Perkembangan teknologi mudah alih Xiaomi tahun 2024 kini telah dimulakan dengan pelancaran telefon pintar siri Xiaomi 14 yang terdiri daripada Xiaomi 14 versi standard, versi Pro dan versi Ultra.
Saya yang merupakan pengguna Xiaomi 12 Pro rasa terpegun apabila beralih kepada Xiaomi 14 versi standard ini kerana pengalamannya sangatlah berbeza dari sudut prestasi, kamera dan beberapa ciri menarik yang hadir dengannya.
Pencerahan selanjutnya akan diulas selepas penyataan spesifikasi di bawah.
Spesifikasi
[specs]
Cip: Snapdragon 8 Gen 3
Memori: 12GB RAM LPDDR5X
Storan: 512GB UFS 4.0
Sistem Operasi: HyperOS
Skrin: LTPO AMOLED, 6.36 inci, 2670 x 1200, 1-120Hz, AdaptiveSync Pro
Kamera: LEICA VARIO – 50MP utama, 50MP telefoto, 50MP ultra lebar
Kamera Swafoto: 32MP lebar
Video: Dolby Vision HDR 8K, 60 FPS
Pembesar Suara: Stereo Dolby Atmos
Bateri: 4,610mAh, 90W berwayar, 50W wayarles, 10W wayarles berbalik
Ciri Tambahan: IR Blaster, Mi Remote, Xiaomi IceLoop
Lain-lain: Slot dwi-SIM, Wi-Fi 7, rangkaian 5G, Bluetooth 5.4, penarafan IP68, USB-C 3.2 Gen-1
[/specs]
{suggest}
Rekaan
Secara jujurnya, reka bentuk Xiaomi 14 ini tiada perbezaan yang terlalu ketara apabila dibandingkan dengan Xiaomi 13 yang dilancarkan tahun lepas. Ini termasuk sekali dengan modul kameranya yang tertimbul segi empat di bahagian belakang.
Cuma saiznya lebih kecil dan kompak. Kalau boleh diberi gambaran, anda seperti memegang iPhone 7.
Skrinnya pula adalah jenis yang rata serta bingkainya diperbuat daripada aluminium.
Apa yang kurang saya minat pada Xiaomi 14 ini adalah rekaan belakang telefon pintarnya yang dikekalkan berkilat serta licin apabila dipegang. Mungkin itu adalah sebab utama produk ini dikecilkan supaya ia muat di telapak tangan pengguna.
Prestasi
Berdasarkan pengalaman saya menggunakan Xiaomi 14 ini, masalah seperti sekatan animasi atau herotan tunda (delay distortion) sewaktu mengakses pelbagai aplikasi dalam keadaan yang laju langsung tidak kelihatan.
Apatah lagi jika memainkan permainan mudah alih yang memerlukan penguasaan grafik tinggi untuk dimainkan tanpa masalah animasi seperti Genshin Impact, Honkai: Star Rail dan semestinya Mobile Legends.
Hal ini terbukti dalam keputusan penanda aras daripada aplikasi Geekbench 6 dan 3DMark.
Dari segi suhu pula, setiap telefon pintar pasti akan alami kepanasan yang melampau jika digunakan secara berlebihan daripada kemampuannya.
Namun, Xiaomi 14 ini mampu untuk memainkan Genshin Impact pada tetapan grafik ‘Medium’ dengan 45 FPS selama 30 minit dan hanya memakan bateri sebanyak 6 peratus sahaja. Suhunya boleh saya katakan tidak terlalu panas sehingga memerlukan sokongan kipas berdiri di sebelah sewaktu bermain.
Hal ini kerana ia dilengkapi dengan sistem penyejukan terbaru, Xiaomi IceLoop yang hanya tersedia untuk siri Xiaomi 14.
Tambahan pula, sistem operasi untuk semua telefon pintar Xiaomi sekarang telah ditetapkan kepada HyperOS membuatkan rupa pusat kawalannya sangat menyenangkan mata dan kemas walaupun ada menyerupai pusat kawalan daripada iOS.
Mungkin ada di antara yang beranggapan butang akses tanpa kapsyen susah untuk dipraktikkan kerana pengguna perlu berpandukan ikon simbol sahaja. Akan tetapi, anda boleh selesaikan masalah itu dengan tekan lama pada setiap pilihan butang dan paparan tetapan akan keluar secara terus.
Lain-lain ciri yang ada pada HyperOS ini adalah seperti pilihan pengubahsuaian templat skrin kunci yang pelbagai, Gallery AI, penambahan gerak isyarat pantas dan sebagainya.
Untuk maklumat lanjut tentang kemas kini HyperOS, anda boleh baca artikel INI. Dalam artikel ini, kami sediakan beberapa ciri-ciri dalam HyperOS sepanjang penggunaannya selama satu bulan.
Ciri Menarik
Dalam pada itu, Xiaomi 14 ini juga tampil dengan ciri ‘IR Blaster‘ iaitu isyarat inframerah yang digunakan untuk mengawal pelbagai peralatan elektronik seperti TV, penyaman udara, pemain DVD, kamera dan lain-lain.
Semestinya kaedah pengawalan ini memerlukan sokongan daripada aplikasi Mi Remote yang dicipta khas untuk telefon pintar keluaran Xiaomi dengan IR Blaster bagi keberkesanan akses kepada pelbagai jenama peralatan elektronik seperti Samsung, LG dan lain-lain.
Selain daripada itu, Xiaomi 14 ini juga sama seperti siri Xiaomi 13T yang mempunyai penarafan kalis air dan debu IP68. Jikalau terkena atau termasuk dalam takungan air yang tidak berkedalaman lebih dari 1.5 meter selama 30 minit, Xiaomi 14 dijamin mampu untuk berfungsi seperti biasa.
Kamera
Sekarang, kita akan masuk ke bahagian kameranya yang disokong oleh teknologi kamera LEICA VARIO dan bagi saya, hasil gambarnya sangat memuaskan kerana ia mempunyai ciri khas untuk Xiaomi 14 sahaja iaitu LEICA Vibrant dan LEICA Authentic yang diterapkan dalam kamera utamanya.
Dalam mod LEICA Vibrant ini, ia mampu untuk menguatkan identiti warna dalam hasil-hasil gambar yang mana penepuan warnanya lebih pekat dan kualiti kontras yang lebih rendah.
Mod ini sangat sesuai bagi anda yang ingin mengambil gambar di kawasan dengan kehadiran warna yang pelbagai seperti di bawah.
Kalau diberi pilihan, saya lebih meminati mod LEICA Authentic kerana ia menawarkan kualiti tangkapan gambar sebenar daripada kamera LEICA itu sendiri.
Berdasarkan gambar di atas, kita boleh tengok yang gambarnya lengkap dengan ketajaman imej yang tinggi, kualiti kelihatan terang serta mempunyai kontras yang tinggi.
Sama juga untuk kualiti gambar dalam situasi kurang cahaya (low light).
Selain daripada itu, kamera Xiaomi 14 ini juga boleh menangkap gambar dengan 32 kali zum optikal tanpa mengurangkan kualiti gambar.
Namun, berbeza pula untuk tetapan 60 kali zum digital yang mampu menangkap gambar bulan tapi hasilnya kurang jelas.
Tidak terkecuali juga untuk hasil gambar daripada mod potret, mod malam dan mod bokeh. Cukup memenuhi tahap kepuasan saya dan saya rasa pengguna lain juga.
Untuk bab video pula, Xiaomi 14 ini mampu untuk merakam video sehingga resolusi 4K dan 60 FPS.
Namun, mungkin ada orang di luar sana yang mengalami masalah dengan isu tetapan latar belakang blown out yang mengaburkan latar belakang dalam sesuatu video atau gambar itu apabila fokus kamera tertumpu pada sesuatu objek.
Kini, Xiaomi 14 boleh selesaikan masalah itu dengan mengubah tetapan kamera ‘Metering Preference‘ daripada Face kepada Average.
Walau bagaimanapun, setiap gambar dan video yang diminati itu bergantung kepada cita rasa pengguna sesuatu peranti itu sendiri.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, prestasi Xiaomi 14 ini daripada reka bentuk andalan yang kompak hingga kamera mudah alih yang bertaraf tingi, ia berkedudukan setaraf dengan jenama-jenama pesaing yang lain.
Hal ini boleh dibuktikan dengan komponen-komponen yang dilengkapi olehnya yang terdiri daripada cip pemprosesan yang berkuasa, skrin yang cantik, saiz yang unik, kamera yang kompetetif, ketahanan bateri yang cemerlang serta pengecas yang laju.
Walaupun peranti ini masih belum cukup baik tetapi anda mahukan peranti kelas andalan dengan bajet mampu milik serta saiz yang agak kecil, Xiaomi 14 boleh dipertimbangkan.
Untuk penerangan yang lebih lanjut, boleh tonton video di bawah.
Harga untuk Xiaomi 14 ini tampil dengan 2 varian:
- 12GB + 256GB = RM3,499
- 12GB + 512GB = RM3,799
Anda boleh membelinya di:
Shopee – https://invl.io/clktv62
Lazada – https://invol.co/clktv65