Seperti yang diketahui, dua syarikat teknologi terbesar, Google dan Samsung yang berasaskan Android dalam menjalankan peranti mudah alih mereka telah membuat kenyataan bahawa kemas kini utama (major update) akan ditawarkan selama tujuh tahun.
Persoalannya adalah adakah ia cukup ataupun ‘terlebih’ cukup untuk menyokong sesuatu peranti itu?

Pada pendapat kami, kenyataan ini adalah “mengarut” dan tidak realistik kerana tempoh itu terlalu lama bagi mengekalkan prestasi sesebuah telefon pintar itu dari sudut sistem operasi.
Hal ini kerana tempoh purata maksimum yang ideal bagi sesuatu kemas kini sistem operasi itu adalah antara empat ke lima tahun sahaja.
Namun begitu, usaha meyakinkan pengguna dalam mempercayai tawaran 7 tahun ini boleh dikategorikan kepada beberapa golongan yang mana terdiri daripada mereka yang tidak akan peduli jika syarikat telefon pintar Android menawarkan perkara sedemikian, iaitu reviewer ataupun FOMO, individu yang selalu menginginkan benda dan perkara baharu.
Golongan kedua pula adalah mereka yang sayang akan harta benda mereka. Individu-individu ini sudah pasti akan menganggap penerapan kemas kini utama selama 7 tahun pada peranti mudah alih ini adalah bagus kerana ia mampu menjaga peranti mereka daripada mengalami kerosakan perisian dalaman.
Walau bagaimanapun, sebenarnya kemas kini yang lama ada kelebihan dan juga kekurangannya.
Kelebihan dan kekurangan
Antara kelebihan untuk kemas kini Android 7 tahun ini adalah ia dapat memenuhi hati dan keperluan seseorang individu itu dari sudut bajet dan ketahanan barang yang dibeli oleh mereka. Dalam masa yang sama, meringankan beban fikiran mereka yang kurang dari segi pendapatan.
Secara tidak langsung juga, peranti mereka akan sentiasa dalam keadaan selamat kerana tampalan keselamatan masih diberikan.
Sisa elektronik atau e-waste juga mungkin dapat dikurangkan kerana tidak ramai yang akan kerap membeli telefon pintar.
Kekurangannya pula, adakah telefon Android itu mampu bertahan sehingga 7 tahun tanpa ada sebarang masalah?
Adakah perkakas atau spesifikasi sedia ada mampu bertahan sehingga 7 tahun? Perkara ini juga perlu ditanya kembali kepada anda sebagai pengguna, apa yang anda mahukan dalam kemas kini terbaru.
Adakah anda mahukan ciri baharu? Atau mungkin hanya mahukan tampalan keselamatan sahaja.
Sekiranya melihat situasi Apple, barisan komputer Mac dan MacBook mampu menerima kemas kini sehingga 7 tahun. Namun, rata-rata pengguna Mac sendiri akan kemas kini sehingga 3 atau mungkin 5 tahun sahaja, khususnya ‘major update’.
Ini kerana, perisian macOS makin lama akan “berat” untuk dikendalikan komputer lama. Melainkan, komputer yang digunakan itu sudah lengkap dengan spesifikasi berkuasa atau orang kata maxed out specs.
Untuk situasi iPhone pula, lebih kurang sama juga. Kadangkala, pengguna iPhone lama jarang sekali mengemas kini ke iOS terbaru. Bukan tiada, tapi jarang.
Malah untuk iPhone, kemas kini terbaru biasanya lebih banyak memberikan manfaat untuk peranti terbaru sahaja biasanya. Peranti lama kadangkala dapat ciri yang sedikit sahaja dengan alasan model lama tidak mampu mengendalikan ciri baharu.
Perkara ini mungkin akan terjadi untuk peranti Android juga. Bahkan, dalam kenyataan terbaru Google berkaitan ciri AI baharu (Gemini Nano) pun tidak akan disokong untuk Pixel 8 atas sebab memori RAM yang tak cukup besar. Namun, selepas itu Google membuat pusingan-u yang mengatakan ia disokong pula.
Nilai telefon Android Akan Meningkat
Selepas Samsung dan Google memperkenalkan usaha kemas kini 7 tahun kepada peranti telefon pintar mereka, rakyat Malaysia pasti akan berfikir sejenak apabila hendak memilih telefon pintar jika diberikan pilihan untuk memilih antara dua jenama ini. Terutama sekali apabila ia berpandukan pada sudut penjagaan dan ketahanan peranti.
Sebilangan besarnya pasti akan memilih Samsung berbanding Pixel kerana peranti Pixel tidak rasmi untuk pasaran tempatan membuatkan alat gantinya susah sedikit untuk didapati. Tidak lupa juga Samsung mempunyai jaminan dan kualiti yang lebih baik walaupun harganya melebihi bajet kebanyakan pengguna.
Terbukti di atas, perkara sedemikian sangat dititik beratkan oleh rakyat Malaysia.
Jadi, di sini, pasaran telefon Android terpakai selepas ini mungkin akan mempunyai nilai yang tinggi sedikit berbanding tahun sebelumnya.
Untuk pemahaman, mengapa iPhone terpakai mempunyai nilai yang sangat tinggi? Misalnya, iPhone 11 Pro Max yang dah berusia hampir 5 tahun (setakat artikel ini ditulis) boleh dijual dengan harga lebih daripada RM1000. Malah, boleh cecah RM2000, mengikut pasaran semasa.
Peranti Android yang dah berusia 5 tahun, sukar untuk berbuat demikian atas faktor lambakan peranti Android dilancarkan setiap tahu.
Namun begitu, dengan kemas kini lebih lama ini, sedikit sebanyak pengguna Samsung bolehlah meletakkan harga tinggi sedikit apabila mahu menjual peranti mereka.
Persoalannya sekarang adalah, mampukah sesebuah peranti itu menyokong kemas kini 7 tahun ini?
Seiring dengan perkembangan sistem perisian mudah alih yang kini menerapkan pelbagai teknologi kecerdasan buatan, kebanyakan model yang terdahulu bakal mengalami kesulitan dalam menjalankan kemas kini ini.
Kita boleh ambil contoh daripada cip pemprosesan Snapdragon 888 yang rasmi pada bulan Disember 2020 dan dianggap cip cukup berkuasa pada ketika itu.
Akan tetapi sekarang, kita boleh anggap cip tersebut kurang sesuai untuk digunakan pada tahun 2024 ini.
Lebih-lebih lagi, bermula tahun ini dan seterusnya, semua telefon pintar ingin menerapkan teknologi kecerdasan buatan atau AI.
Cip pemproses serta perkakas lain dalam peranti amatlah penting untuk memastikan ia boleh bertahan sehingga 7 tahun.
Kemas Kini iOS lebih bagus?
Berbeza pula dengan Apple yang menjalankan sistem perisian iOS, mereka mampu untuk mengekalkan sokongan kemas kini dalam jangka masa yang lama disebabkan oleh polisi mereka yang menetapkan pembaharuan perisian dalaman serasi dengan gandingan perkakasan sokongan daripada teknologi yang sesuai.
Perkara ini mungkin tidak akan menjadi masalah kepada Google untuk peranti Pixel mereka kerana telefon ini berbekalkan cip pemprosesan daripada Google sendiri iaitu Google Tensor. Maknanya, Google ada persamaan dengan Apple — bina perisian dan perkakasan sendiri.
Manakala, hal ini dianggap susah sedikit untuk produk Samsung melainkan Samsung Electronics mempertingkatkan semula cip Exynos mereka.
Hal ini kerana pengubahsuaian dalaman berasaskan teknologi sesebuah syarikat itu sendiri memainkan peranan yang sangat besar dalam merealisasikan kemas kini selama 7 tahun ini.
Bagaimanapun, Samsung boleh saja nak menggunakan cip Snapdragon dengan syarat mereka kena bekerjasama betul-betul dengan pihak Qualcomm untuk memastikan mereka dapat “mengawal” perkakasan dan juga perisian.
Jika semua ini lengkap, tak ada yang mustahil untuk kemas kini 7 tahun ini berjalan dengan lancar.
Jaminan Dari Jenama Perlu Main Peranan
Kalau ingin menjawab persoalan ini, jenama sesebuah telefon pintar itu perlu memainkan peranan yang besar terutama sekali dalam bab penghasilan produk dan pemerhatian terhadap prestasi yang ditawarkan.
Jikalau sesuatu jenama produk itu sering memperkenalkan produk yang terbaru, tiga atau empat kali dalam jangka masa satu tahun, kegunaan kemas kini 7 tahun Android ini akan menjadi susah untuk dilaksanakan atas sebab spesifikasi telefon yang sentiasa berubah.
Sama juga dari sudut kualiti perisian, sesebuah jenama teknologi itu perlu mengekalkan kualiti perisian dalaman mereka terlebih dahulu sebelum fokus kepada penetapan jangka hayat kemas kini yang lebih lama.
Dari sudut perisian, selepas kemas kini utama (major) pasti akan diiringi dengan tampalan sekuriti (security patch) untuk menjamin keselamatan sesuatu peranti itu daripada serangan siber.
Dari sudut lain, perkakasan seperti bateri juga memainkan tugas yang penting dalam menyokong perisian dalaman terutama sekali apabila melibatkan kemas kini 7 tahun Android. Sudah pasti, syarikat teknologi itu perlu membekalkan perkakasan yang sesuai untuk kegunaan peranti yang terlibat.
Apa yang cuba disampaikan di sini adalah, tidak boleh mengejar kemas kini perisian sahaja semata-mata. Penyelenggaraan peranti juga perlu dititikberatkan.
Baik dari segi bateri, skrin, pembesar suara dan sebagainya. Kalau kita lihat situasi sekarang, adakah telefon berusia lima tahun mudah untuk mendapat alat ganti? Memang alat ganti ada tetapi sukar sedikit.
Perkara ini tidak menjadi masalah kepada pengguna Apple kerana selagi mana Apple tidak mengumumkan produk itu usang atau vintaj, selagi itu alat ganti tulennya boleh didapati.
Oleh yang demikian, Samsung dan Google perlu melakukan perkara yang sama.
Kesimpulan
Adakah kemas kini ini perlu dibayar? Semestinya TIDAK kerana kemas kini 7 tahun ini hanya melibatkan peningkatan untuk perisian dalam peranti.
{suggest}
Secara keseluruhannya, pada pendapat kami kemas kini selama 7 tahun sebenarnya ada baik dan buruknya.
Ia amatlah berguna kepada pengguna yang kerap menggunakan telefon pintar untuk tempoh yang lama. Namun, perkara yang menjadi persoalan adalah, benda ini masih lagi baharu dan kita belum tahu lagi adakah ia terbukti dapat direalisasikan.
Walau apa pun, benda yang baik masih lagi boleh dipuji tetapi jangan terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
Untuk anda yang mempunyai masa lapang dan masih mencari jawapan atau pencerahan yang lebih lagi tentang topik ini, boleh dengan audio siar kami di bawah.