(Ulasan) Honor 8X - Peranti Cantik, Berskrin Besar Dan Mampu Milik

Selain Xiaomi, Honor juga terkenal sebagai salah satu syarikat yang menawarkan peranti berspesifikasi menarik pada harga mampu milik. Namun, berbeza dengan Xiaomi, Honor lebih mementingkan kualiti kamera berkelas tinggi berbanding spesifikasi lain.

Baru-baru ini, mereka telah melancarkan sebuah lagi model di bawah siri Xtraordinary atau X iaitu Honor 8X. Tidak mahu membuang masa, mari saya bawa anda untuk menyelami peranti yang berasal dari China ini.

REKAAN LUARAN


Sejak Huawei P20 Pro dilancarkan, dapat diperhatikan fesyen binaan pada peranti Huawei dan Honor juga telah berubah. Malah, kita juga dapat lihat peranti kelas pertengahan mula menerima reka bentuk yang setaraf dengan model kelas atasan.



Perkara itu turut berlaku pada Honor 8X kali ini. Bermula dengan panel belakangnya, Honor 8X ini kelihatan hampir sama dengan Honor 10, namun ia mempunyai dua tekstur yang belum pernah dilihat di mana-mana peranti Huawei atau Honor sebelum ini.

Bagi kamera pula, dua lensa dipasang secara menegak dan berasingan di bucu kiri peranti. Melihat kepada lensa kameranya mengingatkan saya kepada model Honor View 10, cuma ia dipasang secara melintang.



Selain itu, Honor 8X ini mempunyai rekaan yang hampir sama dengan peranti-peranti Honor yang lain. Pengimbas cap jari di panel belakang, butang kawalan bunyi dan kuasa dibahagian kanan serta ruangan slot kad sim dan mikroSD di sebelah kiri. Pembesar suara mono, bicu audio dan bicu mikroUSB pula berada di sisi bawah peranti.



Ia dibantu oleh saiz takuk yang bersesuaian dibahagian atas panel skrin LTPS LCD 6.5-inci yang ada pada telefon ini. Tambahan pula, sensor imbasan cap jari yang dibawa kebahagian belakang juga membolehkan bahagian dagu peranti dibina dengan agak nipis.

ANTARAMUKA


Sejujurnya saya agak kecewa dengan antaramuka yang ada pada peranti ini. Ia menggunakan sistem EMUI 8.2 yang berasaskan Android 8.1 Oreo. Namun, apa yang mengecewakan ialah lambakan aplikasi pra-pasang dan bloatware-nya.



Bagi saya, adalah lebih baik untuk pihak Huawei menggunakan sistem yang lebih ringan dan hampir kepada Android tulen. Ini sekaligus membenarkan pengguna untuk memilih sendiri aplikasi yang mahu digunakan selain menjimatkan ruangan simpanan dalaman peranti.

Bagaimanapun, untuk berlaku adil, antaramuka pada Honor 8X ini juga mempunyai beberapa ciri menarik. Antaranya ialah app drawer. Walaupun saya lebih suka menggunakan paparan standard, sokongan app drawer ini membolehkan pengguna mempunyai pilihan untuk mengubahsuai paparan mengikut keselesaan mereka.



Tambahan lagi, ia juga membenarkan pengguna mengubahsuai beberapa perkara lain. Antaranya ialah menetapkan jumlah baris dan lajur aplikasi yang ada pada Home screen, menyorokkan takuk serta menukar tema. Ride Mode? Bagi saya tidak perlu, namun mungkin pengguna lain mempunyai pandangan berbeza.

Selain itu, ia turut hadir dengan beberapa kawalan gerakan yang biasa ada pada peranti EMUI sebelum ini.

Bagi menyimpulkan antaramuka untuk Honor 8X ini, boleh saya katakan ia agak baik dan lancar namun ada beberapa perkara yang boleh dinaik taraf oleh pihak Huawei dan Honor.

KEUPAYAAN DALAMAN


Seperti yang saya katakan di awal tadi, Honor lebih mementingkan kualiti kamera berbanding kualiti perkakasan dalaman. Namun, itu tidak bermakna Honor 8X ini tidak mempunyai spesifikasi yang baik.

Disokong oleh cip kelas pertengahan terkini dari HiSilicon, Kirin 710, telefon ini dapat melakukan tugasan biasa dengan standard yang diharapkan pada sebuah peranti tahun 2018.



Bermain permainan video popular seperti PUBG Mobile dan Asphalt 9: Legends juga adalah memuaskan. Ia ditambah lagi dengan paparan yang luas, memang syok habis.

Mengenai pengurusan memori pula, selama lebih kurang seminggu menggunakan peranti ini, saya telah mengalami situasi peranti beku atau hang. Namun ia hanya berlaku sekali sahaja, mungkin kerana terlalu panas atau terlalu banyak aplikasi di balik tabir.

Bagi sistem keselamatan, Honor 8X ini boleh dinyakkunci dengan agak baik melalui pengesanan wajah dan imbasan cap jari. Namun jika perlu memilih, saya lebih cadangkan anda untuk menggunakan imbasan cap jari berbanding pengesanan wajah.

PRESTASI KAMERA


Dengan kamera utama dwi-lensa 20MP f/1.8+2MP serta lensa tunggal 16MP f/2.0 bagi kamera swafoto, ia nampak seolah-olah spesifikasi kamera yang ada pada peranti kelas atasan, atas kertas.

Jadi, bagi menguji kebolehan sebenar kamera yang ada pada Honor 8X ini, saya telah mengambil beberapa keping gambar dengan pelbagai senario persekitaran dan menggunakan fungsi yang berbeza.


Kualiti gambar di kawasan luar pada waktu siang adalah baik



Fungsi AI pada kameranya juga membantu dalam menonjolkan lagi tona warna objek



Ketepatan bokeh pada peranti ini masih boleh diperbaiki



Mengambil gambar zoom juga nampak mengurang kualiti imej objek secara minimal



Swafoto dapat dihasilkan dengan agak baik



Imej pada waktu malam juga tidak mengecewakan


Bagi rakaman video pula, peranti ini boleh merakam dengan kualiti 1080p pada 30fps/60fps. Rakaman secara slow-mo pula boleh dilakukan sehingga 480fps, namun kualitinya agak sederhana.

KETAHANAN BATERI


Honor 8X dikuasakan oleh bateri berkapasiti 3,750mAh, melebihi kapasiti purata bateri peranti tahun ini, 3,500mAh. Walaubagaimanapun, ia masih dikatakan agak kecil memandangkan saiz paparannya ialah sebesar 6.5-inci.

Dengan penggunaan normal, peranti ini mampu bertahan selama lebih satu hari tanpa masalah. Manakala bagi penggunaan kerap pula, saya dapati Honor 8X ini mampu bertahan dengan agak lama iaitu lebih dari 16 jam.



Untuk pengecasan pula, pihak Honor mendakwa peranti ini memerlukan masa sehingga 2 jam 30 minit untuk dicas semula. Namun, selepas mencuba sendiri, saya dapati ia mengambil masa sekitar 2 jam 17 minit untuk dicas penuh dari 0% bateri.

Sedikit mengecewakan apabila Honor masih lagi menggunakan pengecasan mikroUSB berbanding USB-C yang semakin popular hari ini. Honor 8X juga tidak mempunyai sebarang pengecasan pantas.

KESELURUHAN


Kapsyen: Bagi anda yang mahukan peranti di bawah harga RM 1,000 dengan rekaan premium dan pengurusan kuasa bateri yang baik, Honor 8X ini adalah peranti yang sesuai bagi anda. Reka bentuknya yang moden ini juga menyebabkan ramai rakan media dan saya sendiri tertipu dengan harganya.


Kebanyakan daripada kami menjangkakan harga peranti ini adalah sekitar RM 1,100-RM 1,300, namun harga jualan rasminya hanyalah RM 949 sahaja.

Oleh sebab itu, beberapa kekurangan seperti kualiti kamera pada kurang cahaya dan bokeh yang kurang tepat serta pengurusan memori yang sederhana boleh dimaafkan.

 

Berkaitan