(Ulasan) Huawei Y Max - Peranti Yang Harus Dimiliki Oleh "Kaki Movie"

Pada hari ini, kita dapat melihat telefon pintar ditawarkan dalam pelbagai bentuk dan spesifikasi yang berlainan bagi menarik minat pembeli.

Ada yang hadir dengan spesifikasi canggih, ada juga pengeluar mementingkan kualiti kamera dan tidak kurang juga mereka yang menfokuskan reka bentuk menawan pada peranti.

Bercakap mengenai reka bentuk menawan, kebanyakan pengeluar sering menggunakan rekaan kaca bagi menampilkan rupa paras elegan dan mewah pada telefon keluaran mereka.

Namun, Huawei nampaknya mengambil pendekatan berbeza apabila memperkenalkan Huawei Y Max dengan panel belakang kulit. Betul ke kulit? Nak tahu, anda perlu terus membaca ulasan kami pada kali ini.

Panel Belakang Yang Lain Daripada Lain


Seperti yang dinyatakan tadi, Huawei Y Max ini hadir dengan binaan kulit pada bahagian belakangnya. Namun, ia bukanlah kulit yang sebenar.



Panel belakang peranti ini sebenarnya adalah plastik yang seakan "cowhide".  Bahagian ini juga diletakkan tetapan dwi-kamera utama serta sensor imbasan cap jari fizikalnya.



Beralih ke bahagian hadapan, peranti ini hadir dengan IPS LCD bersaiz 7.12-inci, hanya kira-kira 0.8-inci lebih kecil berbanding Huawei Mate 20 X. Ia dihiasi dengan rekaan takuk kecil atau waterdrop bagi menempatkan kamera swafoto peranti.



Butang kuasa dan kawalan bunyi dipasang di sebelah kanan peranti manakala dulang kad sim pula diletakkan di sebelah kiri. Port pengecasan mikroUSB, pembesar suara dan bicu audio 3.5mm pula terletak di sisi bawah peranti.



Secara keseluruhannya, peranti ini kurang selesa untuk dipegang dan sukar untuk di simpan di dalam poket memandangkan saiznya yang agak besar.



Bagaimanapun, rekaan cowhide yang ada pada peranti ini mampu menjadi salah satu daya tarikan untuk orang ramai mendapatkan peranti ini.

Masih Dihiasi EMUI 8.2 Berasaskan Android Oreo


Sebagai peranti yang dilancarkan pada Disember tahun lepas, adalah sedikit mengecewakan apabila peranti ini masih lagi tampil dengan Android Oreo dan bukannya Android Pie terbaru.



Walaubagaimanapun, ia agak berbeza dengan EMUI 8.2 yang dimiliki oleh peranti lain sebelum ini kerana ia tidak mengandungi bloatware atau aplikasi pra-pasang yang terlampau banyak.



Bagi anda yang menyukai fungsi laci aplikasi, Huawei ada menyediakan kemudahan tersebut untuk anda pada keluaran mereka kali ini. Selain itu, anda juga boleh mengubahsuai sistem navigasi mengikut keselesaan anda.



Ia juga dilengkapi dengan beberapa fungsi menarik lain seperti fungsi Dolby Atmos, bantuan pintar Google Assistant serta kebolehan menyembunyikan takuk.

Tonton Filem Dengan Penuh Kepuasan


Huawei Y Max ini dikuasakan dengan cip pemprosesan dari Qualcomm, Snapdragon 660 yang merupakan antara cip berkualiti tinggi untuk kelas pertengahan.

Melaluinya, saya dapat bermain permainan video seperti Asphalt 9 tanpa sebarang masalah. Namun bagi PUBG Mobile, saya dicadangkan untuk bermain dalam tetapan Medium sahaja.

Akan tetapi, bermain permainan video bukanlah menjadi aktiviti kegemaran saya pada peranti ini. Sebaliknya, yang paling saya gemari ialah menonton video di Netflix.



Dengan skrinnya yang amat besar beserta dengan sokongan sistem audio Dolby Atmos-nya, menonton filem menjadi sangat menyeronokkan.

Ditambah pula dengan kapasiti baterinya sebesar 5,000mAh, saya mendapat waktu tontonan yang lebih panjang.

Dari segi pengurusan memori pula, Huawei Y Max ini dapat melaksanakannya dengan sangat baik. Saya hanya dapat mengesan peranti mula menjadi pelahan selepas hampir 10 aplikasi latar belakang.

Secara mudahnya, saya tidak menghadapi sebarang kesukaran semasa menjalankan aktiviti harian pada peranti ini.

Kamera Berkuasa AI Yang Mampu Mengesan Sehingga 22 Kategori


Sistem kamera yang baik menjadi semakin penting bagi sesebuah telefon pintar hari ini. Ia boleh menjadi daya tarikan untuk pembeli mendapatkannya.



Bagi model Y Max ini, Huawei telah membekalkannya dengan tetapan dwi-kamera utama yang menggabungkan lensa 16MP f/2.0 dan 2MP f/2.4 manakala rakaman swafoto pula disokong oleh lensa 8MP f/2.0.

Berikut adalah di antara contoh gambar yang berjaya dihasilkan menggunakan peranti ini.



Tangkapan swafoto adalah agak baik namun hasil gambar pada waktu malam kurang memuaskan.



Bagi rakaman video pula, peranti ini mampu merakam dengan kualiti 1080p pada 30fps. Hasil rakaman pula adalah agak baik namun gegaran pada video adalah agak jelas memandangkan ia tidak disokong oleh sebarang sistem penstabilan imej.

Bateri Gergasi Yang Mampu Bertahan Sehingga 2 Hari


Seperti yang saya nyatakan lebih awal, peranti ini hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh. Apabila saya bermain permainan video selama satu jam, saya dapati peranti ini hanya kehilangan kuasa sebanyak 11%.

Untuk penggunaan harian biasa, saya dapati Huawei Y Max ini mampu bertahan sehingga hampir dua hari. Saya mengecas penuh pada waktu pagi sebelum ke pejabat dan hanya perlu mengecas semula pada malam keesokan harinya.



Sepanjang tempoh itu, saya menonton 2 episod Narcos di Netflix, bermain 4 permainan PUBG Mobile dan menatal aplikasi media sosial.



Untuk pengecasan pula, peranti ini memerlukan tempoh masa yang agak lama iaitu lebih kurang 2 jam 10 minit. Ia adalah kerana kapasiti bateri yang besar serta ketiadaan sokongan pengecasan pantas pada peranti ini.

Peranti Yang Tepat Untuk Penggemar Filem


Berbaloi atau tidak untuk anda miliki peranti ini? Jawapannya ada pada diri anda sendiri.

Jika anda seorang penggemar permainan video dan tidak kisah untuk bermain pada tetapan grafik medium, ia adalah berbaloi. Namun kalau anda mahukan grafik yang terbaik, Huawei Y Max bukanlah untuk anda.

Begitu juga dengan anda yang suka bergambar menggunakan telefon pintar. Saya nasihatkan anda mencari alternatif lain kerana peranti ini kurang sesuai untuk anda.

Akan tetapi, jika anda seorang kaki movie atau pencinta YouTube, tanpa ragu saya katakan Huawei Y Max ini adalah telefon pintar khas untuk anda.

Akhir kata, tepuk dada tanya selera. Oh ya, peranti ini didagangkan pada harga RM1,299 di pasaran Malaysia.