(Ulasan) HONOR Pad 9 - Alternatif Tablet Android Bajet

Seiring dengan kemasukan telefon pintar terbaru daripada HONOR, iaitu HONOR Magic6 Pro ke pasaran Malaysia, mereka juga telah membawa masuk satu produk tablet terbaru yang mana boleh saya kategorikan ia sebagai 'tablet bajet'.

Hal ini kerana apabila saya melihat secara kasar kepada spesifikasi yang ditawarkan untuk tablet ini, saya boleh simpulkan yang ia hanya mampu melakukan tugasan harian yang asas sahaja.

Tablet yang dimaksudkan adalah HONOR Pad 9 yang hadir bersamanya kelengkapan aksesori seperti papan kekunci dan pencil untuk kegunaan pejabat ataupun pelajar.

Walau bagaimanapun, tidak bermakna HONOR Pad 9 ini tidak mampu untuk memberikan prestasi yang baik kepada penggunanya kerana pencerahan tentang kemampuannya dari sudut prestasi dan cara penggunaan akan mula dibahas selepas spesifikasi di bawah.

Spesifikasi


Cip: Snapdragon 6 Gen 1

Memori: 16GB RAM

Storan: 256GB

Sistem Operasi: MagicOS 7.2, Android 13

Skrin: TFT LCD (IPS), 12.1 inci, resolusi 2560 x 1600, 120Hz

Kamera: 13MP utama, 8MP swafoto,

Bateri: 8,300mAh, pengecasan 35W

Lain-lain: Slot kad mikroSD 1TB,  rangkaian 5G, Bluetooth BT5.1, USB-C

Kelengkapan Tambahan: Smart Bluetooth Keyboard, HONOR CHOICE Pencil

{suggest}

Rekaan


Secara jujurnya, saya rasa tablet terbaru daripada HONOR ini mempunyai banyak persamaan dari sudut reka bentuk luarannya apabila dibandingkan dengan OPPO Pad Neo kerana modul kamera belakangnya dipasang pada bahagian tengah atas apabila tablet ini diletakkan pada kedudukan landskap.



Beralih pula pada bahagian skrin yang mana menurut pendapat saya sebagai pengguna, HONOR telah melakukan perkara yang sepatutnya untuk produk mudah alih demi menjaga kesihatan para penggunanya.

Penjagaan yang dimaksudkan adalah ciri 'Eye Comfort' yang menggunakan teknologi Circadian Night Display.

Secara ringkasnya, teknologi ini mampu untuk menukar warna asli paparan kepada warna yang lebih lembut untuk kegunaan tontonan video ataupun membaca semasa berada di ruangan yang gelap.

Tambahan pula, keberkesanan ciri ini akan terlaksana secara automatik setelah diaktifkan secara terus melalui Control Center dan penukaran warna paparan itu akan bergantung pada tahap pencahayaan di sesuatu ruang tersebut.



Namun begitu, ciri ini akan menjadi kurang efektif apabila penggunanya berada dalam kawasan atau ruang yang cukup kadar pencahayaannya.

Oleh sebab itu, saya lebih memilih skrin yang diterapkan dengan lapisan matte seperti HUAWEI MatePad 11.5 PaperMatte Edition walaupun HONOR Pad 9 ini telah mendapat pengiktirafan TUV Rheinland dari sudut Low Blue Light dan Flicker Free.

Hal ini kerana bukan sahaja lapisan tersebut mampu untuk menghalang pantulan cahaya bahkan ia juga mampu untuk memberikan pengalaman menulis dengan pen digital di atas permukaan kertas.

Prestasi


Dari sudut prestasi pula, saya tidak nafikan yang HONOR Pad 9 ini mampu untuk melakukan tugasan harian seperti melayari media sosial, menonton video dan membuka banyak aplikasi dalam masa yang sama tanpa ada sebarang sekatan pada animasi antara muka.

Hal ini disebabkan oleh cip yang digunakan tablet ini adalah daripada cip pemprosesan jenis pertengahan yang baik dan hasil keluaran daripada syarikat yang ternama iaitu Qualcomm.

Tidak terkecuali, tablet ini juga sesuai untuk penggunaan bermain permainan mudah alih yang tidak menggunakan kadar grafik yang tinggi seperti Mobile Legends pada tetapan 'High'.

Untuk pemerhatian yang lebih mendalam, saya telah sediakan perbandingan keputusan ujian penanda aras yang diambil daripada aplikasi Geekbench 6 bagi mengukur prestasi cip pemprosesan tablet ini dengan prestasi cip HUAWEI MatePad 11.5 PaperMatte Edition.



Hasil daripada pemerhatian, perbezaan keputusan ujian penanda aras untuk teras tunggal dan multiteras bagi kedua-dua tablet ini tidak terlalu jauh perbezaannya.

Selain itu, tablet ini juga dilengkapi dengan lapan pembesar suara yang kemampuannya boleh saya katakan adalah setanding dengan empat pembesar suara stereo Dolby Atmos daripada OPPO Pad Neo.

Kualiti rakaman kamera hadapan dan mikrofon untuk tablet ini juga boleh saya kelaskan ia cukup sekadar untuk menghadiri perjumpaan secara maya di platform Google Meet atau Microsoft Teams.

Penggunaan


Selain daripada cip pemprosesan yang baik dan penerapan ciri penjagaan mata, setiap pembelian HONOR Pad 9 ini akan disertakan bersamanya dua perkakasan iaitu papan kekunci Smart Bluetooth dan HONOR CHOICE Pencil.



Pada mulanya, saya beranggapan yang kelengkapan ini akan membantu dan meringankan tugasan harian saya sebagai pengguna dan penulis tetapi sangkaan saya itu salah.

Hal ini kerana saya dapati yang kedua-dua perkakasan ini berfungsi secara sambungan Bluetooth ke tablet HONOR Pad 2 serta perlu dicas dengan menggunakan USB-C.

Walaupun saya tahu ada dalam kalangan anda di luar sana yang menganggap perkara ini adalah benda yang remeh dan boleh diselesaikan dengan mudah, di sini saya akan beri anda satu situasi yang mana ketiga-tiga komponen iaitu tablet, pen stylus dan papan kekunci ini berada dalam situasi kehabisan bateri.

Tambahan pula, pada waktu itu anda berada di dalam perpustakaan sedang menyiapkan tugasan yang perlu dihantar kepada pensyarah pada hari yang sama. Saya yakin situasi anda seterusnya akan sama seperti gambar di bawah.



Bagi saya, perkara ini sangat leceh dan merimaskan kerana tidak semua orang mempunyai tiga wayar pengecas USB-C dibawa bersamanya untuk ke mana-mana.

Dari sudut penggunaan papan kekuncinya pula, saya berpuas hati namun sebaliknya untuk pen stylus kerana apabila menggunakannya, saya dapat rasakan ada sedikit 'delay' dari sudut penulisannya jika mahu dibandingkan dengan M-Pencil Gen-2 daripada HUAWEI.

Dari sudut pemerhatian saya sebagai pengguna produk HONOR Pad 9 ini, saya mencadangkan pihak HONOR untuk memperbaharui sedikit kelemahan produk ini dari sudut penjagaan yang mungkin boleh dimasukkan dalam keluaran produk tablet seterusnya.

Salah satu daripadanya adalah mengaplikasikan gaya simpan pen stylus secara magnetik di sisi tablet dan dalam masa yang sama terapkan cara pengecasan secara wayarles. Jikalau itu terlalu berlebihan, HONOR mungkin boleh buat satu poket khas untuk pen stylus pada selongsong tablet supaya tidak mudah tercicir.


Kesimpulan


Secara keseluruhannya, saya hanya boleh memberi skor markah 5 daripada 10 sahaja untuk tablet HONOR Pad 9 ini kerana berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri menggunakan peranti ini, kebaikan yang ditonjolkan adalah sama banyak dengan kelemahan yang dapat saya kenal pasti.

Namun begitu, saya juga ingin memuji kelebihan tablet ini kerana ia mampu untuk menyokong ciri palm rejection yang kadangkala tablet dalam harga sebegini tidak menawarkannya.



Satu lagi kelebihannya terletak pada HONOR CHOICE Pencil yang dilengkapi dengan sokongan kepekaan tekanan semasa menulis bagi mengubah ketebalan tulisan.

Kalau saya diberikan pilihan untuk memilih produk tablet lain selain daripada HONOR Pad 9 yang berharga RM1,499 ini, saya akan memlih Xiaomi Pad 6 kerana spesifikasi yang ditawarkannya adalah lebih baik pada harga yang sama walaupun tidak disertakan bersamanya pen digital dan papan kekunci.

Saya harap kepada anda yang membaca artikel ini untuk membuat pilihan yang tepat dan jika anda masih berminat untuk membeli produk tablet HONOR Pad 9 ini, sila tekan pautan di bawah.

Shopee - https://invl.io/clkyerp

Lazada - https://invol.co/clkyert