Ulasan Honor 10 - Adakah Ini 'Flagship Killer' Untuk Tahun Ini

Peranti Huawei P20 berjaya menambat hati anda? Namun harganya mungkin sedikit tinggi dan diluar bajet anda? Jika ya, peranti Honor 10 adalah peranti yang sesuai untuk anda. Peranti kelas perdana terbaru ini baru sahaja dilancarkan oleh pihak Honor Malaysia pada 22 Mei yang lalu. Untuk pengetahuan anda, Honor 10 merupakan peranti pertama dari siri Honor yang menggunakan reka bentuk takuk.

Rekaan Luaran - 9.2 / 10



Rekaan luaran merupakan salah satu perkara yang mempunyai nilai 'Umphh' pada peranti Honor 10 ini. Pihak Honor telah melakukan satu tugas yang sangat baik dalam memilih variasi warna bagi peranti ini. Untuk pengetahuan pembaca, Honor 10 akan hadir dengan empat pilihan warna iaitu Phantom Blue, Phantom Green, Midnight Black serta Glacier Grey. Dan pihak kami diberi peluang untuk menggunakan Honor 10 berwarna Phantom Blue yang sangat memukau.



 

Honor telah menggunapakai gabungan besi dan kaca 2.5D yang berkilau pada bahagian belakang peranti ini. Ia akan menghasilkan pantulan cahaya yang akan memperlihatkan perubahan warna apabila dilihat dari sudut pandang yang berbeza-beza. Sebagai contoh, bagi warna Phantom Blue yang ada pada pihak kami ini, sekiranya dilihat dari sudut sisi peranti ia akan menonjolkan warna ungu pada bahagian belakangnya.



Kapsyen: Slot dwi-kad sim dibahagian kiri peranti


Kapsyen: Butang kuasa dan pelaras suara kanan peranti




Kamera utama bagi Honor 10 ini telah dipasang pada sudut atas sebelah kiri peranti secara melintang. Namun tulisan 'AI CAMERA' yang terdapat di sebelah kanan kamera agak kurang bersesuaian pada pendapat kami. Mungkin jika ia ditulis pada bahagian bawah kamera adalah lebih sesuai.



Beralih ke paparan hadapan pula, peranti ini tidak terkecuali daripada menggunakan rekaan takuk. Dan apa yang menarik, saiz takuk ini adalah sama dengan saiz pengimbas cap jari yang terdapat di bahagian bawah paparan hadapan peranti.

Untuk pengetahuan anda, pihak Honor telah memasang pengimbas cap jari tersebut pada bawah skrin, maka anda tidak perlu risau untuk menyahkunci menggunakannya semasa tangan basah. Skrin paparan Honor 10 ini menggunakan skrin jenis IPS LCD beresolusi FHD+ dengan saiz 5.84 inci. Ia juga mempunyai nisbah paparan sehingga 19:9.



Pembesar suara bagi peranti ini terletak di bahagian bawah peranti sama seperti kebanyakkan peranti yang lain. Dan ia bagi kami agak mengganggu terutama semasa bermain permainan video seperti PUBG Mobile apabila tangan kadang kala akan menutup pembesar suara tersebut tanpa kita sedari. Susah nak dengar bunyi tapak kaki musuh.

Antaramuka - 8.4 / 10



Seperti kebanyakan peranti Huawei dan Honor yang lain, peranti ini juga menggunakan antaramuka EMUI. Pada kali ini, Honor 10 menggunakan EMUI 8.1 yang berlandaskan sistem operasi Android 8.1 Oreo. Antaramuka EMUI pada kali ini adalah berbeza dengan versi sebelumnya apabila ia mempunyai beberapa ciri yang terdapat pada Android asli seperti Google Message dan Google Assistant.



Pengguna juga boleh memilih sama ada untuk menggunakan mod paparan Standard atau mahu menggunakan app drawer. Bagi kami, kami lebih selesa menggunakan paparan pada mod Standard sahaja. Nampak lebih kemas.



Antara ciri istimewa yang dapat digunakan melalui peranti Honor 10 ini adalah termasuk fungsi Split Screen dengn isyarat tangan, yang membolehkan kita menggunakan dua aplikasi secara serentak pada masa yang sama.



Ianya turut dilengkapi bersama ciri ketuk skrin untuk screenshot yang hadir di Huawei Mate 10. Tetapi pada kami, ianya agak merumitkan tambah lagi pada pengguna yang melaksanakan tugasa dengan cepat. Contohnya untuk screenshot video, anda perlu ketuk skrin menggunakan dua buku jari untuk merakam, ianya agak kekok.



Semasa menonton video melalui aplikasi Youtube pada paparan skrin penuh, kami mendapati terdapat bingkai hitam pada bahagian tepi video. Dalam erti kata lain, video tidak dapat dipaparkan pada skrin secara keseluruhannya walaupun setelah mengaktifkan fungsi paparan penuh bagi aplikasi berkenaan pada tetapan peranti.

Isu ini mungkin akan diselesaikan dengan kemaskini terbaru dari Huawei kelak.

Spesifikasi Dalaman - 8.8 / 10



Honor 10 ini dibekalkan dengan cip pemprosesan terbaru dari Huawei, Kirin 970 yang turut digunapakai pada peranti Huawei P20 Pro. Ia turut disokong oleh memori sehingga 4GB RAM serta ruang storan 128GB. Bagi unit pemprosesan grafik pula, Honor 10 akan disokong oleh GPU Mali-G72 MP12. Dengan spesifikasi ini, permainan seperti PUBG Mobile akan dapat dimainkan secara lancar pada tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah.



Semasa lebih kurang dua minggu kami menggunakan peranti ini, kami dapati isu lagging pada peranti ini boleh dikatakan pada tahap minima. Ia menunjukkan bahawa peranti ini mempunyai sistem pengurusan memori yang baik disamping spesifikasi kelas perdana yang dimiliki.

Bagi kekuatan baterinya pula, dengan berbekalkan bateri berkapasiti 3,430 mAh, ia boleh bertahan sehingga lebih daripada 24 jam pada penggunaan ringan. Apabila bermain permainan PUBG Mobile, sekurang-kurangnya 5 permainan pada definisi tinggi serta pengcahayaan tinggi dapat dimainkan sebelum peranti ini perlu dicas semula.



Bateri peranti ini boleh dicas semula menggunakan sambungan USB Type-C dan ia juga menyokong fungsi pengecasan pantas (Huawei Super Charge) yang boleh mengecas sebanyak 50% kuasa bateri dalam masa 30 minit pengecasan.

Di sebalik spesifikasi kelas perdana yang dimiliki oleh peranti ini, agak sedikit mengecawakan apabila pihak Honor mengumumkan bahawa peranti ini tidak akan menyokong fungsi mikroSD walaupun terdapat dua slot disediakan untuk kad sim Nano.

Kamera - 8.7 / 10



Seperti kebanyakkan peranti keluaran Huawei dan Honor sebelum ini, peranti Honor 10 ini turut menggunakan fungsi dwi-kamera utama dan ia disokong oleh ciri kecerdasan buatan bagi membolehkan imej yang lebih terang, jelas dan cantik.

Pihak Honor mendakwa kamera peranti ini mampu mengesan sehingga 22 senario berbeza dengan bantuan ciri AI. Ini akan memudahkan sistem kameranya untuk mengesan objek yang ingin dirakam sekaligus membantu untuk sistem tersebut mengubah tetapan kamera bagi membolehkan imej yang terbaik berjaya dirakamkan.

Kamera utama peranti ini menggabungkan lensa 16 MP (f/1.8) serta 24 MP lensa monokrom lantas akan menghasilkan imej yang lebih jelas dan mempunyai kualiti warna yang tajam. Selain kualiti yang ada pada lensa kameranya, cip Kirin 970 turut membantu dalam menghasilkan imej yang baik pada peranti ini bersama sokongan penstabilan imej elektronik, tidak seperti Honor View 10 dengan penstabilan imej optik.



Kamera pada peranti ini boleh dikatakan sedikit lebih baik berbanding dengan kamera peranti perdana Honor yang terdahulu, Honor View 10 walaupun perbezaannya agak sukar dilihat secara mata kasar. Anda boleh lihat pada beberapa perbandingan imej yang diambil menggunakan kedua-dua peranti dibawah.


Kiri - Honor 10 , Kanan - Honor View 10



Atas - Honor 10 , Bawah - Honor View 10



Atas - Honor 10 , Bawah - Honor View 10


Fungsi bokeh dan Beauty Mode turut tersedia pada peranti ini selain beberapa tetapan lain yang boleh diubah mengikut kesesuaian suasana sekiling serta keselesaan pengguna. Kamera hadapan peranti ini turut menggunakan lensa 24 MP dengan ciri bukaan lensa f/2.0 yang akan membenarkan lebih banyak pencahayaan menembusi lensa. Kualiti imej yang diambil juga agak memuaskan.

Kapsyen: Gambar ketika cahaya kurang. Hasil agak memuaskan dengan perincian gambar dapat dikekalkan.


Kapsyen: Gambar ketika cahaya kurang, diperbaiki dengan fungsi AI, hasil gambar kelihatan lebih cerah.


Bagi kamera hadapan pula, peranti ini menggunakan lensa 24MP, sama seperti yang kita lihat pada siri Huawei P20. Ianya mampu untuk mengambil imej swafoto dengan kualiti yang amat memuaskan. Fungsi Beauty Mode dan bokeh turut tersedia pada kamera hadapan bagi Honor 10 ini.


Imej swafoto yang diambil di kawasan outdoor juga menghasilkan kualiti yang memberangsangkan walaupun kelihatan sedikit kekuningan akibat pencahayaan sekeliling.




Bagi rakaman video pula, Honor 10 mampu untuk merakam pada kualiti maksimum sehingga 2160p pada 30 fps sahaja. Peranti ini turut akan disokong oleh ciri penstabilan imej elektronik (EIS) yang akan mengesan dan membawa keluar sebarang gegaran pada imej yang diambil.

Sistem Nyahkunci - 7.8 / 10

Honor 10 menyediakan sistem nyahkunci melalui pengesan wajah(Face Unlock) serta pengimbas cap jari(Fingerprint ID). Pengimbas cap jari berfungsi dengan baik manakala bagi pengesan wajah pula, prestasinya agak memusakan, namun seperti peranti lain yang turut hadir dengan ciri sama, ianya dilihat tidak beroperasi dengan sempurna semasa suasana pencahayaan rendah.

Tambahan pula, ia gagal mengesan wajah pemakai cermin mata sekiranya wajah pengguna tersebut diimbas tanpa memakai cermin mata dan sebaliknya.

Kesimpulan - 8.9 / 10



Secara keseluruhannya, kami berpuas hati dengan prestasi Honor 10 ini. Dengan harga yang ditawarkan semasa pelancaran ialah RM1,699, boleh kami katakan bahawa peranti ini adalah peranti kelas perdana dengan harga dan spesifikasi terbaik buat masa kini. Dengan reka bentuknya yang kelihatan eksklusif dan mewah, peranti ini akan berjaya menarik perhatian ramai pada pandangan pertama.

Malah, keupayaan bermain permainan PUBG Mobile tanpa masalah serta masalah lagging yang minima selain kualiti kameranya yang agak memuaskan merupakan satu perkara yang sangat baik pada peranti ini. Selain itu, penggunaan cip pemprosesan Kirin 970 yang turut digunakan  adalah sesuatu yang sangat mengujakan bagi kami.

Tentang prestasi kamera utamanya pula, pada kami ianya sudah cukup memadai untuk kegunaan di media sosial. Hasil gambar dalam keadaan kurang cahaya mungkin tidak sehebat Huawei P20 Pro, tapi bila dilihat semula tanda harga peranti ini, kami terus memaafkan sedikit kekilafan dan ketidak sempurnaan kamera peranti ini.

Dengan prestasi yang ditawarkan pada harga yang kami boleh katakan agak gila rendah, tidak banyak yang kami boleh komplen. Kameranya hanya dilengkapi dengan EIS dan tiada sokongan kad SD, tapi siapa kisah! Dengan harga RM1,699 anda dapat peranti seksi dengan silauan warna biru dan unggu, cip pemprosesan AI Kirin 970 dan sokongan pengecasan pantas Huawei Super Charge, murah sangat dah tu. Apa lagi ko nak!

Boleh beli kat sini, oh btw ini bukan iklan.