ASUS terus hadir dengan barisan komputer riba terbaru untuk pasaran Malaysia dengan spesifikasi terkini dan berprestasi tapi menawarkannya pada harga menarik yang cukup kompetitif.
Salah satu model terkini komputer riba ASUS yang dibawa masuk adalah bagi siri ASUS Vivobook di mana penulis telah berpeluang menguji model terkini ASUS Vivobook 16X.
ASUS Vivobook 16X
ASUS Vivobook 16X dilengkapi dengan skrin besar bersaiz 16 inci (1920 x 1200) 16:10 yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen 5 5600H (6-core/12-thread, 19MB cache) dengan Radeon Graphics (AMD Radeon™ Vega 7 Graphics).
RAM dan storannya pula masing-masing dimuatkan sebanyak 8GB RAM dan 512GB ROM.
Untuk sambungan fizikal bagi peranti luar pula, ASUS tidak kedekut melengkapinya dengan 1 x USB 2.0, 2x USB 3.2, 1x USB-C, 1x HDMI dan 1x lubang audio 3.5mm.
Bagi sambungan tanpa wayar pula, ia disambungkan menerusi sambungan Bluetooth 5.2 dan Wi-Fi 6.
Cuma sedikit mengecewakan adalah komputer riba ini tidak menggunakan jenis sambungan USB-C bagi pengecasan kuasa baterinya yang berkuasa 90W.
Untuk sistem operasinya pula ia tersedia hadir dengan Windows 11 Home yang boleh dinaik taraf kepada versi terkini 22H2.
Rekaan dan kualiti
Dari aspek rekaan dan kualiti, ASUS Vivobook 16X mengekalkan rekaan terkini menyerupai sepertimana rekaan kebanyakkan komputer riba yang ada di pasaran sekarang.
Kualiti juga adalah baik meskipun materialnya adalah plastik tetapi ia menampilkan rupa dan sedikit rasa premium menerusi kemasan produk.
Walaupun bersaiz 16 inci, ASUS mampu menjadikan berat keseluruhan komputer riba ini hanya seberat 1.8kg sahaja.
Malah lebih menarik lagi, skrin komputer riba ini mampu diturunkan sehingga pada sudut 180 darjah.
Ciri-ciri
Apa yang menarik dengan komputer riba ini adalah dengan harga di bawah RM3,000 ASUS Vivobook 16X dilengkapi dengan lampu backlit papan kekunci.
Ia juga meningkatkan ciri privasi dengan menyediakan penutup kamera web untuk privasi serta pengimbas cap jari untuk keselamatan data komputer riba tersebut.
Komputer riba ini juga tersedia dengan pelindung Antibakteria ASUS, ciri pembatalan hingar bagi memberikan pengalaman sesi persidangan video yang lebih baik.
Malah dengan skrin 16 incinya yang anti silau memberikan keselesaan untuk anda menonton video bersama dengan kualiti audionya yang memuaskan dari SonicMaster.
Prestasi
Dari segi prestasinya pula, penulis tidak berdepan sebarang isu ketika mengoperasikan komputer riba ini dengan pelbagai tugasan.
Untuk aktiviti menaip, melayari internet dan menjalankan pelbagai aplikasi sekaligus, ASUS Vivobook 16X mampu mengendalikannya dengan baik dan lancar.
Tiada isu aplikasi tergantung, lambat dibuka dan dijalankan serta isu -isu kritikal lain. Ini menunjukkan sistem operasi Windows 11 terbaru serta perkakasan komputer riba ini bersatu dengan baik.
Malah tiada bunyi bising dari sistem penyejukkannya sekaligus memberikan keselesaan dan prestasi yang cukup memuaskan.
Kesimpulan
Apa yang boleh disimpulkan penulis selepas hampir seminggu menguji komputer riba ini, ASUS Vivobook 16X lengkap dengan pakej sebagai sebuah komputer riba mampu milik yang berprestasi sederhana.
Tarikan utamanya sudah tentulah skrin lebar 16 incinya dengan bingkai nipis yang memberikan kepuasan apabila bekerja dengannya. Malah harga yang ditawarkan juga adalah begitu kompetitif iaitu hanya berharga RM2,999 sahaja.
Tambahan lagi, paparan 16 inci dengan nisbah 16:10, skrinnya lebih luas tetapi pada masa sama beratnya menyerupai dengan kebanyakan komputer riba bersaiz 15 inci.
Kesimpulannya, ASUS Vivobook adalah antara komputer riba mampu milik terbaik yang ada ditawarkan di pasaran ketika ini.Untuk harga di bawah RM3,000, ia pastinya amat sesuai untuk anda yang memerlukan sebuah komputer riba berprestasi, kaya dengan pelbagai ciri tetapi mesra dengan poket anda.
Beli ASUS Vivobook 16X di Shopee – https://shope.ee/5fERPK4sYk