(Ulasan) Samsung Galaxy A30 - Strategi Samsung Untuk Menyaingi Xiaomi

Umum mengetahui telefon pintar Samsung lebih mensasarkan kepada golongan bangsawan terutamanya siri S dan Note mereka.

Harga yang sedikit tinggi berbanding jenama lain menjadi sebab utama kenapa ramai lebih cenderung untuk memilih jenama seperti Xiaomi, Honor, dan Realme terutamanya untuk peranti kelas pertengahan.

Samsung Galaxy A30- Penanda Aras Untuk Siri A Seterusnya


Tahun ini Samsung mengambil pendekatan yang berbeza dengan penjenamaan semula siri-J kepada siri-A dalam usaha untuk bersaing dengan jenama lain terutamanya Xiaomi yang terkenal dengan harga mampu milik.



Dalam ruangan kali ini, saya akan memberikan pandangan peribadi saya tentang Samsung Galaxy A30. Adakah ia mampu menandingi model-model kelas pertengahan seperti Redmi Note 7 dan Realme 3 misalnya.

Harga Murah, Dan Rasa..Murah


Pengenalan Galaxy A30 ke pasaran Malaysia secara automatik menarik perhatian ramai. Manakan tidak, pada hanya RM799, pengguna menerima banyak ciri menarik yang sebelum ini hanya ada pada model flagship Samsung.

Galaxy A30 dibina dengan paparan skrin berukuran 6.4 inci dengan panel Super AMOLED. Kepada pengguna yang begitu mementingkan paparan yang cantik seperti saya, sudah tentu skrin AMOLED menjadi pilihan.



Namun peranti ini hanya dibekalkan dengan perlindungan Corning Gorilla Glass 3 sahaja. Ini bermakna skrin peranti ini perlu dilapik dengan perlindungan tambahan untuk lebih keselamatan.

Galaxy A30 hadir dengan panel belakang plastik yang membuatkan peranti ini rasa sedikit..murah



..namun Samsung berjaya meyembunyikan sifat 'murah' tersebut dengan rekaan lengkung di bahagian sisi dan paparan skrin penuh bersama takuk kecil di bahagian hadapan memberikan ruan skrin yang luas.

Ketahanan Bateri Dan Pengecasan Pantas 15W


Walaupun rekaan luaran nampak dan rasa tidak mahal, Samsung tetap 'belanja' dengan membekalkan port pengecasan Type-C (2.0) yang digilai ramai. Seperti model flagship mereka, A30 turut menyokong pengecasan pantas 15W.



Dengan kapasiti bateri 4,000mAh, peranti ini mengambil masa sekitar 1 jam 41 minit untuk pengecasan penuh manakala melalui ujian yang kami lakukan, ia mampu bertahan selama hampir 11 jam dengan memainkan video HD secara berulang kali.

Kamera Yang Bersederhana


Pada mulanya, saya langsung tidak meletakkan jangkaan yang tinggi untuk kameranya.

Selepas menggunakannya beberapa hari, ternyata jangkaan saya tepat kerana imej yang dihasilkan tidak mampu menyayingi kamera 48MP Redmi Note 7.



Galaxy A30 dipadankan bersama dwi-kamera utama 16MP f/1.7 dan 5MP f/2.2 manakala kamera swafoto 16 MP, f/2.0.

Perincian gambarnya sudah cukup memuaskan namun dalam beberapa situasi gambar sedikit gelap terutamanya dalam keadaan matahari membelakangi objek atau ketika cuaca panas terik.



Walaupun warna yang dihasilkan dengan saturasi warna yang tidak pekat tetapi jika digunakan pada situasi yang betul, hasil gambar kelihatan realistik dengan tona yang lembut.

Sesuai Untuk Gaming?...Bergantung


Samsung Galaxy A30 dimuatkan dengan cip Exynos 7904 dengan unit pemprosesan grafik(GPU) Mali G71 MP2 sama seperti Samsung Galaxy M20.

Prestasinya adalah sama seperti M20. Peranti ini dapat memainkan PUBG Mobile dan Real Racing 3 dengan lancar namun harus diingatkan peranti ini dapat menjalankan tugas dengan efisyen pada tetapan medium.



Kadar frame rate juga adalah normal dan dapat dikekalkan pada tetapan medium, tetapi selepas 2 ke 3 jam, peranti ini mengalami peningkatan suhu yang sederhana.

Namun saya dapat rasakan kejatuhan frame rate apabila melakukan tugasan ringan seperti di media sosial dan navigasi di ruangan hadapan.

Pada saya, Galaxy A30 menghadapi sedikit kesukaran kerana ia dijalankan dengan antaramuka One UI terus dalam kotak.



Walaupun antaramuka baru Samsung membawakan wajah lebih segar dan sangat menarik, namun tidak dapat dinafikan One UI adalah mekap yang sangat tebal, maka A30 sedikit bergelut dengan isu lagging tetapi pada tahap yang minimal.

Pengimbasan Cap Jari Konvensional


Peranti ini masih mengekalkan sensor pengimbasan cap jari di panel belakang tidak seperti abangnya, Galaxy A50 yang menggunapakai sensor di bawah skrin.



Saya sudah menguji sendiri ciri sensor bawah skrin pada Galaxy A50 tetapi ia adalah sangat mengecewakan. Maka sensor di panel belakang pada Galaxy A30 adalah satu berita baik untuk pengguna.

Tiada Ciri Samsung Pay Dan Sambungan NFC


Walaupun isu ini boleh diterima akal dek kerana paras harganya, tetapi jauh disudut hati saya inginkan ciri Samsung Pay untuk peranti kelas pertengahan mereka.

Sama juga dengan model A50 dan M20 yang turut tidak dibekalkan dengan sambungan NFC dan Samsung Pay. Agak merugikan Samsung tidak mengambil kesempatan ini, tidakkah Samsung mahu melebarkan sayap ekosistem mereka sendiri?

Berbaloi ke Beli Samsung Galaxy A30?


Kali ini Samsung benar-benar serius untuk memegang takhta kelas pertengahan yang ketika ini dimonopoli oleh Xiaomi. Persoalannya, adakah peranti ini mampu mengalahkan 'raja' peranti bawah RM1,000 (setakat ini) iaitu Redmi Note 7?

Galaxy A30 kalah tipis dengan Redmi Note 7 dari segi kamera dan prestasi grafik dengan menggunakan 48MP kamera dan cip Snapdragon 660.



Malah Redmi Note 7 juga lebih tahan lasak dengan binaan kaca dan perlindungan Corning Gorilla Glass 5 dibahagian depan dan belakang.

Tetapi jika anda lebih pentingkan paparan skrin yang lebih cantik pada harga mampu milik, Galaxy A30 adalah jawapannya.

Berkaitan