(Ulasan) Oppo F9 – Rupa Paras Premium Pada Peranti Kelas Pertengahan

Dalam pada pengeluar lain sedang giat menggunakan spesifikasi dalaman yang lebih baik sebagai cara untuk mengatasi pesaingan, Oppo dilihat cuba untuk keluar dari kepompong berkenaan. Dengan Oppo F9 yang direka khas bagi memukau setiap mata yang memandang, mereka berharap agar ia dapat menambat hati pengguna telefon pintar untuk memilikinya.

Sama seperti abangnya, Oppo F7, F9 juga merupakan sebuah peranti premium kelas pertengahan yang menfokuskan keupayaan kamera swafotonya. Kamera swafoto siri Oppo-F tidak lagi perlu dipersoalkan, namun kamera swafoto yang baik sahaja tidak cukup bagi telefon pintar hari ini.

Atas alasan itu, saya akan mencuba sedaya upaya saya untuk berkongsi pengalaman saya menggunakan peranti inidengan penuh keikhlasan. Semoga dengan ulasan ini akan serba sedikit dapat membantu anda dalam membuat keputusan samaada untuk memiliki atau tidak peranti ini nanti.

REKAAN LUARAN

Oppo F9 kali ini kelihatan berbeza dengan Oppo F7 yang diperkenalkan pada bulan Mac yang lalu. Saya akan mulakan dengan bahagian hadapan peranti terlebih dahulu. Telefon pintar ini menggunakan skrin paparan LTPS LCD 6.3-inci dengan perlindungan panel Gorilla Glass 6 yang terkini. Panel kaca ini didakwa mampu bertahan sehingga 15 kali jatuhan daripada ketinggian 1 meter.

Pengguna Oppo F9 ini juga akan dihidangkan dengan paparan Full HD+, maka kualiti imej semasa menonton video di YouTube adalah sangat memuaskan. Namun, perkara paling utama tentang Oppo F9 ini ialah rekaan takuk kecilnya yang seakan-akan titisan air. Atas sebab itu, rekaan skrin peranti ini telah digelar sebagai waterdrop display oleh pihak Oppo.  Takuk kecil itu hanya akan menempatkan lensa kamera swafotonya sahaja.

Di bahagian bawah peranti pula terletak pembesar suara, pot pengecasan mikroUSB, mikrofon dan 3.5mm bicu audio.

Alat kawalan bunyi dan slot dwi-kad sim serta slot mikroSD dipasang pada bahagian sisi sebelah kiri peranti, manakala butang kuasa diletakkan di sisi sebelah kanan.

Beralih ke bahagian panel belakang peranti pula. Di sinilah terletaknya keindahan rekaan peranti ini. Oppo F9 yang diberikan kepada saya adalah berwarna ungu(Starry Purple). F9 juga hadir dengan dua lagi pilihan warna iaitu Twillight Blue dan Sunrise Red. Panel belakang ini dihiasi dengan kecerunan warna menarik yang diilhamkan daripada lopak bunga atau petal.

Kamera utama dwi-lensa dipasang secara melintang di bucu atas sebelah kiri panel belakang peranti yang turut disertai dengan LED flash. Sensor pengimbas cap jari dan penjenamaan Oppo juga turut menghiasi bahagian belakang Oppo F9 ini.

Warna cerun yang ada pada model ini turut akan memperlihatkan beberapa tona warna yang berbeza sekiranya peranti ini dipandang dari sudut yang berlainan.

Saya dapati ianya agak sukar untuk menggunakan Oppo F9 ini dengan sebelah tangan sahaja. Namun, dengan saiznya dan beratnya yang sesuai dengan saiz tangan saya, Oppo F9 ini amat selesa dipegang dan tidak licin. Rekaan lengkung pada bingkai peranti juga membantu dalam meningkatkan tahap keselesaan tersebut.

ANTARAMUKA

Seperti biasa, Oppo F9 ini telah didatangi dengan antaramuka ColorOS 5.2 yang berlandaskan sistem operasi Android 8.1 Oreo dari dalam kotak.

Sistem antaramuka kali dilihat hampir sama seperi FunTouch OS(Vivo) dan MIUI(Xiaomi) dari segi jumlah bloatware-nya.  Bagi saya, aplikasi seperti pemain muzik dan pemain video kini tidak sepatutnya dipasang sebagai bloatware.

Ini kerana kebanyakan daripada pengguna hari ini sudah mempunyai pemain media kegemaran mereka sendiri. Atau sekurang-kurang, benarkan pengguna untuk memadam atau menyahaktifkan aplikasi bloatware berkenaan.

Seperkara lagi yang kurang saya gemari pada ColorOS ini ialah apabila menerima notifikasi, saya perlu swipe seterusnya tekan ikon ‘Bin’ untuk membuangnya daripada bar notifikasi. Bukan sekadar swipe dan padam seperti kebanyakan antaramuka lain.

Selain daripada itu, saya tidak mempunyai masalah dengan antaramuka daripada Oppo ini. Tiada app drawer bukanlah satu masalah kepada saya yang memang tidak gemar akan fungsi itu, tapi mungkin tidak bagi anda. Fungsi App Split-Screen dan Game Space juga merupakan antara perkara yang saya sukai pada ColorOS 5.2 ini.

Lain-lain perkara seperti fungsi gerakan isyarat dan bantuan pintar adalah hampir sama dengan peranti-peranti Oppo sebelum ini. Kesimpulannya, ColorOS adalah antaramuka yang agak menarik, namun bukanlah yang terbaik di pasaran hari ini.

SPESIFIKASI DALAMAN

Sejak mengetahui yang peranti ini menggunakan cip pemprosesan MediaTek Helio P60, tidak banyak yang saya harapkan daripada Oppo F9 ini. Harapan saya hanyalah untuk peranti ini akan dapat menjalankan operasi biasa dengan baik.

Bagaimanapun mahu atau tidak, bermain permainan video adalah cara terbaik untuk menguji keupayaan dalaman peranti. Maka, saya memilih untuk kembali kepada permainan PUBG Mobile bagi ujian kali ini. Secara asalnya, permainan ini menetapkan grafik Medium bagi Oppo F9 ini.

Bermain dengan tetapan itu, saya dapati tiada masalah lag yang ketara dapat dirasai. Permainan pertama saya dengan peranti ini berakhir dengan Chicken Dinner. “Wah, baik jugak main pakai phone ni”, kata lubuk hati saya. Main PUBG Mobile, Oppo F9 lulus.

Saya beralih pula ke aktiviti keluar dan masuk aplikasi sepantas yang boleh. Selepas melakukannya sebanyak lebih kurang 10 aplikasi, saya dapati tempoh loading untuk membuka satu-satu aplikasi itu tidak menampakkan kelewatan ketara.

Mungkin ianya dibantu oleh memori sebesar 6GB RAM yang menyertai pasukan perkakasan dalaman peranti ini. Menonton video di YouTube dan menatal laman sosial juga dapat dijalankan tanpa sebarang masalah. Siapa kata cip MediaTek tak bagus?

Bagi sistem keselamatan peranti ini pula, ia menyokong fungsi pengimbasan cap jari serta pengesanan wajah. Selepas mencubanya, saya dapati imbasan cap jarinya tidaklah begitu pantas, namun pengesanan wajahnya adalah memuaskan. Nyahkunci menggunakan pengesanan wajah pada waktu malam di luar rumah juga dapat dilakukan dengan agak baik.

PRESTASI KAMERA

Kamera yang ada pada model dalam siri Oppo-F tidak lagi perlu diragui, terutamanya kamera swafoto. Tapi, izinkan saya bermula dengan kamera utama dahulu.

Kamera utama Oppo F9 ini boleh dikatakan hanya merupaka naiktaraf kepada peranti Oppo F7. Ini kerana, berbanding dengan F7 yang menggunakan lensa tunggal 16MP, F9 kali ini menggunakan dwi-lensa 16MP f/1.8 +2MP f/2.4 yang dipasang untuk fungsi bokeh. Berikut merupakan beberapa imej hasil tangkapan kamera utama peranti ini.

Perbezaan tona warna yang ada pada daun dapat ditonjolkan dengan jelas

Dengan bantuan teknologi AI secara automatik dan fungsi Super Vivid diaktifkan, tona warna dapat diperlihatkan dengan lebih tajam dan terang

Foto dalam keadaan kurang pengcahayaan juga tidaklah begitu mengecewakan

Kualiti imej objek bergerak yang dihasilkan mungkin bukanlah yang terbaikFungsi bokeh yang ada juga dapat berfungsi dengan baik serta agak tajamHasil tangkapan lensa 25MP pada kamera swafoto peranti sangat memuaskan. Ya betul, pakar selfie anda.

Dari segi rakaman video pula, Oppo F9 tidak disertakan dengan apa-apa sokongan penstabilan imej. Jadi semasa merakam video, saya dapati hasilnya menampakkan gegaran yang agak banyak. Bagi kualitinya pula, ia dapat merakam secara 1080p pada 30fps.

KEUPAYAAN BATERI

Oppo F9 dilengkapi dengan bateri berkapasiti 3,500 mAh, lebih tinggi berbanding Oppo F7 terdahulu. Setelah menguji keupayaan bateri ini dengan memainkan video di YouTube secara looping, saya dapati ia mampu bertahan selama lebih kurang 14 jam dan 15 minit tempoh tayangan.

Manakala dengan penggunaan sederhana keras seperti bermain permainan video, melayari internet dan menangkap foto, peranti ini dapat bertahan selama lebih 8 jam dengan mudah. Malah, ketika saya tidak memerah keringat bateri peranti ini akibat terlalu sibuk di pejabat, ia mampu bertahan selama sehari.

Dari segi pengecasan pula, Oppo F9 ini disokong dengan pengecasan pantas VOOC bagi memberikan tempoh pengecasan yang lebih singkat. Hasilnya, bateri peranti ini mampu dicas penuh dalam masa lebih kurang 1 jam 18 minit sahaja.

Oppo mendakwa bahawa peranti ini mampu bertahan selama 2 jam waktu berbual dengan hanya 5 minit pengecasan. Namun, apabila saya uji, dengan 5 minit pengecasan, F9 dapat dicas sehingga 10% dan hanya bertahan selama lebih kurang 1 jam 2 minit sahaja. Mungkin Oppo ada cara mereka sendiri dalam menguji perkara ini.

Satu perkara yang agak mengecewakan bagi saya dengan pengecasan bateri Oppo F9 ini ialah penggunaan kabel mikroUSB-nya. Ini kerana kebanyakan peranti hari ini sudah menggunakan pot USB Type-C. Jadi apabila saya tertinggal alat pengecasan di rumah, sukar untuk saya dapatkan kabel yang sama daripada rakan-rakan di pejabat.

KESIMPULAN

Mudah untuk saya katakan, Oppo F9 ini sangat sesuai bagi anda yang sukakan peranti yang cantik dan kamera dengan kualiti yang baik. Bagi kaum hawa di luar sana, saya berani katakan anda pasti akan menyukai peranti ini(jika anda bukan seorang gamer).

Kamera swafoto yang cemerlang bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan lagi pada sebuah peranti dalam siri Oppo-F. Jika tidak, mana mungkin mereka berani menggunakan tagline ‘Pakar Selfie Anda’ dalam iklan-iklan mereka.

Ia ditambah pula dengan rekaan skrin waterdrop yang pertama di dunia serta warna cerun yang menawan pada panel badan peranti menjadikannya cukup mempersonakan. Namun, seringkali saya katakan, di muka bumi hari ini tiada satu pun yang sempurna.

Antara kekurangan yang saya dapati pada peranti Oppo F9 ini ialah penggunaan pot pengecasan mikroUSB, antaramuka ColorOS yang bagi saya kurang mesra pengguna dan spesifikasi dalamannya yang sederhana. Bagaimanapun, dengan harga jualan RM 1,399, tidak banyak yang kita boleh harapkan pada Oppo F9 ini.

 

OPPO F9
  • Rekaan Luaran
  • Antaramuka
  • Spesifikasi Dalaman
  • Prestasi Kamera
  • Keupayaan Bateri
4

KESIMPULAN

Yeahhhh
– Rekaan luaran yang sangat menawan
– Kamera swafoto berprestasi tinggi
– Pengecasan pantas VOOC

Naahhhh
Antaramuka tidak mesra pengguna
– Spesifikasi dalaman yang sederhana
– Penggunaan mikroUSB

Amir Zakwan

Amir Zakwan

Add comment

Langgan Wiser.my

Langgan artikel melalui email dan terima notifikasi setiap kali artikel baru dikeluarkan

Hubungi Kami

03 8686 5408