia memberikan prestasi kamera yang lebih daripada cukup kepada mereka yang amatur tetapi hasil gambar cukup cemerlang bagi yang pakar.



Ya, mungkin harganya agak keras bagi sesetengah pembaca, namun ia sepadan dengan kualiti dan hasil gambar yang bukan sahaja cantik tetapi memang setanding dengan flagship tahun 2023 ini.



Seperti tajuk ulasan ini, saya tidak sangka siri peranti OPPO Reno telah berkembang, meningkat dan maju seperti peranti ini sejak ia mula diperkenalkan dalam generasi pertamanya.


Kesimpulannya


Sama seperti siri-siri Reno sebelum ini, OPPO Reno10 Pro+ 5G tetap tidak mengecewakan dalam kemampuan sistem kameranya. Bagi pendapat saya sendiri, peranti ini adalah antara peranti kompetitif dalam prestasi potretnya.

Tambahan lagi, rekaan yang ditampilkan OPPO dalam siri kali ini juga lebih baru, segar dan menyerlah berbanding pendahulunya sebelum ini.



Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara yang saya nak nyatakan seperti spesifikasinya. Buat pengetahuan anda, saya berpendapat salah satu sebab kenapa OPPO Reno10 Pro+ dijual pada tanda harga yang cukup keras adalah sensor kameranya.

Hal ini demikian kerana sensor periskop telefoto tersebut sangat berkemampuan. Dan menariknya lagi, sensor tersebut hanya dipakai oleh telefon pintar dalam kelas harga RM5,000 dan ke atas sahaja.

Malahan lagi, kebanyakan flagship 2023 dalam segmen harga yang sama juga tidak mempunyai sensor kamera periskop telefoto seperti OPPO Reno10 Pro+. Jadi, peranti tersebut mempunyai kelebihannya tersendiri dalam perkara itu.



Namun, saya tidak berpendapat OPPO Reno10 Pro+ ini patut dijual pada tanda harga tersebut hanya disebabkan sensor kamera tersebut. Hal ini demikian kerana spesifikasi cip, jenis memori RAM dan storan yang digunakan agak tidak relevan dengan harga yang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri dengan menganggap peranti ini sepatutnya menggunakan spesifikasi seperti Snapdragon 8 Gen 2, memori LPDDR5X dan storan UFS 4.0 yang setara dengan flagship 2023.



Sekiranya OPPO menggunakan spesifikasi berkenaan, sudah tentu ia akan mengganggu pasaran peranti mereka seperti siri flagship OPPO Find X6 untuk tahun ini.

Yang terakhir, saya cukup kagum dengan kemajuan, peningkatan dan pembaharuan yang OPPO bawakan dalam siri Reno10 pada tahun ini, terutamanya OPPO Reno10 Pro+ 5G.



Dan sekiranya anda adalah peminat OPPO, inginkan peranti terbaru jenama itu dan harga jualannya juga berada dalam bajet anda, tiada sebarang bangkangan mahu pun halangan daripada saya terhadap hasrat anda itu.

Akhirul kalam, for your consideration:

OPPO Reno10 Pro+ 5G

Beli di Shopee: https://invl.io/cljif6e

Beli di Lazada: https://invol.co/cljif6q

{suggest}