(Ulasan) Amazfit Neo - Ringkas, Retro, Dan Bergaya

Penjejak kesihatan semakin lama semakin banyak model diperkenalkan sehingga pengguna rambang mata untuk memilihnya. Tambahan lagi, kebanyakan model yang diperkenalkan rata-ratanya mempunyai rekaan hampir sama - jika skrin tidak petak, mesti bulat.

Ini adalah sebabnya mengapa Amazfit Neo begitu unik kerana ia merupakan penjejak kesihatan dengan rekaan 'segar' dan pada masa yang sama ditawarkan pada harga sangat mampu milik iaitu RM149 secara rasmi.



Melihatkan kepada harganya yang mampu milik, sudah tentu ini merupakan penjejak kesihatan dengan ciri dan fungsi asas.

Namun, adakah ia memadai jika fungsi hanya sekadar asas jika dibandingkan dengan jam pintar dan penjejak kesihatan lebih mahal?

Atau mampukah rekaan retronya menarik hati si pemakai yang lebih mengutamakan rekaan berbanding fungsi asasnya?

Rekaan


Hanya dengan sekali pandang, mungkin ada yang memandangnya hanya sebuah jam biasa. Mana tidaknya ia mempunyai rekaan seakan jam Casio klasik mengingatkan nostalgia memakai jam dengan rupa lebih kurang sama sewaktu persekolahan.

Amazfit Neo adalah merupakan sebuah penjejak kesihatan yang bersembunyi di sebalik rekaan retronya. Saya turut mengakui bahawa rekaan ini sebenarnya agak bergaya dan pemakaian jam ini (bagi saya) adalah ke arah fesyen berbanding fungsinya.



Amazfit Neo bukanlah seperti kebanyakan jam pintar atau penjejak kesihatan yang mempunyai skrin dengan kandungan penuh. Terdapat dua paparan yang dimana paparan utama hanya menunjukkan jam, butiran fungsi, maklumat mod yang digunakan dan sebagainya manakala paparan kedua adalah bulatan kecil yang hanya memaparkan ikon mod apa yang sedang digunakan.

Paparan 1.2 inci STNnya bukanlah skrin sentuh justeru 4 butang fizikal telah dilabelkan SELECT, BACK, UP, dan DOWN yang juga bertindak sebagai navigasi jam. Paparannya juga adalah monokrom dan kelihatan seperti sebuah jam tangan digital biasa.



Anda juga boleh mengaktifkan lampu berwarna biru cair gelap dengan menekan butang fizikal BACK selama sekitar 2 saat. Terdapat sedikit sentuhan warna merah pada 4 sisi sekeliling paparan memberikan gaya garang dan lebih bergaya.

Keseluruhan jam adalah diperbuat dari plastik keras yang mana sangat lasak dan kukuh. Bahan binaan ini secara tidak langsung menjadikan jam agak ringan, namun ada juga yang berpendapat ia kelihatan seperti jam mainan disebabkan plastik tersebut.



Tali jam pula turut diperbuat dari plastik, namun ia adalah dari plastik lembut jenis Polyurethane. Ia tidak boleh direnggang atau ditarik sepertimana getah. Dari segi mekanism mengikat tali jam, ia adalah seperti sebuah jam digital biasa.



Tali jam ini juga terdapat banyak lubang kecil bermakna ia boleh dipakai oleh pengguna dari tangan yang kecil molek hingga besar. Perlu diingatkan tali ini tidak boleh dicabut seperti kebanyakan jam pintar dan penjejak kesihatan lain.



Pada bahagian belakang jam, ia masih lagi dibina plastik dengan menyediakan sensor degupan jantung dan juga pembesar suara. Namun, pembesar suara ini hanya mampu memainkan nada navigasi dan mod jam serta apabila menerima notifikasi.



Dengan hanya 32g ia adalah sebuah jam yang sangat selesa dipakai walaupun pada waktu yang lama. Sewaktu mengujinya juga, jam ini tidak mempunyai masalah dengan pemakaian yang membuatkannya ia rimas meminta ditanggalkan.

Antaramuka Dan Perisian


Sebelum menggunakan jam ini, terlebih dahulu anda perlu menyambungkannya kepada telefon pintar melalui aplikasi Zepp (dahulunya Amazfit) yang terdapat di Google Play Store Android dan juga App Store iOS.



Ini adalah kerana jam ini tidak boleh digunakan secara kendiri dan memerlukan sambungan kepada telefon. Sebelum menyambung, antara muka jam akan memaparkan teks "BINDING" dan anda tidak boleh mula untuk menggunakannya selagi belum menyambungkannya.

Proses sambungan ke telefon pintar adalah amat mudah dan tidak mengambil masa yang lama. Beberapa proses lazim seperti memilih jenis jam yang mana sama sahaja seperti mana proses menyambungkan jam pintar yang lain.

Jam akan berbunyi sebaik sahaja proses penyesuaian berjaya dan kemudiannya antara muka jam terus berubah kepada yang sepatutnya.

Terdapat 11 mod jam atau muka jam yang boleh dipilih iaitu Bateri, Jam Dunia, Steps, Distance, Calories Burned, Weather, DND, Stopwatch, Alarm, PAI and Pemantauan Jantung.

Muka jam ini boleh juga dibuang jika anda tidak mahukannya juga melalui aplikasi Zepp. Anda juga boleh menyusun atur turutan jam bergantung kepada keutamaan anda.


Ciri Dan Fungsi


Amazfit Neo hadir dengan fungsi pemantauan kadar degupan jantung, pemantauan tidur, kiraan langkah, mod bersukan, jam penggera, jam randik serta sokongan notifikasi.

Untuk ciri pemantauan degupan jantung, ia mampu mengesan nadi secara automatik dan juga manual. Melalui pengalaman, bacaan degupan secara manual boleh dikatakan agak tepat namun bacaan secara automatik kadang-kadang tidak berfungsi secara efisien.

Adakalanya jam tidak mengesan nadi dan merekod data walaupun jam tidak dipakai buat seketika waktu.

Fungsi lain yang dicuba adalah kiraan langkah. Ia lebih kurang dengan kebanyakan jam pintar dan penjejakan kesihatan lain di mana bacaan kurang tepat dan kebiasaannya mencatat bacaan lebih dari sepatutnya.

Jam ini juga mempunyai penafaran kalis air 5ATM yang sesuai dipakai jika hujan, berenang, ataupun ke bilik air. Walau bagaimanapun tiada mod sukan berenang pada jam ini jadi ia tidaklah terlalu berguna jika dibawa berenang.

Notifikasi Aplikasi


Amazfit Neo mampu untuk memaparkan notifikasi telefon pintar yang disambungkannya. Namun, fungsi ini sedikit terhad dan asas.



Ini adalah kerana notifikasi hanya dipamerkan dalam bentuk "+1" tidak kiralah aplikasi mana sekalipun. Kandungan notifikasi tidak ditunjukkan, malah aplikasi apa yang menerima notifikasi pun hanya ikon yang umum sahaja

Ia kelihatan kurang berguna kerana pengguna mahu atau tidak memang akan buka telefon pintar untuk menyemak notifikasi apakah yang diterima.

Perihal ini juga melibatkan apabila menerima notifikasi panggilan yang membuatkan pengguna tidak tahu siapakah yang memanggil.

Tambahan lagi, jam tidak mengeluarkan getaran apabila menerima notifikasi tetapi hanya mengeluarkan bunyi sahaja.

Bateri Dan Sistem Pengecasan


Amazfit Neo dimuatkan dengan kapasiti bateri sebanyak 160mAh. Amazfit mendakwa ia mampu bertahan selama 28 hari untuk penggunaan biasa dan mencecah sehingga 37 hari untuk penggunaan asas dan minimum.

Penggunaan saya hampir kepada sebulan dan seiring dengan apa yang Amazfit dakwa. Bagi saya, jangka hayatnya lebih dari mencukupi dan juga sesuai dengan tema tahan lasaknya.

Dari segi pengecasan, Amazfit Neo dibekalkan dengan pengecas khas yang diletakkan di bawah jam. Keluhan saya adalah kabel pengecasnya agak pendek. Jika anda mengecasnya terus dari palam dinding, ia terjuntai sahaja tanpa menjejak lantai.

Mengecas jam hanya memerlukan sekitar 2 jam untuk penuh dan disebabkan jam mampu bertahan sekitar sebulan, proses mengecas dengan kabel pendek itu tidaklah dirasakan menjengkelkan sangat.

Rumusan


Amazfit Neo bukanlah sejenis penjejak kesihatan yang sarat dengan fungsi pelbagai. Malah jika dibandingkan dengan model seperti Xiaomi Band 5, ia kalah dari segi penawaran fungsi dan ciri.

Namun begitu, saya sejujurnya suka dengan kewujudan penjejak kesihatan ini kerana ia unik dan sesuatu yang belum pernah dicuba oleh pengeluar lain setakat ini.



Amazfit Neo kurang sesuai jika anda seorang peminat kecergasan yang mahukan alat menjejak kesihatan dalam harga mampu milik.

Ia lebih sesuai ditujukan kepada golongan dan peminat jam retro namun dengan sentuhan ciri dan fungsi asas penjejak kesihatan.

Tambahan, pemakaiannya bergaya dan anda tidak kelihatan seperti cyborg dengan alat elektronik pada tangan anda seperti jam-jam yang lain.

Dengan harga RM149, penawaran yang diberikan adalah agak baik, namun untuk anda yang mencari fungsi yang lebih pelbagai, model seperti Xiaomi Mi Band 5 mungkin lebih sesuai untuk anda.

Kelebihan

  • Rekaan retro dan unik

  • Paparan sentiasa hidup dan mudah untuk dilihat

  • Kalis air 5 ATM

  • Ringan dan selesa untuk dipakai

  • Ringkas untuk digunakan

  • Jangka hayat bateri cemerlang


Kekurangan

  • Bahan binaan mungkin dirasakan seperti mainan

  • Notifikasi aplikasi yang tidak terlalu berguna

  • Notifikasi tidak bergetar

  • Kebanyakan tetapan perlu diubah dari telefon pintar

  • Tidak boleh digunakan secara kendiri atau sebagai jam digital biasa, perlu disambungkan kepada telefon pintar