Steam Link Kini Tersedia Buat Peranti Android, Pengguna iOS Masih Perlu Menunggu

Baru-baru ini, syarikat pembangun sistem permainan Steam, Valve telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan aplikasi Steam Link untuk peranti Android dan iOS. Ini bermakna pelanggan permainan Steam boleh bermain permainan yang tersimpan di dalam Steam Library melalui peranti mudah alih yang menyokong sistem operasi Android dan iOS.



Akan tetapi, semasa pelancarannya pada 21 Mei yang lalu, aplikasi ini hanya boleh didapati oleh pengguna peranti Android sahaja dan tidak bagi pengguna peranti iOS. Perkara ini dilaporkan terjadi kerana pihak Apple telah menarik semula kebenaran untuk pelancaran aplikasi ini pada peranti mereka atas sebab-sebab berkaitan polisi perniagaan mereka.

Walaubagaimanapun, pengguna iOS masih boleh berharap untuk strim permainan video melalui peranti mereka. Ini kerana Naib Presiden Apple, Phil Schiller telah menghantar e-mel kepada pengguna Steam bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan Valve untuk mencari jalan penyelesaian berkenaan perkara ini.

Melalui aplikasi ini, pengguna Steam boleh bermain permainan video dari perpustakaan permainan mereka tanpa perlu menggunakan laptop atau PC. Hanya sambungkan PC/laptop dengan sambungan internet yang sama dengan peranti mudah alih anda, anda sudah boleh bermain tanpa gangguan.



Pengguna Android boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma di pasaran Google Play Store  sekarang. Ia dilaporkan menyokong sistem Android 5.0, alat kawalan Steam serta mana-mana alat kawalan yang menyokong fungsi Bluetooth.

Sumber