(Ulasan) Neffox X9 - Tengah Mencari Telefon Pintar Bawah RM600?

Dikenali sebagai Neffos X9 ia telah mula diperkenalkan untuk pasaran Malaysia sejak hujung Julai yang lalu.

Bagi yang masih tertanya-tanya tentang Neffos, ia merupakan sebuah jenama telefon pintar yang dibangunkan oleh TP-Link, syarikat pengeluar produk rangkaian komputer yang cukup popular.



Ditawarkan pada nilai RM599, jom kita lihat sama ada berbaloi atau tidak untuk memiliki Neffos X9 ini.

Rekaan luar

Walaupun berharga bawah daripada RM600, luarannya tampak "mahal" sedikit.



Bahagian hadapan dilengkapi dengan skrin paparan Full-View Display berkeluasan 5.99 inci dengan nisbah 18:9. Tiada penampakan takuk dibahagian skrin, dimana kawasan "dagu" dan "dahi" tidaklah terlalu tebal.



Panel belakangnya diperbuat daripada polikarbonat dengan rekaan unibody yang diproses oleh kemasan CNC, membuatkan seolah-oleh kita memegang logam.

Dwi kamera disusun secara menegak ditemani fungsi flash disebelah kiri dan dibawah adalah pengimbas cap jari.

Sistem kamera utama menggunakan lensa 13MP dan 5MP sementara kamera selfie menggunapakai lensa 8MP.

Bicu audio 3.5mm berada disisi atas manakala sisi bawahnya pula adalah speaker mono dan port Mikro USB.



Antaramuka



Neffos menggunakan antaramukanya yang tersendiri dipanggil sebagai NFUI 8.0 yang dibangun berasaskan Android 8.1. Oleh kerana jenama ini dibawah TP Link, sudah pasti sedikit sebanyak ia diperlengkapkan dengan ciri-ciri rangkaian seperti Share Wifi dengan kod QR.



Selain itu, telefon pintar ini juga boleh mengembangkan lagi capaian WiFi dengan ciri WiFi Extender.



Navigasi peranti dilakukan melalui sentuhan jari mirip seperti leret dari kiri atau kanan, leret dari bawah, sentuh dua kali dan juga leret tiga cari untuk buat rakaman skrin.

Ruang notifikasi juga boleh diakses menerusi sentuhan pada sensor cap jari dibelakang. Leret sekali pada sensor untuk paparan notifikasi dan leret dua kali untuk buang notifikasi.



Sistem dalaman dan prestasi

Beralih kepada komponen dalaman yang menjana telefon pintar ini. Ia hadir dengan cip pemprosesan MTK MT6750 (4 Cortex-A53 1.5GHz + 4 Cortex-A53 1.0GHz). Memori pula boleh dipilih antara RAM 3GB/32GB atau RAM 4GB/64GB dan kedua-duanya mempunyai sokongan kad MikroSD sehingga 128GB.

Selain sistem nyahkunci biasa, ia diperkuatkan lagi dengan pengimbas cap jari, dan sistem imbasan wajah yang didokong AI. Prestasi kedua-dua sensor ini berada ditahap memuaskan hati.

Dari segi prestasi untuk tontonan video, ia memberikan paparan yang boleh dikatakan agak baik. Audionya pula kadangkala dirasakan kurang lantang dan jari masih mahu melaras bunyi hingga nilai tertinggi, walaupun ia sudah mencapai tahap maksimum.

Setelah menjalankan beberapa permainan bergrafik berat seperti PUBG dan Asphalt 9, ia dilihat kurang mampu menawarkan prestasi terbaik untuk permainan sebegitu walaupun pada tetapan paling rendah. Pun begitu, itu bukanlah penghalang anda untuk bersuka ria kerana ia tetap mampu mengoperasikan permainan sederhana yang lain.

Kamera

Kemampuan kameranya dipertaruhkan melalui gabungan dua lensa 13MP dan 5MP dibelakang yang menyokong aperture f/2.0, kesan bokeh masa sebenar, dan teknologi PDAF.

Kualiti gambar yang dihasilkan hanya biasa sahaja.



Bateri

Neffos X9 dijana dengan bateri berkapasiti 3060mAh dan mempunyai sokongan pengecasan pantas.

Bagi pengecasan penuh ia mengambil masa menghampiri 2 jam dengan pengecas yang dibekalkan dari kotak. Penggunaan normal seperti melayari internet, media sosial, dan aktiviti ringan lain mampu menjangkau ke satu hari. Tetapi penggunaan lasak seperti menstrim video dan bermainan aplikasi permainan secara lasak ia hanya bernyawa sekitar 2-3 jam sahaja.

Keseluruhan

Secara keseluruhannya, terdapat pro dan kontra untuk peranti ini. Pada harga RM599 anda boleh mendapatkan telefon pintar dengan Android 8.1, sistem imbasan wajah, sambungan 4G LTE. Agak sukar juga untuk Neffos X9 bersaing dalam kelasnya kerana terdapat beberapa model lain dengan harga yang sama tetapi prestasi yang sedikit baik.



Namun bagi anda yang sedang mencari telefon pintar kedua dengan harga yang berpatutan, mungkin untuk dijadikan hadiah kepada anak-anak, mungkin juga untuk kedua ibu bapa yang baru belajar menggunakan peranti pintar, Neffos X9 boleh dipertimbangkan.

Harga jualan berbeza mengikut variasi iaitu RM599 (RAM 3GB/32GB) dan RM799 (RAM4GB/6GB). Bagi yang berminat boleh dapatkannya pada nilai yang lebih murah menjelang promosi Neffos 11.11 Crazy Sale pada harga RM529 dan RM716.