Surface Dari Microsoft Menggunakan Cip Intel Pentium Yang Lebih Murah

Keberangkalian untuk komputer tablet Surface dari Microsoft untuk membuat kemunculan pada tahun ini meningkat disebabkan maklumat dari FCC. Microsoft dikhabarkan mahu mengeluarkan rangkaian Surface yang baharu dengan harga yang lebih kompetitif berbanding pesaing mereka, iPad.



Surface baharu ini dikatakan dijual dengan harga bermula dari RM 1,600. Microsoft mengambil keputusan untuk menggunakan cip pemprosesan Intel yang lebih murah dari siri Pentium. Dengan pengurangan kos, Microsoft akhirnya dapat meletakkan siri Surface mereka sebaris dengan iPad dari Apple Inc. dari segi harga.

Intel®Pentium mempunyai dua kelas; Gold dan Silver. Untuk Surface yang lebih murah, cip Pentium Silver N5000 akan digunakan manakala untuk Surface Pro pula, Pentium Gold Y-series akan dipilih untuk memacu tablet tersebut.



Cip yang terbaru ini akan memberikan lebih kuasa kepada siri Surface baharu dan mampu melakukan tugasan-tugasan ringan tanpa ada sebarang masalah. Rangkaian Surface sebelum ini mendapat pujian kerana reka bentuk yang nipis dan kebolehan untuk digunakan bersama papan kekunci menjadikannya 2 dalam 1.



Dengan pengenalan cip yang lebih murah, Microsoft mengharapkan lonjakan yang diperlukan untuk menandingi pesaing-pesaing mereka di luar sana.

Sumber: Winfuture, Digital Trends