Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
honor magic6 pro

(Ulasan) Sebulan Guna HONOR Magic6 Pro – Bukan Terbaik Tapi Jangan Pandang Rendah

Diterbitkan Mac 22, 2024 · Dikemas kini Julai 1, 2024 oleh Amsyar Latif

Ringkasan Ulasan: HONOR Magic6 Pro

Wiser memberi HONOR Magic6 Pro skor 9/10. Harganya di Malaysia ialah RM4,499 semasa ulasan ini diterbitkan pada 22 Mac 2024.

Produk HONOR Magic6 Pro
Skor Wiser 9/10
Harga (semasa ulasan) RM4,499
Diulas oleh Amsyar Latif
Tarikh ulasan 22 Mac 2024

Kelebihan

  • Rekaan menarik
  • Bateri tahan lama
  • Prestasi cemerlang
  • Skrin cantik
  • Pembesar suara terbaik
  • Kamera swafoto cantik
  • Tarik line kuat

Kekurangan

  • Kamera belakang kurang konsisten
  • Kamera zum telefoto tak memberangsangkan

Beli di: Shopee · Lazada

Masa HONOR mula-mula melancarkan Magic6 Pro, saya memang terkejut dengan apa yang mereka bawakan. Yalah, kamera telefoto periskop 180MP dengan saiz sensor 1/1.49″, itu memang besar untuk sesebuah telefon pintar buat masa sekarang.

Kita dah tahu yang sejak dulu lagi, siri Magic bernombor daripada HONOR memang sentiasa mahu menawarkan terbaik kepada penggunanya. Baik dari segi kualiti binaan, perkakasan dalaman, perisian dan juga kemampuan kameranya.

Namun, setelah sebulan saya bersama HONOR Magic6 Pro ni, ada beberapa perkara yang mengecewakan saya.

Saya tahu, ramai juga pengikut Wiser MY yang menantikan kehadiran peranti ini ke pasaran Malaysia sehingga tidak henti orang menghantar komen di platform media sosial kami.

Jangan risau, teruskan bersama saya untuk mendapat gambaran sebenar tentang HONOR Magic6 Pro.

{suggest}

Rekaan

HONOR Magic6 Pro

Macam yang anda dah tengok, rupa Magic6 Pro dengan Magic5 Pro tahun lepas tak banyak beza.

Skrin masih lagi melengkung yang mana secara peribadi, saya tak minat skrin melengkung ni.

Cuma kat sini paling ketara perubahan dia adalah modul kamera dia lebih menonjol. Boleh nampak panel belakang dengan kamera dia tu berpisah.

Untuk warna epi green, dia menggunakan kemasan kulit dan saya boleh puji untuk kemasan macam ini. Sebab telefon ini dia agak rounded dan nipis. Jadi, bila belakangnya kulit, agak mencengkamlah sikit apabila kita pegang dan tak mudah tergelincir dari tangan.

HONOR Magic6 Pro

Satu lagi saya nak bagi tahu, Magic6 Pro ini agak berat  berbanding Magic5 Pro tahun lepas. Tapi jangan risau, tak adalah berat sampai lenguh tangan.

Untuk bahagian depan, ramai juga saya perasan yang komen “eh, tiru apple la”, “kenapa ada dynamic island, potong betul”.

Sebenarnya, iPhone yang tiru Android. Saya nak ingatkan kembali pada anda, skrin berbentuk pil ini dah guna bermula HONOR Magic3 Pro. Cumanya, masa itu ia berada di sebelah atas kiri skrin. 

HONOR Magic6 Pro

Bercakap tentang skrin berbentuk pil, ia bukan kosong atau sengaja nak buat bentuk macam tu. Ia hadir sensor 3D yang mana nyahkunci dengan imbasan wajahnya (face unlock) lebih selamat dan cepat. Bagi saya, ini antara face unlock paling sedap untuk telefon Android. Saya boleh cakap, ia memang setanding Face ID pada iPhone.

honor magic6 pro face unlock_1
honor magic6 pro face unlock_2

Maknanya, nak nyahkunci dalam bilik yang gelap, telefon ini disengetkan sikit dan anda pandang telefon ni atau terbalikkan telefon ini pun, boleh nyahkunci. Mungkin ada rasa macam lebih selesa nak guna imbasan cap jari tapi kalau menggunakan imbasan wajah ni, bagi saya ia lebih cepat dan memudahkan.

honor magic6 pro fingerprint

Masih tak minat imbasan wajah? Jangan risau sebab tak macam iPhone, Magic6 Pro ini masih menawarkan imbasan cap jari (fingerprint). Sefaham saya, ia sudah tidak lagi menggunakan teknologi ultrasonik sensor seperti Magic4 Pro tetapi ia masih lagi pantas. Cumanya, kedudukan cap jari tu agak bawah dan tak berapa semula jadi. Patutnya, HONOR kena tinggikan sedikit posisinya.

Pada bahagian skrin Magic6 Pro ini lagi, kalau anda nak tahu HONOR Magic6 Pro ni ada gold label di DXOMark dan rank nombor 1 untuk global ranking dan nombor 1 dalam ultra premium ranking. Tapi, betul ke power sangat skrin dia?

HONOR Magic6 Pro

Jangan salah faham yang skrin cantik semata-mata tak cukup. HONOR kata, skrin Magic6 pro kali ni lebih keras dari Samsung Galaxy s24 Ultra dan iPhone 15 Pro Max.

Sebenarnya saya puji juga skrinnya. Ia tak adalah secerah iPhone 15 Pro Max atau Samsung Galaxy s24 Ultra, tapi masih lagi boleh guna bila kita kat outdoor. Kelebihan yang saya perasan, skrin dia walaupun vivid atau guna waktu dalam bilik gelap, mata tak rasa penat. 

honor magic6 pro skrin

Cuma bab kecerahan skrin ni, anda kena ingat yang 5000 nits pada Magic6 Pro ni hanyalah puncak kecerahan bila kita tengok kandungan HDR (yang mana, bukan setiap masa kita tengok kandungan HDR). Kecerahan maksimumnya hanyalah 1600 nits.

Bukan gimik dan jangan juga keliru dengan kecerahan maksimum 2000 nits iPhone 15 Pro atau 2600 nits Samsung Galaxy S24 Ultra. Tapi apa saya boleh kata, bila tengok video atau video pada Magic6 Pro ni, memang cukup cun dari segi kecerahan dan warna walaupun sebenarnya HONOR menurun taraf resolusi skrin dia berbanding Magic5 Pro.

Prestasi

Sejujurnya saya tak main game sangat pun dekat Magic6 Pro ni sebab ia bukan dicipta untuk gamer. Tapi apa pun, masih lagi pakai Snapdragon 8 gen 3, sama macam kebanyakan peranti andalan lain. Jadi tak ada masalah nak menjalankan sebarang permainan mudah alih. Nak mudah nampak, saya kongsikan skor dari Geekbench 6 dan juga 3DMark Wild Life Extreme untuk tatapan anda.

honor magic6 pro benchmark-1
honor magic6 pro benchmark-2
honor magic6 pro benchmark-3

Di sini, saya nak tekankan lebih pengalaman bila guna MagicOS 8.0 yang berasaskan Android 14. Masa depan MagicOS masih lagi baik sebab 4 tahun kemasi kini OS dan 5 tahun sekuriti.

Saya perasan kat komen, ada juga mengeluh dan mengadu yang mengatakan MagicOS ni teruk. Saya tak pasti teruk dari segi apa sebab mereka tidak berkongsikan apa masalahnya.

Bagi saya sendiri, MagicOS 8.0 dengan sebelum ni, tak banyak sangat perbezaan dan pengalaman menggunakannya seakan-akan EMUI atau HarmonyOS daripada Huawei. Ciri yang ditawarkan taklah sebanyak macam telefon dari jenama lain. Akan tetapi, ia lebih kemas dan bloatware pun sangatlah minimum.

honor magic6 pro home screen-1
honor magic6 pro home screen-2

Tadi saya ada kata MagicOS ala-ala OS Huawei bukan? Kalau kat Huawei, ia hadir dengan ciri live window pada HarmonyOS, fungsi itu ala-ala Dynamic Island pada iPhone.

Jadi, untuk HONOR, ia ada ciri Magic Capsule. Mula-mula saya rasa tak sedap dengan Magic Capsule ni sebab animasinya masa tu terasa sekat-sekat, tapi lama-kelamaan dah okay. Saya rasa mungkin pepijat daripada perisiannya.

Apa-apa pun, saya puas hati juga dengan Magic Capsule ni. Kalau HONOR boleh bagi lebih lagi untuk ciri ni, lagi baik sebab saya rasa masih tak banyak aplikasi yang memanfaatkan Magic Capsule.

honor magic6 pro magic capsule

Selain ciri Magic Capsule, skrin kunci MagicOS terbaru ni pun dah boleh kustomasi seperti telefon Xiaomi dengan HyperOS atau siri Samsung Galaxy S24. Contoh, tukar font jam, latar hias akan malap sedikit apabila dalam mod AOD dan ada juga lagi satu ciri macam iPhone, iaitu Standy. 

honor magic6 pro lock screen-1
honor magic6 pro AOD
honor magic6 pro standby

 

honor magic6 pro standby mode
mod Standby

Selain itu, ada lagi ciri yang menarik bila saya guna HONOR Magic6 Pro ni adalah Magic Portal. Ciri ni adalah on-device AI. Kiranya, segala proses dilakukan dalam telefon tanpa perlu ke awan (cloud). Maknanya, kemungkinan besar tak adalah bayaran langganan untuk ciri AI nanti.

Contoh, nak Google Search, tarik sahaja gambar kemudian lakukan carian. Boleh juga, dari gambar ni untuk muat naik secara terus ke IG story atau sebagainya tanpa perlu copy & paste. Senang cerita, saya nampak Magic Portal ni nak cepatkan langkah apabila kita melakukan sesuatu.

honor magic6 pro magic portal-1
honor magic6 pro magic portal-2

Bila cakap AI ni kan, ada satu ciri AI macam chatGPT pada Magic6 Pro ni. Boleh tanya apa-apa dan dia jawab walaupun tak ada internet sebab macam saya cakap tadi, AI dia proses dalam telefon ni saja. Namun, sayang sekali ciri ni tak ada pun di Malaysia dan benda ini pun masih dalam fasa ujian. Harap sekiranya dah rasmi nanti, memang terbaik.

honor magic6 pro ai-1
honor magic6 pro ai-2

Ciri lain yang tak masuk Malaysia dan global, mungkin ada yang dah tengok, iaitu fungsi Eye Tracking. Kalau anda terlepas, boleh tonton di TikTok Wiser.My. Ya, ada jenama lain dah ada ciri seakan macam ini. Contoh, Samsung Smart Scroll. Disebabkan Magic6 Pro ni ada 3D ToF, memang tepat juga penjejakan matanya. Masa saya cuba di Barcelona tempoh hari, semasa nak kalibrasi atau jawab panggilan tu, memang ibarat menjeling-menjeling ku bertentang, mata kita sama memandang. Sangat lancar.

honor magic6 pro eye tracking

Mungkin anda rasa ciri-ciri lain tu tak cukup menarik perhatian tapi yang ni mesti anda suka, iaitu Magic6 Pro ni ada bateri 5600mAh dengan 80W cas berwayar dan 66W wayarles. Kapasiti bateri sebegitu, tolak tepi telefon gaming, ia adalah antara terbesar dalam kelas premium andalan macam Galaxy S24 Ultra ke, vivo X100 Pro atau Xiaomi 14 Ultra.

honor magic6 pro battery-1
honor magic6 pro battery-2

Bayangkan, saiz dia masih lagi macam Magic5 Pro tahun lepas, tapi kapasiti bateri naik. Kenapa? Sebab HONOR guna bateri karbon silikon generasi kedua. Bukan hanya kapasiti meningkat, tapi memang tahan lama telefon ni.

Maknanya apa? iPhone boleh saja nak berikan kapasiti bateri besar tanpa korbankan saiz atau komponen lain kan? Masa saya uji, dari Subuh sampailah pukul 6 petang, ambil gambar ,video, bateri ada sekitar ~57%.

Saya boleh kata, kalau guna biasa-biasa atau geli-geli saja, boleh tahan 2-3 hari juga tanpa cas. Bercakap tentang cas, anda wajib pakai pengecas HONOR. Walaupun dalam kotak bagi 100W, dia hanya sokong 80W saja. Kalau guna pengecas lain, ia dihadkan 60W (diuji guna pengecas vivo 120W). Jadi, kalau nak cas penuh dari 20%, dalam 40-45 minit macam tu.

Ya, agak perlahan kalau nak banding peranti lain tapi saya perasan, bila cas, fon ni tak rasa panas atau terlalu suam pun. Telefon lain laju-laju cas tu, memang terasa haba dia. Tak hairan telefon ni mempunyai gold label, nombor 1 DXOMark.

honor magic6 pro speaker

Setakat sekarang dah 2 gold label carta teratas DXOMark pada Magic6 Pro kan? Gold label seterusnya adalah pembesar suara. Jujur saya cakap, dah lama saya tak dengar pembesar suara sesedap ni di telefon pintar.

Biasanya telefon dengan pembesar suara sedap ni hanya pada telefon gaming je seperti ASUS ROG Phone. Tapi Magic6 Pro ni memang layan. Saya boleh kata jauh lebih baik dari iPhone 15 pro, Xiaomi 14 Ultra, vivo x100 Pro dan Galaxy S24 Ultra. Pembesar suara stereonya memang seimbang, audio keluar di atas dan di bawah dan bukannya audio daripada earpiece. Dia punya bass, treble dan mid pembesar suara ni secukup rasa.

Kamera

HONOR Magic6 Pro

Kita masuk pada bahagian agak penting dan pelengkap Magic6 Pro ni, semestinya kamera. Sebelum saya pergi ke kamera belakang, saya nak bagi tahu, kamera swafoto Magic6 Pro ni pun dapat gold label nombor 1 DXOMark. Tapi, boleh percaya ke?

Dari segi exposure, dynamic range dia memang baik, tona kulit pun tak pelik, memang itulah kulit saya. Saya boleh kata yang dia memang saing-saing kamera swafoto pada iPhone 15 Pro.

honor magic6 pro selfie
honor magic6 pro selfie
honor magic6 pro selfie

Nanti dulu, ada gold label terakhir, iaitu kamera belakangnya yang mana buat masa sekarang ia nombor satu carta DXOMark. Namun, ada beberapa yang kurang.

honor magic6 pro main
honor magic6 pro main
honor magic6 pro main
honor magic6 pro main
honor magic6 pro main
honor magic6 pro main

Untuk kamera belakang, Honor masih lagi mampu bersaing dalam segmen fotografi. Kamera lebarnya, 27mm tu masih lagi cantik. Perinciannya, warnanya, HDR masih cun, masih jelas, tak terlalu kontras atau oversharpen. Bila ambil gambar menghadap matahari pun, tak ada pantulan cahaya yang buat nampak dot hijau. Setakat ini, mod kamera ni saya berpuas hati lagi.

honor magic6 pro focal length

Masuk pada potret, boleh pilih 1x, 2x, 2.5x dan 5x. Saya uji, potretnya kadangkala kurang kemas. Dari segi potongan kat bahagian rambut, badan dan bokeh pun adakala nampak fake. 

honor magic6 pro potret
Potongan subjek kurang kemas
honor magic6 pro potret
honor magic6 pro potret

Saya ada kongsi gambar di platform X dan Instagram Wiser.My, rata-rata puas hati je dengan hasil gambar dia. Mungkin sebab saya kongsi gambar yang elok. Tapi memang betul, ada masa potret pada Magic6 pro ni cantik. Maksudnya, tiba2 potongan dia kemas, warna pun lawa.

Buat pengetahuan, saya biasa akan guna filter natural dan juga authentic. Dan saya cukup suka filter authentic sebab dia nampak moody, color pun lagi naik, ada vignette. Kalau anda perasan, dia ala-ala filter yang ada pada telefon dengan Leica. Dan kadangkala juga saya rasa warna pada telefon ni ada masanya macam Xmage dari Huawei.

honor magic6 pro filter

Beralih pada kamera telefoto, sebab ni la tumpuan utamanya. 180MP, bagus sangat ke? Kalau anda nak tahu, zum optikal kali ini 2.5x banding tahun lepas 3.5x. Bagi saya, sebenarnya gambar telefoto dia untuk 2.5x ni okay dari segi perincian subjek dan kontras tu. Apabila saya zum sampai 5x, pun masih lagi baik. Bila 10x, dia dah mula kurang kualiti tetapi masih lagi okay mengikut situasi. Atas dari 10x, lupakan sebab gambar tak boleh pakai.

honor magic6 pro telefoto
honor magic6 pro telefoto
honor magic6 pro telefoto
honor magic6 pro telefoto
honor magic6 pro telefoto
honor magic6 pro telefoto
honor magic6 pro telefoto
honor magic6 pro telefoto
honor magic6 pro telefoto

Masalah gambar bila zum bila dah peralihan lensa, ada masa warna dia lari. Ada masa terlalu oversharpen, ada masa gambar macam gelap sikit walaupun waktu tu tidaklah segelap macam tu. 

honor magic6 pro motion sensing
honor magic6 pro motion sensing

Untuk gambar ultra lebar, gambar masih lagi sharp cuma warna ada masa tak berapa nak tepat dan agak distort juga.

honor magic6 pro ultrawide
honor magic6 pro ultrawide
honor magic6 pro ultrawide
honor magic6 pro ultrawide

Untuk gambar malam, white balance stabil, kawasan berlampu pun, tak nampak flare yang teruk, hingar pun kurang, warna untuk persekitaran kurang cahaya pun cantik dan tak over dan ada juga mod light painting atau kita panggil light trail. Light trail dia okay je, bukanlah terbaik. Tapi kalau HONOR bagi mod long exposure macam vivo x100 Pro lagi baik kerana mod sebegini di telefon vivo sudah disediakan templat mengikut situasi.

honor magic6 pro malam
honor magic6 pro malam
honor magic6 pro malam
honor magic6 pro malam

Macam mana video? Saya boleh kata yang ini antara yang terbaik ada pada telefon Android. Dia punya stabiliti, kualiti mikrofon masa kita bercakap, memang baik. Lancar saja. Video dari kamera depan pun saya berpuas hati. Tapi tu waktu siang la, kalau malam, saya rasa ada masa video dia tak berapa cantik. Satu lagi yang menarik pada video Magic6 Pro, ada format log dengan sokongan 4K 24, 30 dan 60 FPS. Bagi saya, benda ni dah patut ada pada semua telefon andalan premium.

*Berikut hanyalah tangkap layar dari rakaman video kamera utama (siang dan malam) dan swafoto. Resolusi 4K 30 FPS.

honor magic6 pro video malam
honor magic6 pro video selfie
honor magic6 pro video siang

Secara keseluruhan, saya boleh cakap kamera Magic6 Pro ni cantik cuma tak konsisten dari segi detail, warna dia dan bokeh dia. Ada masa wow, ada masa meh.

Tidak kisahlah HONOR Magic6 Pro ni ‘tapau’ carta DXOMark, nombor satu sekalipun tetapi pengoptimuman masih lagi teruk, HONOR kena bagi kemas kini secepat mungkin. Serious, sebab, kamera Magic6 Pro ni ada potensi tapi kalau nak lawan vivo X100 Pro yang bagi saya kamera telefon pintar terbaik tahun ini, jauh lagi. 

*nantikan artikel lain yang saya khususkan untuk hasil gambar lebih banyak

Kesimpulan

HONOR Magic6 Pro

Jadi, saya ada baca banyak juga yang mengadu mengatakan telefon HONOR Magic ni bateri cepat habis, panas, UI tak stabil dan sebagainya. Bila saya semak, rupanya dia menggunakan Magic4 Pro. Telefon pada era ni, baka-baka Snapdragon waktu itu tak sedap. Snapdragon 8+ Gen 1 ke atas baru stabil. Macam siri HONOR Magic5, saya rasa ia antara model yang matang.

Jadi, Magic5 Pro atau Magic6 Pro? Ikut bajet dan tanya diri anda, apa yang anda mahukan. Kalau nak kamera baik & tak kisah ciri-ciri baharu, Magic5 Pro dah okay. Tapi kalau anda nakkan ciri AI, nakkan kamera yang lagi detail dan cantik (walaupun kamera masih belum sempurna), skrin terang, bateri besar, Magic6 pro untuk anda. Yang penting, telefon HONOR ni tarik line kuat.

Seperti yang diketahui, HONOR Magic6 Pro dijual pada tanda harga RM4,499. Ya, ada kenaikan berbanding tahun lalu. Akan tetapi, bagi saya, ia saing-saing harga vivo X100 Pro dan ia juga antara telefon berkelas andalan mampu milik kerana tidak melebihi RM5000.

Beli HONOR Magic6 Pro di:

Shopee – https://invl.io/clkvq48

Lazada – https://invol.co/clkvnoq

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY